Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakat muda S’pura, Izzan Adlan, rebut peluang emas bina kerjaya bersama band

Penyanyi ‘MehSini’ hargai tunjuk ajar karyawan muzik setempat seperti Nana Karia, Yazri Malik
Nov 23, 2025 | 5:30 AM
Izzan Adlan, TNT Live Band, Singapura Live 4.0
Bakat muda Singapura, Izzan Adlan, berharap para belia yang ingin meceburi bidang seni dapat mencari mentor dan bimbingan yang betul supaya dapat membina kerjaya mereka dengan positif. - Foto ihsan IZZAN ADLAN

Apabila diberhentikan kerja sebagai vokalis bagi sebuah kumpulan muzik dalam masa yang singkat, penyanyi Singapura, Izzan Adlan, 23 tahun, mula terfikir apakah langkah yang perlu diambil untuk membina kerjayanya. 

“Saya diberitahu yang saya tidak diperlukan lagi dalam band itu pada hari di mana saya patut membuat persembahan,” kongsinya. 

Izzan berkata terdapat salah faham dalam band itu, namun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai apa yang berlaku. 

“Ketika itu, saya mula berusaha untuk mencari kerja sepenuh masa. 

“Tiba-tiba Kak Nana Karia meminta saya menggantikan tempatnya untuk salah satu persembahan di kelab malam. 

“Selepas itu, beliau tertarik dengan suara saya dan terus menjadikan saya penyanyi gantiannya secara tetap. 

“Saya tidak menyangka Kak Nana akan menawarkan saya peluang untuk menyertai kumpulan muziknya, TNT Live Band, secara rasmi,” kongsi Izzan yang ditemui Berita Minggu (BM) pada acara bertemu penonton, Singapura LIVE! 4.0 Plus, yang diadakan pada 1 November di Serambi Kampong Gelam yang terletak di Sultan Gate.

Selain Izzan selaku vokalis dan pemain gitar kedua, TNT Live Band turut dianggotai Kirk Haiqel (penerbit, pemain gitar utama dan penyanyi latar) dan Adly (pemain dram).

Nana bergerak sebagai penyanyi utama, pengacara dan pengurus band tersebut.

Izzan mula bersama kumpulan itu sejak 2024 dan mereka sering membuat persembahan di kelab malam Warehouse Clarke Quay, Changi Sailing Club dan Le Noir Marina Bay Sands.

Bersyukur dengan peluang yang diberikan, Izzan menganggap tunjuk ajar yang diberi pemuzik mapan merupakan sesuatu yang beliau dahagakan sebagai anak muda dalam industri seni. 

“Selain Kak Nana, saya turut berterima kasih dengan Yazri Malik yang membantu saya menerbitkan lagu. 

“Semasa saya baru berkecimpung dalam industri muzik enam tahun lalu (2019), cabaran utama adalah bagaimana saya ingin menerbitkan lagu dan memasarkannya ke media arus perdana,” luah Izzan yang pernah bekerjasama dengan Yazri bagi lagu MehSini, Antara Kau Dan Aku dan Lemas. 

Baru-baru ini, Izzan telah membuat persembahan solo pertamanya yang diberi nama A Night with Izzan Adlan di Ruang Legar Esplanade pada 15 Oktober. 

Mengulas mengenai persiapannya, Izzan berkata beliau mendapat bantuan daripada rakan baiknya yang juga seorang penyanyi muda, Faiz Zikry.  

“Saya akui saya perlu bimbingan. Faiz membantu daripada pemilihan lagu hingga mendapatkan pemuzik untuk membuat persembahan dengan saya,” ujar Izzan. 

Dari segi cabaran, beliau harus mengatasi rasa gugup selain berusaha untuk menghafal lirik bagi senarai lagu yang dipersembahkan. 

“Kadangkala saya ada rasa gementar apabila di atas pentas namun saya cuba untuk mengatasinya.

“Selain itu, saya mungkin sudah terbiasa dengan adanya ipad (alat peranti) untuk melihat lirik lagu apabila membuat persembahan di kelab malam.

“Bagi persembahan berskala besar, saya harus menghafal lirik agar kelihatan profesional di atas pentas,” kongsinya yang pernah menyertai pertandingan Kaki Nyanyi. 

Ditanya mengenai nasihat buat para belia yang ingin menceburi bidang seni, Izzan berkata mereka harus bersedia untuk bekerja keras dan menghadapi pelbagai cabaran. 

Izzan yang pernah melalui insiden di mana dirinya hampir ditipu oleh seorang individu mapan dalam industri muzik tempatan, menggalak bakat muda untuk berwaspada dan mendapatkan bimbingan daripada mereka yang ikhlas untuk berkongsi ilmu. 

“Pelbagai cabaran telah saya lalui, lebih-lebih lagi memasuki industri ini ketika masih muda. 

“Namun, Alhamdulillah saya bersyukur dapat bekerjasama dengan rakan media yang baik seperti syarikat Oonik (milik Najip Ali), yang sentiasa memberi peluang kepada saya untuk berkarya,” tambahnya.  

Izzan juga merupakan antara bakat tempatan yang diundang untuk membuat persembahan bagi program hiburan Singapura LIVE! 4.0 , yang bersiaran setiap minggu di saluran Mediacorp Suria sejak 14 Oktober. 

Beliau tampil dalam episod pertama yang mengetengahkan genre rok dan berpeluang berduet bersama penyanyi mapan, ‘Papa Rok’ Ramli Sarip, bagi lagu Keliru. 

Izzan tidak menyangka dapat bergandingan dengan ikon muzik Singapura itu. 

“Pada mulanya saya terkejut kerana saya membesar dengan lagu-lagu Ramli Sarip. 

“Walaupun teruja, saya tertanya-tanya jikalau saya boleh menyanyikan lagu itu secara ‘live’ kerana ia tidak mudah untuk menghayati liriknya,” cerita Izzan.  

Walaupun lagu pop rancak MehSini mendapat sambutan hangat di radio tempatan dan di seberang Tambak, Izzan mengakui dirinya mempunyai minat dalam genre rok dan balada. 

“Saya sebenarnya dibesarkan dalam keluarga yang meminati irama rok ‘kapak’ dan telah bermula menyanyikan lagu genre itu sejak berusia enam tahun,” tambahnya.  

Beliau yang kini terlibat dalam drama web bahasa Inggeris, My Boyfriend Owns A Bank, turut berminat untuk mengembangkan bakat dalam bidang lakonan. 

“Sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi seorang pemuzik dan pelakon.

“Jika diberi peluang, saya ingin mengasah bakat saya dalam bidang lakonan,” kongsinya yang kini dalam perbincangan untuk bekerjasama dengan syarikat rakaman di Malaysia. 

Singapura LIVE! 4.0 boleh ditonton setiap Selasa, mulai 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria dan mewatch

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg