Pemergian ramai rakan seperjuangan dalam industri hiburan sedikit demi sedikit mengubah cara pelakon Malaysia, Mahmud Ali Bashah, melihat kehidupan.

Mahmud, 66 tahun, yang hampir empat dekad berkecimpung dalam dunia seni berkata beliau semakin kerap memikirkan soal kematian dan persediaan menuju akhirat.

“Bila umur meningkat, kita mula fikir tentang kematian.

“Ramai kawan-kawan dalam bidang sama sudah tiada, dari situ timbul kesedaran hidup ini sementara dan kita kena lebih fikir tentang akhirat,” kata Mahmud, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Pelakon kelahiran Sarawak itu berkata kehidupan sebagai anak seni pernah membuatkan dirinya leka mengejar kesibukan dunia dan populariti sehingga kurang memberi perhatian terhadap soal agama.

“Masa muda kita rasa kuat, kadang-kadang angkuh dan leka.

“Kita fikir soal dunia sahaja tetapi bila umur meningkat dan lihat apa berlaku di sekeliling, kita mula sedar dan cuba berubah mencari reda Allah,” ujarnya.

Selepas 37 tahun aktif dalam dunia lakonan, pelakon yang pernah membintangi filem, Anna and the King, itu memilih untuk kembali menetap di kampung halamannya di Sarawak, bagi menjalani kehidupan lebih tenang.

Bagaimanapun, Mahmud masih terbuka menerima tawaran lakonan yang membawa mesej positif dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Selain itu, beliau yang merupakan antara jemaah haji Malaysia pada 2026, turut mendedahkan pengalaman berada di Tanah Suci, memberikan satu ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, selain menimbulkan rasa insaf dalam dirinya.

Menurutnya, kesedaran menunaikan haji sebenarnya hadir sejak usia 20-an tahun selepas melihat rakan-rakan mengerjakan umrah dan haji, namun beliau terpaksa menunggu lama kerana lewat membuat pendaftaran.

“Alhamdulillah, walaupun menunggu lama dan beberapa kali membuat rayuan, akhirnya Allah jemput juga saya menjadi tetamu-Nya,” kata Mahmud, yang pernah membintangi drama Cinta Tiada Ganti, Cik Ayu Mee Sanggul dan Takdir Itu Milik Aku.