Pelakon dan usahawan Malaysia, Amerul Affendi, bersedia mengembangkan bakat lakonan ke negara jiran iaitu Indonesia, jika berpeluang selepas drama Good Boys Go To Heaven yang dibintanginya, mencetuskan fenomena.

Amerul, atau nama sebenarnya, Mohd Amerul Affendi Mohd Mawardi, 39 tahun, yang membawa watak Inspektor Kamal Hussaini dalam drama itu, turut mendapat gelaran ‘Inspektor Kismis’ dalam kalangan pengguna media sosial, sekali gus menyifatkannya sebagai maklum balas positif.

Siri drama berunsur ‘thriller’ psikologi, Good Boys Go To Heaven, terbitan Astro Shaw itu, mengisahkan tentang Yasser (lakonan Beto Kusyairi), seorang bapa yang hidupnya musnah selepas anak lelakinya yang berusia lapan tahun, Ahyan (Sayf Mikael), dilaporkan hilang sebelum ditemui mati dalam keadaan tragis di pekan kecil bernama Kuala Makar.

Kejadian itu menggemparkan penduduk Kuala Makar dan mencetuskan siasatan polis yang penuh tanda tanya.

Selain Ameerul, drama itu turut dibintangi barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Zahirah MacWilson, Mila Mohsin, Firdaus Karim, Malek Mccrone, Amanda Ang dan Sky Iskandar.

“Memang nampak juga ada komen penonton luar seperti Indonesia, terhadap watak Inspektor Kamal yang saya lakonkan itu bila muat naik video babak di media sosial.

“Pada saya okey, sebab ada juga orang yang suka (pada waktu itu).

“Saya hargai ada yang tengok lakonan saya dan kalau ada tawaran berlakon di sana (Indonesia), insya-Allah jika kena dengan watak dan jadual, saya sedia pertimbangkan untuk mencuba.

“Bagi saya, semua itu rezeki Allah dan saya tidak kisah untuk terima pun (tawaran).

“Ia juga merupakan satu pengalaman baharu kalau dapat bekerja dengan penerbitan dari luar negara,” kata Amerul dalam laman Harian Metro.

Ditanya juga gelaran ‘Inspektor Kismis’ gara-gara tabiat makan kismis dalam drama berkenaan, Amerul berkata beliau tidak menyangka akan dilabel penonton sebegitu.

“Sebagai Inspektor Kamal, memang watak itu dipaparkan suka makan kismis sambil menyiasat.

“Sekadar kudap-kudap, tetapi tidak sangka sampai dapat gelaran ‘Inspektor Kismis’ juga...kelakarlah.

“Malah, yang ‘best’ (seronok) juga bila ada yang mahu saya jadi duta produk kismis. Sampaikan saya dapat idea perniagaan baharu yang rasa macam hendak keluarkan produk kismis sendiri untuk dijual.

“Maklum sahaja bila tengok sambutan baik dan bagus seperti ini daripada penonton, sudah macam ada satu cabang perniagaan boleh dicuba. Saya pula memang suka berniaga dan nampaklah ada potensi.

“Apa salahnya sekali sekala kita cuba buat juga (berniaga kismis). Sementara benda tengah laku, rezeki juga namanya itu, ‘kan?,” katanya yang mengusahakan perniagaan ikan patin sangkar serta penternakan kerbau.

Nota: Bagi penonton Singapura, siri drama Good Boys Go To Heaven, boleh ditonton di wadah Netflix.