Selepas tidak lagi membuat persembahan di kelab malam sejak September lalu (2025), anak seni Singapura, Iskandar Ismail, atau lebih mesra disapa Eiss, mengambil keputusan ingin mencuba bidang baru sebagai jurulatih renang kanak-kanak.
Kata Eiss, yang sebelum ini juara peraduan realiti Singapura, SG Mania, beliau telah mendaftar dan mengikuti kursus jurulatih renang di Singapura.
Bagaimanapun, perjalanannya itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu dek komitmen dalam program realiti terbitan Astro, Gegar Vaganza Musim 12 (GV12), sekali gus mengorak langkah dalam dunia seni di seberang Tambak di bawah pihak pengurusan, MindOrder Management, yang turut menyelaras kegiatan juara GV6, Naqiu.
“Saya sudah penat menyanyi di kelab malam, dan saya juga rasa sudah sampai masanya untuk bertukar angin.
“Sebenarnya, saya ingin cuba bidang baru iaitu, mengajar berenang bagi kanak-kanak. Saya pun sudah ikuti kursus.
“Tetapi, separuh jalan ia tergendala sedikit. Kini, saya sudah tandatangani kontrak bersama syarikat pengurusan, MindOrder.
“Alhamdulilah, selepas GV12, ada beberapa projek yang sedang menanti. Insya-Allah, saya akan mula berkecimpung dalam bidang seni di Malaysia.
“Saya mohon doa dan juga sokongan daripada peminat di sini,” kata Eiss dalam satu wawancara di sidang media selepas persembahan minggu kelima di GV12, yang berlangsung di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Minggu kelima GV12, menyaksikan pentas disegarkan dengan persembahan penuh warna.
Berdasarkan tema ‘RNR’ atau Rare and Random, setiap peserta dipaksa keluar daripada zon selesa apabila dicabar menyampaikan lagu di luar kebiasaan genre masing-masing.
Di sebalik sengitnya pertandingan Eiss membuktikan taringnya apabila sekali lagi membina kejayaan dengan menduduki tangga pertama berturut-turut selama dua minggu, kali ini dengan mempertaruhkan lagu Hael Husaini yang rancak dan menyeronokkan, Kelentang Kelentong.
Beliau turut mengakui tidak menyangka momentum cemerlang itu mampu dikekalkan apabila sekali lagi dinobatkan di tangga teratas dengan markah 74.50 peratus.
Markah tinggi yang diraihnya merupakan hasil persembahan memukau bagi lagu Kelentang Kelentung, nyanyian asal Hael Husaini.
Sebelum ini, Eiss memecah rekod pertandingan GV12 dengan menjadi peserta pertama yang meraih markah melebihi 80 peratus atau lebih tepatnya, 84.25 peratus, di samping meninggalkan jauh saingannya.
Beliau bergandingan dengan juara GV11, Liza Aziz, bagi membawa dengan penuh jiwa lagu runut bunyi rasmi (OST) filem 1998, The Mask of Zorro, I Want to Spend My Lifetime Loving You.
Beliau juga merupakan juara minggu kedua apabila mendapat pujian memiliki suara terkawal yang membuai jiwa sewaktu mendendangkan lagu Teacher’s Pet, Warisan Wanita Terakhir.
Mengulas kemenangan pada minggu kelima pula, Eiss berkata:
“Sebenarnya, saya tak sangka dapat nombor satu hari ini
“Minggu ini, semua (peserta) menunjukkan kelainan masing-masing, dan memberikan persembahan serta prestasi yang baik.
“Ada juga yang pintar menari sambil bernyanyi seperti Mark Adam dan Nubhan. Jadi, saya betul-betul tak sangka dapat nombor satu!
“Namun, Alhamdulillah, ini semua berkat doa keluarga, isteri dan juga peminat saya, “ kongsi Eiss ketika diwawancara oleh media Malaysia.
Sebagai satu-satunya peserta yang mewakili Singapura, Eiss turut meluahkan rasa syukur yang mendalam apabila menerima sokongan padu daripada peminat setia di tanah air.
“Semua peminat memberikan kata-kata yang positif.
“Bagi peminat Singapura, saya adalah harapan mereka bagi GV kali ini.
“Maka itu, saya tidak boleh ambil peluang ini sambil lewa, dan harus terus maju ke hadapan sekali gus menunjukkan prestasi yang lebih baik setiap minggu,” tambahnya lagi.
Eiss turut membawa pulang Anugerah Adabi Ada Beats bernilai RM5000 ($1,572.46).
Persembahan Eiss yang menghiburkan dengan tarian ‘twist’ yang ligat serta julat vokal yang penuh dinamik itu meraih pujian daripada juri Hetty Koes Endang.
Kata Hetty yang mesra disapa Bunda itu, Eiss merupakan antara peserta yang layak ke pusingan akhir GV12.
“Interaksi kamu bersama penonton sangat bagus, dan vokal kamu juga stabil.
“Menurut Bunda, persembahan kamu bagus pada malam ini (30 November).
“Cuma, jangan cepat selesa kerana perjalanan masih panjang,” singkap Hetty.
Mengikut urutan carta mingguan GV12, di tempat kedua ialah kumpulan Mendua menerusi persembahan lagu P.U.S.P.A, dendangan asal kumpulan ST12.
Manakala, Nubhan yang mempersembahkan lagu bahasa Inggeris, It’s Gonna Be Me, oleh kumpulan N’Sync berada di tangga ketiga.
Kededua peserta tersebut meraih markah yang sama iaitu 67.25 peratus.
Tiga peserta yang berada di kedudukan terendah ialah Mell Sakura, diikuti dengan Shae dan Rahmat Ekamatra.
Bagaimanapun, Rahmat Ekamatra menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan dengan kesemua 11 peserta mara ke minggu keenam GV12.
Berikut merupakan markah bagi minggu kelima GV12:
– Iskandar Ismail (Kelentang Kelentong): 74.50%
– Mendua (P.U.S.P.A): 67.25%
– Nubhan (It’s Gonna Me): 67.25%
– Korie (Malam Pesta Muda Mudi): 66.25%
– Ruri Repvblik (Madu Tiga): 65.25%
– Freshies (Joget Toleh Menoleh): 65.00%
– Mark Adam (Awallah Dondang): 64.50%
– Krisya (Dag Dig Dug): 63.75%
– Mell Sakura (Robek Hatiku): 63.50%
– Shae (Sakitnya Tuh Di Sini): 59.50%
– Rahmat Ekamatra (Semuanya Sudah Terlambat): 56.00%
GV12 yang disiarkan secara langsung dari dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, boleh ditonton melalui saluran Astro Ria setiap Ahad, bermula 9 malam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg