SPH Logo mobile
Langgan|

Marsha: Dulu orang tak sedar saya penyanyi...

Marsha: Dulu orang tak sedar saya penyanyi...

Penyanyi lagu ‘Hening Rindu’ lebih rela hasilkan lagu malar segar daripada mengejar lagu yang tular
Mar 8, 2026 | 5:30 AM

Marsha: Dulu orang tak sedar saya penyanyi...

marsha milan
Penyanyi serta pelakon Malaysia, Marsha Milan, melihat rezekinya lebih berpihak kepada kerjaya dalam bidang muzik berbanding soal memulakan kehidupan berkeluarga. - Foto INSTAGRAM MARSHA MILAN

Selepas meraih kemenangan pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) menerusi lagu Hening Rindu, penyanyi dan pelakon berketurunan Sabah, Marsha Milan, atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh, merasakan semakin banyak peluang terbuka dalam kerjaya seninya.

Pada masa sama, kemenangan itu turut menghadirkan rasa lega kerana seolah-olah mengingatkan orang ramai dirinya masih aktif dalam bidang nyanyian, selain lakonan.

“Sebenarnya, bukan hanya kemenangan Hening Rindu sahaja, tetapi sejak saya mula menyertai Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) bagi lagu Cinta, ia telah membuka banyak peluang baharu untuk saya.

“Menerusi lagu tersebut, saya dinobatkan Naib Juara AJL37 dan pemenang kategori Persembahan Terbaik.

“Secara tidak langsung, pencapaian ini berhasil membuatkan orang ramai sedar sebenarnya saya seorang penyanyi, walaupun saya lebih banyak terlibat dalam bidang lakonan.

“Disebabkan faktor itu juga, saya rasa ia agak mencabar untuk mencari identiti muzik saya sendiri, kerana sebelum ini tidak diberi begitu banyak ruang untuk dikenali sebagai penyanyi.

“Meskipun saya ada mengeluarkan lagu baharu dan melakukan usaha lain untuk mengetengahkan karya saya, peluang menonjolkan diri dalam bidang nyanyian tidak begitu besar.

“Bagi saya, AJL37 menjadi titik yang membuka pintu rezeki dengan lebih luas, hingga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, saya berpeluang menjejakkan kaki ke beberapa negara, bukan sekadar mempromosikan lagu saya, malah dapat berkongsi serta memperkenalkan budaya kita kepada masyarakat luar,” kata Marsha, 40 tahun, dalam satu sesi wawancara di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Selangor, bersama Berita Minggu (BM), baru-baru ini.

Marsha merupakan penyanyi undangan yang berduet bersama Naib Juara Gegar Vaganza 12 (GV12), kumpulan Mendua dari Indonesia.

Mereka membawakan lagu pop nyanyian asal Michael Jackson, Billie Jean.

Menurut Marsha, dalam memilih sesebuah lagu, terdapat pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan bagi memberikan kelainan pada karya yang dihasilkan.

Sejak kebelakangan ini, beliau merasakan akhirnya berjaya menemukan identiti muziknya sendiri hasil pelbagai eksperimen dari segi genre, vokal dan gaya persembahan, khususnya ketika tampil di pentas berprestij seperti AJL.

Penyanyi lagu Tangisan Seorang Pendosa itu, justeru itu, tidak ingin terikat pada satu genre sahaja.

Malah, beliau kini lebih teliti dalam memilih karya yang sesuai dan ‘kena’ pada jiwanya.

“Saya sentiasa fikir tentang jangka hayat sesebuah lagu itu, sama ada ia akan kekal relevan 20 tahun akan datang.

“Jadi, saya lebih memilih untuk menghasilkan lagu yang bersifat malar segar berbanding mengejar lagu yang tular.

“Walaupun sesebuah lagu itu tular, ia tidak semestinya mampu bertahan lama,” katanya, yang dicungkil bakat nyanyiannya melalui program, Akademi Fantasia 3, pada 2005.

Apabila ditanya mengenai lagu yang kerap menonjolkan vokalnya yang tinggi melangit, Marsha akur kebanyakan lagunya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibawakan.

Bagaimanapun, melihat kejayaan lagu Cinta dan Hening Rindu, Marsha benar-benar merasakan penghargaan sebagai penyanyi yang selama ini beliau impikan.

“Sebenarnya, setiap lagu saya ada cabarannya tersendiri.

“Terus terang, banyak lagu saya memerlukan tenaga yang tinggi dan ketelitian mendalam dari segi aspek teknikal.

“Bukan mudah menyanyikan lagu-lagu ini, tetapi alhamdulillah, setiap kali saya membawakan lagu saya, contohnya Cinta, dan terutama sekali Hening Rindu, saya dapat rasakan penonton dibuai suasana.

“Itulah detik kejayaan buat saya.

“Pernah saya menyanyikan beberapa lagu lama saya, tetapi penonton tidak begitu kenal.

“Jadi, apabila orang ramai dapat ikut bernyanyi bersama, ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan,” ujarnya.

Selain itu, Marsha juga giat mengetengahkan lagu yang memaparkan budaya Sabah melalui album, Misompuru, yang bermaksud berkumpul.

Nilai kebersamaan itulah yang turut menjadi sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan Marsha setiap kali Ramadan tiba.

Sebagai mualaf yang memeluk agama Islam pada 2015, bulan mulia ini membawa makna yang sangat istimewa bagi dirinya.

“Sebenarnya, idea untuk berkumpul seperti yang diperkenalkan dalam album Misompuru, selalu membuatkan saya teruja menanti-nantikan saat itu (Ramadan).

“Sebagai seorang mualaf, Ramadan menjadi waktu untuk memperbaiki diri sambil meluangkan lebih banyak masa bersama orang tersayang.

“Sejak berkahwin, saya menjadi lebih mementingkan keluarga kerana suami saya juga begitu.

“Setiap kali tiba bulan puasa, terutama pada hari pertama dan terakhir, serta ketika Hari Raya, saya sentiasa menantikan detik ini dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan,” cerita Marsha, yang telah mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamed Shaiful Nizam Datuk Seri Hj. Mohamed Ismail, pada 2016.

Walaupun sudah 10 tahun berkahwin, Marsha masih menantikan rezeki zuriat.

Ditanya BM bagaimana beliau menangani tekanan setiap kali ditanya tentang zuriat, pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa itu, berkata dengan penuh harapan:

“Awalnya, saya sering tertanya-tanya, ‘Mengapa saya berada dalam situasi ini, di mana saya masih belum dikurniakan zuriat?’

“Hal itu sering membuat saya merenung dan bertanya pada diri sendiri.

“Namun, lama-kelamaan, mungkin inilah cara Allah membimbing saya untuk berkembang dan belajar melalui ujian ini.

“Walaupun saya masih belum dikurniakan zuriat, alhamdulillah, rezeki hadir dalam bentuk lain, contohnya kerjaya saya berkembang dengan baik, dan saya benar-benar menghargai nikmat itu.

“Alhamdulillah, saya reda dengan setiap ketentuan Allah.

“Saya yakin Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk diri saya.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg