Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu ‘Pernah Punya Aku’ Shila Amzah karya jujur dan peribadi

Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Shila Amzah, single, Pernah Punya Aku
Penyanyi Shila Amzah, melancarkan single terbaru berjudul, ‘Pernah Punya Aku’, menandakan fasa baru dalam kerjaya dan kehidupannya yang lebih matang sebagai penyanyi dan juga ibu dua anak. - Foto INSTAGRAM SHILA AMZAH

Selepas lebih dua dekad dalam dunia seni hiburan, Shila Amzah, 34 tahun, kembali dengan single terbaru berjudul, Pernah Punya Aku.

Lagu itu menandakan fasa baru dalam kerjaya dan kehidupannya yang lebih matang, jujur dan peribadi.

Menariknya, lagu itu ditulis dan digubah sepenuhnya oleh Shila sendiri hanya dalam tempoh dua hari. 

Lagu Pernah Punya Aku tercipta ketika beliau masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak kedua, Rhea Akira, hasil perkongsian hidupnya bersama pempengaruh sosial, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, atau lebih dikenali sebagai Ubai.

“Ketika itu, emosi saya sangat tidak stabil. Suami saya sarankan supaya saya luahkan segalanya melalui lagu.

“Dari situlah lahirnya Pernah Punya Aku. Ia bukan sekadar luahan, tapi juga proses penyembuhan buat diri saya,” kata Shila dalam laman web Harian Metro.

Menurut Shila, atau nama sebenar, Nurshahila Amir Amzah, proses rakaman lagu berjalan lancar dan pantas. 

Beliau bekerja rapat dengan penerbit dan pengarah muzik terkenal, Genervie Kam, dan lagu itu siap dirakam dalam masa kira-kira 40 minit.

“Saya sangat selesa bekerja dengan Genervie. Dia faham saya bukan saja sebagai artis, tapi juga sebagai seorang wanita. Kami senang bekerjasama,” katanya.

Dengan pengalaman dan kepekaan Genervie, lagu itu disusun dengan baik tanpa menghilangkan emosi tulen yang ingin Shila sampaikan, membawa tema kekecewaan dan kesedihan dalam sebuah hubungan.

Namun, Shila tidak mahu ia menjadi lagu yang hanya meratapi luka. 

Sebaliknya, beliau mahu lagu itu menjadi ruang pemulihan buat para pendengar, khususnya wanita.

“Walaupun lagu ini sedih, saya mahu pendengar tahu bahawa di sebalik setiap kepedihan, ada jalan keluar.

“Lagu ini mewakili suara ramai wanita yang pernah dikhianati, tetapi dalam masa sama saya selitkan kekuatan,” kata Shila, yang turut memilih untuk memperdengarkan lagu itu terlebih dahulu kepada ibunya sebelum orang lain.

Pernah Punya Aku adalah single pertama daripada album penuh terbaru Shila yang dijangka akan dilancarkan pada hujung 2025. 

Ia menjadi langkah awal untuk membuka lembaran baru buat Shila sebagai penyanyi, ibu dan wanita, yang melalui pelbagai fasa hidup.

Selain kembali dengan lagu baru, kebolehpercayaan Shila sebagai komposer turut mendapat pengiktirafan.

Beliau kini menyertai barisan juri dan komposer dalam program realiti nyanyian digital, Raise The Star Malaysia, yang bersiaran di saluran Astro Ria.

Namanya turut sebaris dengan komposer terkenal lain seperti Ajai, Ikhwan Fatanna, Aina Abdul dan Audi Mok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg