Kepulangan bakat seni, sinari malam Raya dengan jenaka pecah perut
Kepulangan bakat seni, sinari malam Raya dengan jenaka pecah perut
‘Sinar Lebaran 2026’ himpun artis S’pura berkelana, kreativiti tempatan lebih menyerlah
Kepulangan bakat seni, sinari malam Raya dengan jenaka pecah perut
Siapa kata malam Raya nanti akan bosan duduk melongok depan televisyen?
Jika sebelum ini ada yang beranggapan rancangan hiburan malam Raya sudah mula hilang ‘bisanya’, Sinar Lebaran 2026 yang bakal ditayangkan di saluran Mediacorp Suria pada 20 Mac ini, nampaknya sudah bersedia untuk membuktikan tanggapan itu meleset sama sekali.
Bertema, ‘bagai sirih pulang ke gagang’, rancangan Sinar Lebaran kali ini menghimpunkan barisan artis kebanggaan Singapura yang selama ini menempa nama di Malaysia atau telah bermaustatin di luar negara.
Antaranya seperti Zack Zainal, Rima Melati Adams, Othman Hamzah, Hetty Sarlene, Adi Putra, Hisyam Hamid dan Datuk M Nasir.
Bak kata pepatah, ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri’, tentunya tiada yang lebih indah selain beraya di tanah kelahiran sendiri.
Pada 2026, buang jauh-jauh rasa jemu itu sebab sketsa Raya Sinar Lebaran 2026 menampilkan konsep yang lebih segar, ‘masuk air’ (gila-gila) dan yang paling penting ‘relatable’ (mudah difahami) bagi setiap lapisan umur.
Lupakan persembahan sketsa lama yang adakalanya panjang dan berbelit, dengan jenaka yang mungkin kurang kena di hati.
Pada edisi kali ini, penonton akan dihiburkan dengan trio ‘masuk air’ yang terdiri daripada pengacara, Hafidz Rahman; penyiar radio, Zuhairi Idris; dan pengacara sekali gus pelakon, Farhana M Noor.
Perpaduan antara Hafidz, Zuhairi, dengan Farhana benar-benar menjadi nadi bagi sketsa 2026 ini yang tersusun dalam tujuh segmen.
Hafidz tampil dengan gayanya yang ‘kuat melenting’, seolah-olah jiwa Bonda Bedah (watak mak cik ikonik yang tidak asing lagi di laman media sosial) sudah sebati dalam dirinya.
Manakala Zuhairi pula mencuri perhatian sebagai si candi dengan jenaka yang sering di luar kelaziman dan bersahaja.
Di tengah-tengah gabungan itu, Farhana hadir sebagai penyeri dengan gaya manja gediknya yang tidak menjengkelkan, sebaliknya cukup membuat penonton tidak kering gusi.
Antara yang menarik perhatian saya adalah babak parodi penjual bazar yang menjual makanan viral seperti kunafa dan dragon’s breath (sejenis pencuci mulut yang menghasilkan asap ketika dimakan), sesuatu yang pasti dekat di hati generasi muda.
Anda juga pasti akan terhibur dengan gelagat personaliti dan penghibur popular, Roslan Shah, atau lebih mesra disapa Cik Lan, menyajikan jenaka yang spontan, penuh bertenaga, dan dijamin ‘pecah perut’.
Satu lagi daya tarikan utama pastinya kemunculan pertama Iskandar Ismail selepas dinobatkan sebagai Juara Gegar Vaganza 12 (GV12).
Membuka tirai persembahan nyanyian, beliau membawakan lagu Pulanglah, dendangan asal Datuk Aishah, dalam versi tersendiri yang tidak kurang syahdunya.
Suasana dijangka lebih meriah dengan penampilan Najip Ali yang mempersembahkan lagu Esok Hari Raya (nyanyian asal Dr Sam dan Musafir) lengkap dengan tarian dan nyanyian yang memukau, manakala Era Farida pula menawan penonton melalui persembahan Joget Aidilfitri (dendangan asal Sanisah Huri).
Memang satu pemandangan yang jarang dapat dilihat di kaca televisyen apabila dua pengacara ini, yang terkenal dengan watak ‘heboh’ turut turun padang menggegarkan pentas sebagai penyanyi.
Bagi penggemar irama Raya moden, lagu Meriah Lain Macam (dendangan asal Hael Husaini dan Nadeera), yang dipersembahkan oleh Faiz Zikry dan SHO, pasti memberi suntikan tenaga baharu, sekali gus menghangatkan lagi kemeriahan perayaan.
Sudah tentu, semua mata pasti akan tertumpu kepada maestro muzik, Datuk M. Nasir, yang akan menggamitkan suasana dengan lagu klasik, Salam Dunia.
Di sebalik itu, timbul satu tanda tanya yang mengusik rasa ingin tahu: Adakah beliau juga akan muncul dalam sketsa komedi tahun ini?
Segala persoalan akan terjawab apabila Sinar Lebaran 2026 ditayangkan pada malam Raya, 20 Mac, bermula 9 malam di saluran Mediacorp Suria.

