Topik diikuti
Pergi ke BHkuExists bakal adakan konsert ‘Back to School’ di S’pura awal 2027
Exists bakal adakan konsert ‘Back to School’ di S’pura awal 2027
Kumpulan pop-rock legenda Malaysia, Exists, bakal kembali ke Singapura menerusi konsert secara langsung yang dibawakan khas, Exists: Back To School Live In Singapore, pada 15 Januari 2027 di The Star Theatre, The Star Performing Arts Centre.
Bertemakan “Back to School”, konsert ini bakal menjadi sebuah malam penuh nostalgia untuk meraikan pelbagai kenangan.
Bagi ramai peminat, karya muzik Exists tidak dapat dipisahkan daripada lipatan sejarah zaman remaja mereka.
Bermula dari zaman persekolahan, cinta pertama, semangat persahabatan, kekecewaan, sehinggalah memori yang membentuk kedewasaan.
Antara lagu popular mereka yang terus mendapat tempat dalam hati pendengar merentas generasi termasuklah ‘Untukmu Ibu’, ‘Alasanmu’, ‘Mencari Alasan’, ‘Rahsia Pohon Cemara’, ‘Langkah Seiringan’, ‘Julia’, ‘Jesnita’, dan ‘Seperti Dulu’.
Ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991, Exists telah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara nama paling berpengaruh dalam arena pop-rock Melayu Malaysia.
Menerusi penglibatan selama lebih tiga dekad, band tersebut telah menghasilkan deretan lagu yang kekal terpahat kukuh dalam ingatan pencinta muzik di Malaysia, Singapura, serta Indonesia.
Malah, rekod himpunan lagu mereka terus subur merentasi zaman, seperti lagu ‘Mengintai Dari Tirai Kamar’ yang turut popular dan dikenali di Indonesia menerusi judul ‘Buih Jadi Permaidani’.
Sehingga kini, Exists terus membuktikan bahawa karya muzik serta kehebatan persembahan pentas mereka kekal relevan.
Menurut kenyataan media oleh SS Karya Entertainment, pada Ogos 2026, persembahan Exists di Kuala Lumpur mendapat pujian meluas yang menyoroti keutuhan vokal, mutu muzik, serta hubungan akrab yang berterusan bersama peminat.
Kini, giliran Singapura pula untuk menyaksikan kehebatan tersebut.
Dianjurkan oleh SS Karya Entertainment bersama MUSE+, konsert yang dinanti-nantikan itu menjanjikan sebuah malam nostalgia, persembahan secara langsung yang mantap, serta alunan lagu-lagu rock Melayu malar segar.
Secara tidak langsung, peminat daripada pelbagai generasi juga dapat berhimpun untuk meraikan perjalanan muzik Exists yang luar biasa.
Mengulas tentang konsert tersebut, jurucakap SS Karya Entertainment selaku pihak pengajur berkata:
“Konsep Back to School ini bakal membawa apa yang kami mahu penonton rasakan.
“Kami mahu mereka datang ke The Star Theatre, meninggalkan segala keraguan serta urusan harian, dan meluangkan satu malam untuk mengimbau semula lagu-lagu, persahabatan, emosi, dan kenangan yang pernah membentuk diri mereka.”
Orang ramai boleh mendapatkan tiket ke konsert Exists: Back To School Live In Singapore mulai 15 September menerusi lelaman startix.sg.
Terdapat enam kategori tiket yang berbeza: VIP (Jesnita) — $258, Diamond (Seperti Dulu) — $168, Platinum (Langkah Seiringan) — $148, Gold (Janji Padamu) — $128, Silver (Alasanmu) — $108, dan Bronze (Julia) — $88
