Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lagu ‘Tak Adil’ luahan sakit hati Aisha Retno akibat cinta

Bakal adakan ‘showcase’ The A.I.S.H.A Experience di JioSpace, M’sia pada 20 Sep
Jul 24, 2025 | 5:30 AM
aisha retno, lagu baru, tak adil
Penyanyi muda, Aisha Retno, meluahkan rasa kecewa dan amarah diperlakukan tak adil dalam hubungan cinta melalui karya baru bernuansa pop rok berjudul, ‘Tak Adil’. Lagu tersebut dihasilkan bersama adiknya, Radi, yang juga merupakan penyanyi, penerbit dan komposer lagu. - Foto INSTAGRAM AISHA RETNO

Persis gadis seusia, penyanyi muda Malaysia, Aisha Retno, 25 tahun, juga pernah merasa sakit ketika putus cinta.

Namun, begitulah ragamnya seseorang ketika berada dalam alam percintaan.

Ada masa suka dan ada juga masa duka.

Bagaimanapun, bagi Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, meluahkan segala perasaan terpendam yang meluap-luap dalam sebuah lagu bernuansa ‘pop rok’ berjudul, Tak Adil.

Mengakui tidak pernah rasa sesakit itu, Aisha, bagaimanapun enggan memperincikan peristiwa putus cinta tersebut kepada pihak media.

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom pada 8 Julai, Aisha mengatakan bahawa lagu ini berteraskan pengalaman pahitnya berdepan dengan patah hati.

“Ketika berhadapan isu patah hati, biasanya orang akan melalui empat tahap kesedihan seperti enggan menerima kenyataan, perasaan amarah dan kesedihan melampau.

“Ini juga yang sedang dihadapi dan dirasakan Aisha kini. 

“Aisha rasa ia adalah wajar untuk merasakan perasaan ini dan bersikap terbuka. 

“Dengan itu, saya melampiaskan segala perasaan ini dalam bentuk lagu, yang mana Aisha ingin meluahkan bagaimana perasaan ‘tak adil’ berlaku ketika kita merasakan lebih tersakiti daripada pasangan,” kata penyanyi berdarah kacukan Melayu, Arab dan Jawa itu.

Dalam video muzik Tak Adil, anak sulung dalam keluarga dua beradik itu menampilkan pemuzik wanita lain seperti pemain bes, Tasneem Bolhassan; pemain papan nada, Birgitta Abeysekra; pemain gitar, Afynaaa dan pemain dram, Hanifah Naimi.

Gabungan pemuzik wanita dalam muzik video tersebut menyerlahkan lagi semangat ‘tenaga wanita’, sekali gus memperkuatkan penyampaian mesej lagu dengan lebih berkesan.

Di samping itu, lagu ini merupakan hasil ciptaan bersama adik lelakinya, Sayed Abu Hanifa Radityo, atau lebih mesra dikenali sebagai Radi.

Radi juga telah menerbitkan beberapa lagu Aisha sebelum ini, termasuk W.H.U.T atau Wanna Hold U Tight (2021) dan I.L.S.M. atau I Love Sadness More (2022).

Lebih menarik lagi, Aisha berkata, Radi yang mengheret beliau keluar dari kepompong rasa sedih, lantas tercetus idea bagi lagu Tak Adil.

“Waktu itu, saya sedang menangis seorang diri dalam kamar. 

“Adik saya (Radi) mengetuk pintu kamar dan memberitahu saya untuk berhenti berlarut-larut dalam kesedihan. Sebaliknya, beliau mengajak saya untuk menulis lagu bersama-sama.

“Kebetulan juga, kami mempunyai studio rakaman sendiri di rumah. Semuanya diterjemahkan dengan jelas daripada apa yang saya lalui dan rasakan dalam lagu.

“Sementara itu, Radi pula memberi sentuhannya yang menghidupkan unsur ‘pop rok’ dalam lagu ini. Beliau juga yang mengarahkan vokal saya dalam karya ini.

“Awalnya, lagu ini seharusnya lagu balada berdasarkan melodi dan lirik lagu yang saya tulis. 

“Tetapi disebabkan malam itu, ketika merakam lagu Tak Adil, Radi lihat saya menyanyikan demo lagu tersebut dengan penuh kemarahan, maka beliau mengusulkan saya bernyanyi dalam genre ‘pop rok’,” cerita Aisha lagi.

Bagi Aisha, anak kepada penyanyi Indonesia era 1980-an, Jean Retno Aryani, kejujuran merupakan tunjang utama yang dipegangnya sebagai penulis lagu.

Beliau berkata seorang penulis lagu harus berani meluahkan perasaan yang terkubur dalam diri, walau sesukar mana sekali pun.

Selain menyingkap soal hati, lagu ini turut menjadi saksi perjalanan hidup yang dilalui Aisha sebagai penyanyi muda yang telah berkecimpung dalam bidang hiburan lebih lima tahun, sejak 2018.  

Lagu Tak Adil menjadi kebangkitan semula Aisha selepas menyepi beberapa bulan akibat hal peribadi, termasuk tragedi pembatalan Konsert Malam Sutera Aisha Retno, oleh pihak penganjur, Kharisma Music International.

Pembatalan konsert sulung Aisha pada November 2024 lalu, cukup memberi kesan mendalam pada dirinya.

Pengalaman itu bukan sahaja sukar, malah turut menghantui dan memberi kesan emosi kepada pelantun lagu Samudera itu.

Lantas, Aisha memilih untuk menyalurkan rasa ketidakadilan menjadi sesuatu yang bermakna dalam lagu terbarunya, Tak Adil.

Aisha juga giat memberikan petunjuk melalui laman media sosial miliknya bersangkutan pelancaran album kecil, yang menampilkan kerjasama beliau dengan komposer tempatan serta komposer Indonesia, Ade Govinda.

Bahagian pertama album terbaru Aisha berjudul, RE:HAB, bakal dilancarkan pada 25 Julai.

Enggan terus-menerus dibelenggu trauma pembatalan konsert sulung lalu, Aisha juga akan mengadakan persembahan ‘showcase’, The A.I.S.H.A Experience, anjuran LOL Asia pada 20 September di JioSpace, Petaling Jaya, Malaysia.

Pelancaran penjualan tiket bagi persembahan tersebut bakal diumumkan melalui laman Instagram We Are LOL Asia bermula 31 Julai ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg