Sejak kebelakangan ini, nama pelakon Malaysia, Izzue Islam, sering kali dikaitkan dengan watak antagonis. 

Antara lakonan Izzue yang meraih pujian dan sering menjadi bualan netizen di media sosial hingga kini merupakan watak Zakwan, seorang suami yang egois, lemah pendirian dan curang dalam drama Bahagia Yang Tertangguh. 

Drama yang disiarkan pada November 2025 di saluran Astro Ria melihat Izzue bergandingan dengan pelakon popular, Nad Zainal dan Rozita Che Wan.

Di wadah Threads, ramai netizen yang meluahkan rasa ‘geram’ dan tidak puas hati dengan perangai Zakwan yang sering mengambil kesempatan dan memperkecilkan perasaan isterinya.

Namun peluang untuk membawa watak antagonis tidak datang dengan mudah bagi Izzue apabila mula melangkah masuk ke dalam bidang seni pada 2009.

“Dahulu ada pihak penerbitan yang berkata perwatakan saya kelihatan terlalu baik dan ‘clean-cut’ (kemas).

“Ada turut kata muka saya ini ‘jambu’ sehingga ramai yang tidak percaya saya boleh membawa watak jahat. 

“Alhamdulillah, selepas diberi peluang untuk membawa watak antagonis, saya kini asyik menerima watak sebegitu,” kongsinya kepada Berita Minggu (BM) ketika ditemui di Hotel Hilton Orchard baru-baru ini.

Izzue, 36 tahun, mula tampil dengan watak antagonis dalam drama Patahnya Sebelah Sayap (2016) apabila beliau membawa watak sebagai Amzar, seorang peguam yang berdendam.

Selepas itu, beliau diberikan amanah untuk membawa watak antagonis sekali lagi dalam Tercipta Satu Ikatan (2021) dan Rindu Kasih (2022-2025). 

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan dan kini penonton tidak beranggapan bahawa saya sesuai membawa watak baik sahaja. 

“Dalam kehidupan nyata, kadangkala orang yang kelihatan baik mungkin ada niat jahat dan kita tidak tahu perwatakan sebenar mereka,” cerita Izzue yang sedang menjalani penggambaran bagi drama Suamiku Anak Mak yang turut dibintangi Emma Maembong, Keith Foo dan Dian P Ramlee.

Walaupun lebih dari 15 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, anak kelahiran Kelantan itu masih mendahagakan pelbagai watak yang mencabar kebolehannya.

“Alhamdulillah saya telah diberi peluang membawa pelbagai watak termasuk orang kurang upaya dan individu lebih matang.

“Namun, saya belum puas. Saya ingin memperbaiki lakonan saya dan terbuka dengan apa jua tawaran,” ujarnya.

Sebelum ini, Izzue pernah digelar pelakon yang boleh menjiwai emosi sedih dengan baik atau pelakon ‘air mata’ oleh pengarah terkenal, Rashid Sibir, selepas membintangi dalam telefilem menyayat hati, Abang Kandung (2018) dan drama Tok Adi (2018).

Mengulas mengenai lebih ramai personaliti media sosial yang menceburi bidang lakonan, Izzue berpendapat bahawa setiap individu yang dipilih untuk terlibat dalam sesebuah naskhah pasti ada keunikan masing-masing. 

“Apabila pihak penerbitan memilih seseorang untuk berlakon, pasti mereka melihat potensi dan ‘aura’ yang berbeza dalam individu itu,” katanya.

Izzue Islam mahu terus mencabar bakat lakonannya. Beliau tidak mahu berada di tempat selesa buat terlalu lama dan terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Izzue Islam mahu terus mencabar bakat lakonannya. Beliau tidak mahu berada di tempat selesa buat terlalu lama dan terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu. - Foto ihsan IZZUE ISLAM

Kehadiran lebih ramai pelakon baharu dalam industri seni turut membuat Izzue sedar bahawa beliau tidak boleh rasa terlalu selesa dan harus bersikap terbuka untuk mencuba sesuatu yang berlainan. 

“Dengan adanya bakat baharu ia memeriahkan industri seni di Malaysia. Setiap individu harus bekerja keras untuk menempa nama.

“Bagi yang berpengalaman pula, ia membakar semangat kami untuk memperbaiki bakat sendiri sambil bersaing secara sihat,” ujarnya yang turut terlibat dalam bidang pengacaraan dan nyanyian. 

Izzue turut menambah bahawa penonton dapat menilai jika pelakon itu berjaya menjiwai watak dan menyampaikan dialog dalam drama dengan ikhlas.

Dikenali sebagai artis yang serba boleh, Izzue berharap dapat mengembangkan sayap dalam pihak penerbitan pada masa hadapan.

“Ia merupakan sesuatu dalam perancangan. Saya tertarik melihat bagaimana pelakon veteran seperti Datuk Rosyam Nor berjaya sebagai seorang pelakon dan mempunyai syarikat penerbitannya sendiri. 

“Saya berharap dapat mengikut jejak sebegitu di mana beliau masih aktif berlakon dan turut cemerlang sebagai seorang usahawan,” tambahnya.