Topik diikuti
Pergi ke BHkuFadli teruja kembali jadi pengacara di kaca TV setelah lima tahun
Fahami tekanan dilalui peserta ‘Anugerah 2026’, kongsi pengalaman peribadi
Fadli teruja kembali jadi pengacara di kaca TV setelah lima tahun
Ketika mendapat tahu bakal menjadi salah seorang pengacara bagi rancangan nyanyian realiti, Anugerah 2026, perasaan teruja menyelubungi diri penyiar radio Mediacorp Ria 897, Fadli Kamsani.
Ini kerana kali terakhir beliau diberi kesempatan untuk mengendalikan rancangan televisyen secara langsung adalah pada 2021 bagi pertandingan mencipta lagu, Projek Lagu.
“Ketika itu, saya boleh dikatakan masih baharu dalam bidang pengacaraan dan masih mencari identiti tersendiri. Saya digandingkan bersama Lydia Asyiqin dan Fatin Amira bagi program itu.
“Menariknya, kali ini saya turut bersama Lydia bagi Anugerah 2026.
“Beliau telah melihat perkembangan dari awal saya mula menceburi bidang hiburan hingga kini.
“Kali pertama kami digandingkan bersama adalah pada 2018 bagi rancangan majalah, Manja (Musim Ketiga),” kongsi Fadli yang mengakui agak mudah mencari keserasian bersama Lydia.
Namun, Fadli berkata tanggungjawab mengendalikan program secara langsung dengan kehadiran penonton di studio bukan perkara yang mudah dan beliau menganggapnya sebagai satu peluang bagi memaparkan kebolehannya.
Dengan pertandingan seni suara Anugerah 2026 memasuki era baharu, Fadli membuat persiapan dan kajian bagi memahami gaya dan identiti penyanyi generasi kini yang menjadi tumpuan penonton.
“Format pertandingan masih serupa seperti dahulu di mana kami masih mencari seorang penyanyi yang berbakat. Namun, para juri dan penonton mahukan sesuatu yang unik daripada setiap peserta.
“Saya cuba memahami cara nyanyian setiap peserta dan mengapa mereka memilih lagu atau genre tersebut.
“Saya juga cuba memahami cerita di sebalik susunan sesebuah lagu dan cara nyanyian yang berbeza.
“Dari situ, saya dapat kongsikan kepada penonton bahawa muzik era baharu mempunyai keunikannya tersendiri,” cerita Fadli kepada Berita Minggu (BM) semasa satu sesi temu bual melalui Zoom.
Sebagai seorang individu yang bakatnya turut dicungkil daripada pertandingan realiti, Anugerah Skrin 2016, Fadli memahami cabaran dan tekanan yang dilalui peserta kali ini.
Menerusi interaksi dengan peserta, beliau turut berkongsi pengalamannya dalam bidang media dan menjadi seperti ‘Abang Long’ kepada mereka.
“Mungkin pertandingan yang saya lalui berbeza namun saya faham perasaan mereka.
“Ramai daripada mereka baru menceburi bidang hiburan atau media dan belum mempunyai banyak pengalaman.
“Dengan wadah media sosial seperti Threads dan TikTok, pertandingan realiti turut menjadi perbincangan hangat oleh netizen. Ada kalanya, komen yang diberikan boleh menambah tekanan kepada diri mereka.
“Sebagai seorang yang telah melaluinya, saya beritahu mereka untuk tidak terganggu dengan komen di media sosial.
“Namun, jika ia maklum balas yang positif, mereka boleh menerapkannya dalam persembahan mereka di atas pentas,” ujar Fadli.
Mengulas mengenai pertandingan yang telah berlangsung selama lapan minggu itu, Fadli berkata tenaga positif daripada penonton yang hadir setiap minggu amat membantu menaikkan semangat suasana di dalam studio yang terletak di Mediacorp Campus.
“Saya dan Lydia amat kagum dengan kehadiran para penonton yang sanggup hadir pada setiap Selasa malam untuk menyokong peserta kegemaran mereka.
“Dalam era yang dipenuhi dengan pelbagai kandungan digital dari seluruh dunia, orang ramai kini sering memilih acara manakah yang mereka akan hadir untuk tunjukkan sokongan.
“Ia berbeza dengan zaman dahulu di mana artis dan program tempatan selalu adakan jerayawara di pusat beli-belah yang dipenuhi dengan ramai peminat.
“Justeru, saya tidak sangka penonton yang hadir telah bersungguh-sungguh menubuhkan kelab peminat dan menghasilkan sepanduk masing-masing yang cukup menarik,” jelasnya.
Sokongan penonton yang cukup luar biasa itu turut beberapa kali meraih pujian panel juri yang terdiri daripada Najip Ali, Sezairi dan Hady Mirza.
Menjelang malam kemuncak, Anugerah 2026, pada 27 Oktober, Fadli berharap orang ramai akan terus menyokong penyanyi tempatan yang cukup berbakat dan wajar mendapat perhatian.
Peringkat akhir ‘Anugerah 2026’ bakal ditayangkan pada 27 Oktober, 8.30 malam di saluran Mediacorp Suria dan YouTube Mediacorp Entertainment. Kesemua episod program itu boleh ditonton di aplikasi mewatch.