Pelakon popular Indonesia, Aghniny Haque, kini menjejakkan kaki ke layar perak Malaysia menerusi filem seram terbaru berjudul Khadam.
Filem tersebut merupakan terbitan Red Communications dan Komet Productions.
Terkenal dengan naskhah pecah panggung iaitu, KKN Desa Penari dan Pemandi Jenazah, Aghniny, 28 tahun, mengakui terpikat dengan kekuatan skrip nukilan Fariza Azlina Isahak yang sarat dengan emosi, selain menyelitkan elemen seram dan juga mistik.
“Sejak kali pertama membaca skrip, saya benar-benar tersentuh.
“Jalan ceritanya penuh rasa, menyeramkan tetapi juga menyentuh hati. Saya tidak mampu berhenti membacanya.
“Saya tahu peluang berlakon di Malaysia ini tidak akan datang selalu, jadi saya terima meskipun dibayangi rasa kurang yakin, terutama bahasa Melayu saya yang belum fasih.
“Mujurlah, saya disokong pasukan penerbitan yang sangat baik,” kata Aghniny dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui BHM pada sidang media pengumuman barisan pelakon filem Khadam di Malaysia, baru-baru ini.
Filem Khadam yang diarahkan oleh Shamyl Othman, mengisahkan tentang Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya.
Apabila makhluk hitam mula menguasai hidupnya, Melor berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada menerima pewarisan makhluk ghaib itu.
Lebih daripada sekadar filem seram, Khadam turut menyelami dilema keibuan dan pengorbanan seorang wanita yang berdepan desakan hidup berlandaskan mitos serta budaya Asia Tenggara.
Dalam filem tersebut, Aghniny bakal menghidupkan watak utamanya iaitu, Melor, seorang ibu dua anak yang dihantui ketakutan selepas kematian ibunya.
Berbekalkan latar belakang sebagai bekas atlet Taekwondo, beliau menyifatkan watak itu sebagai cabaran besar dalam kerjaya lakonannya sejauh ini.
“Saya belum pernah membawa watak seperti Melor. Cabarannya besar, bebannya juga sama.
“Saya perlu tampil meyakinkan, bukan sahaja untuk penonton Malaysia, malah juga penonton Indonesia,” katanya lagi.
Selain Aghniny, barisan pelakon lain terlibat termasuk Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, June Lojong serta dua pelakon kanak-kanak yang juga sepasang adik-beradik iaitu, Zarra Zhaff dan Karl’El.
Bagi menjayakan penggambaran yang telah bermula sejak 16 September lalu, Aghniny memilih untuk menetap di Malaysia selama tiga bulan.
Sepanjang berada di seberang Tambak, pelakon asal Semarang itu teruja mengenali budaya Malaysia serta mendekati masyarakat tempatan.
“Saya rasa sangat diterima kerana orang-orang di sini ramah.
“Selain suka bahasanya, saya juga gemar dengan makanannya.
“Saya bangga serta bersyukur dapat terbabit dalam projek ini kerana memang sudah lama mengidamkan peluang bekerjasama dengan penerbitan di Malaysia,” ujar Aghniny.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg