Lebih dua dekad selepas mencetuskan fenomena luar biasa menerusi Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 2005, penyanyi Malaysia, Mawi, terus mendapat tempat dalam industri hiburan serantau.

Kini, Mawi, atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 45 tahun, kembali mencuri perhatian menerusi penyertaannya dalam pertandingan, Gegar Vaganza (GV) Fantasia, yang menghimpunkan semula alumni dan juara AF.

Ketika menyertai AF3, popularitinya begitu hebat sehingga mencetuskan gelombang sokongan peminat yang dikenali sebagai ‘Tsumawi’, gabungan perkataan ‘tsunami’ dan ‘Mawi’, bagi menggambarkan sambutan luar biasa terhadap penyanyi itu.

Malah, ungkapan ‘Mawi World’ turut menjadi identiti yang cukup sinonim dengannya hingga ke hari ini.

Sepanjang perjalanan seninya, Mawi menghasilkan beberapa lagu hit seperti Aduh Saliha, Lagu Jiwa Lagu Cinta dan Kian, selain berpeluang bekerjasama dengan nama besar industri muzik Malaysia.

Antaranya, beliau pernah bergandingan dengan Datuk M. Nasir menerusi karya, Lagu Jiwa Lagu Cinta, selain bekerjasama dengan kumpulan KRU dalam lagu, Sujud, dan Raihan menerusi Iqra’.

Pada 2010, Mawi menghasilkan album, Idolaku, yang menghimpunkan 12 lagu duet bersama penyanyi yang menjadi idolanya, termasuk Datuk Jamal Abdillah, Datuk Ramli Sarip, Datuk Hattan, Zamani dan Fauziah Ahmad Daud.

Dalam pada itu, Mawi turut menjalin kerjasama dengan pengarah dan pelakon Malaysia, Syamsul Yusof, menerusi beberapa lagu termasuk Kalah Dalam Menang, Bukan Propaganda dan Menangislah.

Di sebalik hubungan profesional itu, bapa seorang anak perempuan berusia 14 tahun itu menyifatkan Syamsul sebagai sahabat baik yang sentiasa mengambil berat tentang keadaannya.

Mengenang persahabatan mereka, Mawi berkongsi pengalaman menyentuh hati apabila Syamsul pernah datang menziarahinya ketika beliau dirawat di hospital.

Menurut Mawi, Syamsul bukan sekadar bertanya khabar, malah turut membacakan ayat suci Al-Quran sebagai ikhtiar rawatan rukyah.

“Beliau macam saudara saya sendiri. Sebenarnya, ada kisah di sebalik persahabatan kami.

“Dulu saya pernah sakit dan beliau datang ke hospital untuk membantu merawat saya menerusi rukyah.

“Apa yang dibaca dalam filem, Munafik, menerusi watak Ustaz Adam (lakonan Syamsul), itulah yang dibacanya.

“Beliau pegang dahi saya, kemudian beliau rukyah.

“Detik itu membuatkan saya rasa Syamsul seorang yang luar biasa,” katanya dalam laman web, Gempak.

Mawi mengakui dirinya begitu tersentuh dengan keprihatinan Syamsul sehingga menitiskan air mata tanpa disedari sahabatnya itu.

“Saya menangis waktu itu, tetapi beliau tak nampak sebab keadaan agak gelap.

“Saya menangis sebab tersentuh. Syamsul memang sahabat saya,” ujarnya.

Baru-baru ini, Mawi melancarkan lagu terbaru berjudul, Pawana Pawaka, yang membawa pesanan tentang cabaran hidup serta menjauhi fitnah dan hasutan.

Lagu ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik tulisan Kamarudin Hasim itu, diterbitkan menerusi kerjasama AJ Productions dan Sheikh Qalam Records.