Selepas tujuh tahun tidak terlibat dalam pementasan teater, pelakon dan pengacara televisyen, Fauzie Laily, kembali ke pentas dengan membawa dua watak berbeza dalam pementasan, Yusof: Portrait of a President.
Walaupun berasa gementar bakal beraksi bersama penggiat teater mapan seperti Sani Hussin dan Siti Khalijah Zainal (Siti K), Fauzie, 40 tahun, bersemangat untuk memberi persembahan terbaik dalam karya yang bakal dipentaskan dari 17 hingga 19 Oktober, di Teater Singtel Waterfront, Esplanade.
“Sebenarnya, saya mula mengenali kakitangan Teater Ekamatra apabila hadir ke sesi uji bakat bagi pementasan, Potong, pada 2023.
Namun, saya tidak mendapat watak itu.
“Apabila mendapat tawaran untuk terlibat dalam pementasan ini lewat 2024, saya terus kata ‘ya’.
“Alhamdulillah, saya diberi tanggungjawab untuk membawa dua watak.
“Saya bakal memainkan watak Ramlee, adik mantan Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak dan watak Abdul Samad Ismail, seorang wartawan dan orang kuat di akhbar, Utusan Melayu,” kongsinya.
Beliau ditemui Berita Harian (BH) semasa sesi latihan pementasan tersebut di The Artground yang terletak di kawasan Holland Village.
Mengulas mengenai cabaran membawa dua watak berbeza, Fauzie berkata pihak penerbitan masih dalam perbincangan bagaimana pertukaran dari segi watak dan pakaian akan dilakukan supaya ia tidak kelihatan janggal.
“Terdapat masa kededua watak itu muncul dalam dua babak berturut-turut, jadi kami masih dalam proses memikirkan bagaimana peralihan watak itu berlaku,” ceritanya, yang kali terakhir muncul dalam pementasan bahasa Inggeris, A $ingapore Carol, terbitan Wild Rice, pada 2018.
Fauzie yang sering muncul dalam naskhah televisyen turut menyifatkan penglibatannya dalam pementasan tersebut sebagai peluang keemasan untuk memperbaiki dan mendalami bakat lakonannya.
Beliau turut dahagakan peluang untuk bekerjasama dengan nama-nama besar dalam bidang teater dan mendapatkan pandangan mereka semasa latihan.
“Bagi drama televisyen, kami jarang diberi jangka masa lama untuk berlatih dan mendalami sesuatu watak. Justeru, saya hargai setiap kali dapat berlakon dalam penerbitan teater.
“Saya rasa ‘kecil’ apabila dibandingkan dengan barisan pelakon lain yang terlibat dalam projek ini.
“Walaupun saya pernah bekerja dengan Abang Sani dan Siti K, mereka masing-masing pernah memenangi anugerah bagi bakat lakonan.
“Kededua mereka amat berbakat dan mempunyai pengalaman luas dalam pementasan teater.
“Apabila bekerja dengan mereka yang mahir dalam bidang ini, kadangkala mereka dapat memberi takrifan berbeza bagi sesebuah watak atau babak yang bakal dilakonkan.
“Saya amat hargai nasihat dan tunjuk ajar mereka,” ujarnya, yang memulakan kerjaya dalam seni hiburan, selepas memenangi tempat ketiga peraduan nyanyian, Anugerah 2005, dan dikenali dengan lagu, Selalu.
Fauzie teruja dapat bergandingan buat kali pertama dengan penggiat teater mapan seperti Dalifah Shahril, Farah Ong dan Ghafir Akbar, dalam karya yang pernah dipentaskan pada 2015.
“Saya hanya pernah melihat mereka berlakon di pentas dan mungkin bertegur sapa dengan mereka.
“Sekarang, saya benar-benar dapat melihat proses mereka di belakang tabir, cara mereka mengkaji naskhah itu, membuat persiapan dan menjiwai watak yang diberikan,” tambah Fauzie.
Beliau yang tidak terlibat dengan sebarang projek lain ketika ini ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada pementasan tersebut.
Yusof: Portrait of a President, tulisan Zizi Azah Abdul Majid, menceritakan mengenai perjalanan hidup dan cabaran yang dilalui tokoh prolifik Allahyarham Yusof Ishak serta kerjayanya sebagai wartawan sehingga menjadi Presiden Singapura pertama.
Ia dipentaskan semula di bawah arahan, Mohd Fared Jainal, sebagai sebahagian program Esplanade, 60 Connections – At Home and Afar, sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60).
Ditanya BH mengenai cabaran berlakon dalam naskhah yang berdasarkan kisah sebenar, Fauzie berkata pelakon dan pihak penerbitan harus menghormati jalan cerita dan sejarah.
“Walaupun kami harus membuat jalan cerita itu menarik bagi penonton, kami turut ada tanggungjawab untuk memastikan fakta-fakta disampaikan dengan tepat.
“Kami mahu penonton yang hadir mengenali siapa Yusof Ishak dan perwatakannya yang mulia.
“Saya rasa kita (penduduk Singapura) seperti tahu siapa dirinya tapi tidak mengenali perjalanan hidupnya yang sebenar,” jelas Fauzie yang kali pertama muncul di pentas dalam pementasan, To Kill a Mockingbird, oleh Toy Factory Productions pada 2010.
Beliau berharap pementasan kali ini bakal memberi peluang kepada generasi muda untuk menghargai jasa dan sumbangan awal Presiden Melayu pertama Singapura itu.
Tiket berharga antara $50 dengan $65 boleh dibeli melalui laman web Sistic di pautan, https://sistic.com.sg/events/president1025
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg