Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 30 tahun berlakon, Siti Hajar terus timba ilmu
Lebih 30 tahun berlakon, Siti Hajar terus timba ilmu
Galas watak ibu dihimpit duka kehilangan anak dalam pementasan Teater Ekamatra, ‘Charged’
Lebih 30 tahun berlakon, Siti Hajar terus timba ilmu
Lebih tiga dekad bergelar pelakon bukan alasan buat anak seni tempatan, Siti Hajar Abdul Gani, berhenti belajar.
Pada usia 52 tahun, beliau percaya seorang pelakon perlu terus berkembang mengikut peredaran zaman, walaupun pengalaman yang dimiliki sudah cukup panjang.
“Zaman sudah berubah, jadi sebagai pelakon kita juga perlu berubah. Kita tidak boleh terlalu selesa atau berasakan diri sudah cukup bagus.
“Walaupun sudah lama berlakon, saya masih menganggap diri ini sedang belajar. Saya juga tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang lakonan.
“Jadi, saya sentiasa mengambil peluang untuk belajar daripada pelakon muda yang ada pendidikan dalam bidang ini.
“Cuma, pada usia 52 tahun, saya dapat rasakan stamina dan emosi saya sudah berbeza. Saya pernah berbual tentang perkara ini dengan pelakon, Serene Chen.
“Kalau dulu, saya mudah beralih daripada satu babak ke babak yang lain.
“Sekarang, selepas melakonkan babak yang berat emosinya, saya perlukan sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum meneruskan babak lain,” kata Siti Hajar kepada Berita Harian (BH) baru-baru ini.
Pengalaman panjang yang dikumpul itu bukan sahaja dimanfaatkan untuk dirinya, malah turut dikongsi bersama anak perempuannya, Haziqah Hashir, 25 tahun, yang kini mula mencipta nama dalam bidang lakonan.
Haziqah, yang sebelum ini lebih dikenali menerusi lakonannya di kaca televisyen, berhasil membuat penampilan sulung sebagai watak utama, Azura, menerusi pementasan, La Luna, naskhah teater yang dipadankan daripada filem dengan judul sama.
Pementasan yang ditugaskan Esplanade kepada Teater Ekamatra itu dipersembahkan sempena Pesta Raya 2026, di Teater Singtel Waterfront sekitar April lalu.
“Haziqah memulakan kerjaya lakonannya bersama saya. Dalam drama, Aduh... Bibikku! (Musim 2), dia berlakon sebagai anak saya.
“Kemudian, dia ikut berlakon dalam drama, Bujang Hantar, yang saya arahkan. Jadi, saya memang tahu kelebihan dan kekurangannya.
“Namun, macam biasalah, anak muda mana suka kalau ibunya asyik beritahu apa yang patut dibuat. Jadi saya biarkan saja dia cari rentaknya sendiri.
“Cuma bila dah buntu, barulah dia datang cari saya. Itulah yang berlaku ketika dia menerima tawaran berlakon dalam pementasan, La Luna.
“Awalnya, saya sempat fikir, ‘Bolehkah dia berlakon di atas pentas dengan baik?’
“Mujurlah La Luna ada babak nyanyian. Sekurang-kurangnya saya tak risau sangat kerana saya tahu dia memang boleh menyanyi,” seloroh ibu dua anak perempuan itu.
Selepas menyaksikan sendiri perjalanan seni Haziqah, Siti Hajar kini kembali ke pentas teater menerusi Charged, yang dibawakan Teater Ekamatra, dengan menggalas watak seorang ibu yang berdepan kehilangan paling besar dalam hidupnya.
Setelah dipentaskan buat kali pertama pada 2010, Charged kembali menemui penonton dengan sentuhan arahan Mohd Fared Jainal, menerusi set persembahan yang berlangsung antara 23 Julai dengan 2 Ogos, di Teater The Ngee Ann Kongsi, Wild Rice @ Funan.
Berlatarbelakangkan malam sambutan Tahun Baharu Cina, Charged mengisahkan ketegangan yang tercetus di sebuah kem tentera apabila hanya anggota berbangsa Melayu dan India ditugaskan mengawal kem.
Konflik itu akhirnya membawa kepada kematian misteri dua anggota tentera daripada kaum berbeza, sekali gus merungkai pelbagai persoalan.
Dalam pementasan itu, Siti Hajar menghidupkan watak Zuraidah, ibu yang dihimpit kesedihan selepas kehilangan anaknya, Koperal Mohammad Akmal Hakim Yusof (lakonan Irsyad Dawood), seorang anggota tentera.
Baginya, tiada kehilangan yang lebih menyakitkan daripada pemergian seorang anak.
“Hubungan Zuraidah dengan anaknya, Hakim, sudah lama renggang.
“Selepas Hakim meninggalkan rumah selama setahun, Zuraidah tidak lagi mengetahui di mana anaknya berada atau kem mana dia bertugas.
“Apa yang tinggal hanyalah khabar anaknya sudah meninggal dunia. Hal ini merupakan satu kenyataan yang perit untuk diterima mana-mana ibu,” ujarnya.
Selain Siti Hajar, pementasan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Irsyad Dawood, Brendon Fernandez, Teoh Jun Vinh, Krish Natarajan, Ali Mazrin, Izzul Irfan dan Serene Chen.
Beliau turut akur tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran membintangi Charged, memandangkan sudah agak lama beliau tidak berlakon pentas sejak 2024.
Bagi Siti Hajar, antara kekuatan utama Charged adalah keberaniannya mengupas isu kaum dan prejudis yang berkaitan dengan realiti kehidupan masyarakat Singapura.
“Ketika membaca skrip, saya sendiri terkejut kerana selama ini saya hanya mendengar kisah sebegini daripada pengalaman suami.
“Selepas meneliti jalan ceritanya, saya terfikir, ‘Rupa-rupanya perkara seperti ini memang berlaku.’
“Walaupun skrip ini ditulis pada 2010 dan suami saya menjalani Perkhidmatan Negara (NS) pada awal 1990-an, saya menyedari masih ada perkara yang tidak banyak berubah,” ceritanya.
Mengakui watak itu antara yang paling mencabar dari segi emosi, Siti Hajar berkata, naluri sebagai seorang ibu banyak membantunya memahami kesedihan yang dipikul Zuraidah sepanjang pementasan.
“Sejujurnya, saya tidak perlu membuat kajian yang terlalu mendalam kerana saya sendiri seorang ibu.
“Saya juga cuba untuk tidak terlalu kerap berlatih bagi babak yang sarat emosi.
“Saya mahu setiap kali melakonkannya, perasaan yang hadir itu datang secara semula jadi.
“Ketika sesi latihan biasa, saya akan menahan emosi sedaya upaya.
“Hanya ketika raptai penuh atau apabila babak tersebut benar-benar memerlukan, barulah saya meluahkan keseluruhan emosi watak itu.
“Bagi saya, emosi perlu disimpan sehingga saat yang tepat. Di situlah terletaknya keikhlasan dalam lakonan.
“Jika terlalu kerap diulang, persembahan itu akhirnya menjadi sekadar teknikal, bukan lagi lahir daripada rasa yang sebenar,” kata Siti Hajar.
Tiket bagi pementasan Charged, yang berharga antara $45 dengan $75, boleh ditempah di laman web, Book My Show menerusi pautan, https://bh.sg/D9e9
Tiket juga boleh didapatkan dengan menggunakan Pas Budaya SG.