Teman saya yang mulut laser mula bertanya: “Tahu-tahu, mengapa kita dibanjiri konsert artis ‘boyband’ dan ‘girl group’ era 1990-an ni?
“Masih boleh menyanyi ke mereka tu? Jangan semput sudah! Lagu setakat berapa kerat, mengapa pula sibuk nak bikin konsert?
“Lainlah KRU, kumpulan tiga beradik ini memang pencetus fenomena, berwawasan dan berjaya!”
Saya hanya dengarkan bebelan si teman sambil menghirup kopi segar dan menjamah jemput-jemput pisang yang masih panas dan rangup.
Saya sendiri terkejut kerana bagaikan ada satu kebangkitan semula ‘boyband’ dan ‘girl group’ pada era 1990-an, yang mana saya masih lagi menuntut di universiti dan melihat sebilangan teman mahupun adik-adik di sekolah menengah mengikut trend rambut pendek ranggi kumpulan Feminin, baju dan seluar labuh 4U2C atau fesyen ‘stylo’ KRU atau anggun Elite.
Memang pengalaman emas menyaksikan konsert KRU di The Star Theatre pada 28 Jun lalu payah terluput dari ingatan.
Lebih kagum apabila saya lihat pak cik dan mak cik berusia 70-an dan 80-an tahun turut sama menemani anak-anak mereka menyaksikan KRU beraksi dengan irama rancak penuh nostalgia.
Bagaimanapun, dalam kesibukan kumpulan-kumpulan ini nak bikin konsert, ada juga perkara tidak manis yang berlaku, bagai menggali semula kisah zaman silam lebih tiga dekad lalu yang belum ‘settle’ seperti perselisihan faham antara artis dan mantan pengurus atau penerbit lagu mereka.
Kecoh pula jadinya apabila penerbit, Man Senoi, atau nama sebenarnya, Othman Masri, 72 tahun, dan isterinya, Mama Rap, atau nama sebenarnya, Ramziah Mohamed Noor, 62 tahun, mempersoal bagaimana 4U2C boleh rancang nak bikin konsert, We 4U2C Live In Concert, di Idea Live Arena, Petaling Jaya, pada 15 September nanti.
Sebabnya, hak cipta bagi 25 lagu kumpulan berkenaan yang diterajui Datuk AC Mizal itu masih lagi di bawah nama mereka berdua.
Apabila kontroversi itu dikemukakan wartawan seberang kepada dua komposer ‘nama besar’, Datuk M. Nasir dan Ajai, kededuanya meminta agar AC duduk berbincang baik-baik dengan Man Senoi.
Aduhai, semakin berserabut keadaan apabila AC yang emosi dan agak bingit kerana terasa dirinya diserang dan ditentang, akui kecewa dengan komen Ajai.
Penganjur konsert, Juss Events, pula meminta permohonan maaf daripada beberapa individu termasuk Ajai, kerana menekankan tiada masalah undang-undang yang timbul ekoran konsert itu sepertimana yang Ajai khuatiri.
Sememangnya apabila mereka yang sudah lama tidak menyanyi kembali dan nak bikin konsert skala besar, pastinya mereka menjadi mangsa kecaman netizen.
Artis 1990-an perlu akur inilah era media sosial dengan ‘tamparan digital’ yang perlu mereka tangani apabila kembali menjadi tumpuan ramai.
Ini berlainan dengan golongan ‘otai’ yang memang terbukti masih ‘jalan terus’ bab mengekalkan stamina menyanyi seperti Datuk Jamal Abdillah, Hetty Koes Endang, ataupun Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Ada yang kata tengok mereka ni buat konsert berulang kali memang tak jemu-jemu.
Elite yang bakal adakan konsert Elite Live ’25 di Dewan Plenary, KLCC, pada 20 September, tidak lari daripada kecaman, baik dari segi mutu vokal, pakaian yang dikatakan tak sesuai mahupun stamina.
Tapi apa yang saya lihat lima sekawan, Abby Abadi, Sasha Saidin, Linda Rafar, Watie Sadali dan Azza Zawari, memang tak ambil ‘port’ cakap orang.
Rasanya boleh sahaja beri Tamparan Wanita (lagu terkenal mereka) kepada netizen yang tulis ‘macam tak ada insurans’.
Mereka bersemangat positif (macam pesanan dalam lagu-lagu memperkasa wanita yang menaikkan nama mereka) dan gigih menjalani latihan bersama guru vokal bagi memastikan suara mereka tak ‘ke laut’ semasa konsert.
Bagi saya, dalam membuat konsert skala besar atau sederhana buat peminat setia yang dewasa dengan lagu-lagu mereka, satu perkara yang harus ditekankan ialah konsert itu kelak bukan hanya mengembalikan nostalgia tetapi mampu mencipta sejarah mereka merupakan satu fenomena.
Tak perlu ikut-ikut kumpulan lain bikin konsert, terasa pun macam nak bikin konsert sama.
Kalau tak mampu buat konsert berskala besar, showcase di ruang lebih kecil pun jadilah.
Yang penting, mutu suara, sistem bunyi muzik dan kreativiti persembahan pun mesti nak jaga sebab ia mencerminkan harga diri artis yang jangan sampai tercalar dek kontroversi silam ataupun persembahan yang dikatakan taraf nyanyian karaoke bersama keluarga dan teman.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg