Saban hari, penyanyi baru tiba-tiba muncul di wadah perkongsian video TikTok untuk menghiburkan jiwa rakan sebaya yang dahagakan sajian muzik baru atau ingin mengubati hati yang kecewa dek putus cinta.
Apabila sudah terlalu ramai penyanyi (angkanya boleh mencecah jutaan orang serata dunia) menghujani media sosial bak cendawan tumbuh selepas hujan, sebagai pengamat muzik, anda tertanya-tanya: “Nak dengar lagu siapa dan mampukah mereka bertahan di persada muzik ini lebih lama?”
Lainlah zaman saya dewasa, tatkala piring hitam, kaset dan cakera padat menjadi teman di kala mata belum lagi diminta beralih arah pada iPad untuk menatap YouTube atau wadah penstriman Netflix dan Spotify.
Bagaimanapun, di tengah-tengah kesibukan si anak seni muda ingin mendapatkan perhatian pengikut masing-masing dengan ungkapan berulang, “Like and Share”, saya bangga dengan usaha sesetengah daripada mereka untuk berdiri tinggi di atas kaki sendiri dengan kelainan.
Saya terpegun dengan konsep pemasaran karya dan jenama bintang muda Singapura, Shazza, atau nama sebenarnya, Shareefa Aminah Abdul Shariff, yang baru-baru ini menyambut ulang tahunnya yang ke-24.
Pemenang Anugerah Jauhari Harapan 2023, yang disampaikan Berita Harian (BH) kepada belia cemerlang yang boleh dijadikan inspirasi itu, menghadiahkan peminatnya dengan konsert mini untuk memperkenalkan lagu dalam album terkininya, Happy, Wretched & Terrified, yang dilancarkan pada Ogos 2025.
Album itu merakam emosi meliputi rasa marah, pengamatan pada harga diri dan proses dewasa memasuki usia 20-an tahun, yang sedang Shazza harungi.
Selain album, Shazza turut mengadakan pesta atau keramaian skala nasional menerusi acara, Shazzafest, di Teater Scape Ground pada 24 Ogos, antara 5 petang dengan 9 malam.
Yang menariknya, beliau mengetengahkan pelbagai reruai dengan jualan produk yang diminati anak muda seperti minyak wangi Sifr Aromatics; hijab jenama Soof; pakaian dari Thingamajigs; biskut dan minuman oleh golongan istimewa di MIJ Hub; kopi unik Caffienated; produk jagaan kulit, Bareness Skin; dan cenderahati, Tell Your Children.
Bagi yang ‘jiwa-jiwa’, ada pula hasil tulisan puisi spontan, Graceful Quills.
Sewaktu mewawancara Shazza dahulu, saya akur belia ini memang kreatif dan bijak memikirkan gagasan idea untuk menarik lautan peminat menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak.
Shazzafest, misalnya, merupakan satu usaha mempromosikan atau berkongsi rezeki dengan usahawan muda Singapura yang baru memulakan perniagaan mereka mahupun memberi galakan kepada golongan istimewa yang juga mencari rezeki.
Kebanyakan masa, kita lihat artis setakat buat persembahan sempena hari lahir atau bikin video spontan sebagai hadiah kepada peminat.
Tapi, Shazza memperluas idea menyambut hari lahir dengan peminat menerusi fiesta lebih besar.
Setelah disenaraikan majalah perniagaan, Forbes, sebagai antara 300 usahawan, pemimpin dan anak seni inovatif muda merentasi rantau Asia Pasifik, di bawah usia 30 tahun, dalam senarai berprestij belia berwawasan dalam era Kecerdasan Buatan (AI), 30 Under 30 Asia (Class of 2025), semakin mencurah-curah idea Shazza.
Dalam Shazzafest sahaja, kita dapat lihat semangat keusahawanan, keprihatinan pada golongan memerlukan dan disiplin membangun idea kecil menjadi besar begitu ketara.
Selain usaha Shazza, saya turut melihat semangat bakat Singapura, Danial Baharin, dalam memajukan muzik dan memberi takrifan baru pada beberapa lagu ‘cover’ seperti Rapuh (dendangan asal Opick); Tak Ingin Sendiri (Mayang Sari); dan Sepenuh Hati (Spoon).
Video yang dirakam bersama rakan-rakan pemuzik seperti Amir Mansor dan kumpulan Fav Playlist di bawah platform, No Limit Covers, memberi kesegaran pada kerja seni anak Singapura.
Danial yang saya kenal memang banyak idea bertali arus dalam memajukan kerja seni anak Singapura.
Mendendangkan lagu ‘cover’ bukan setakat ambil, cedok dan paparkan semula, tetapi perlukan suntikan kelainan sezaman agar mudah dihadam generasi muda.
Banyak projek memelihara dan memulihara muzik yang cuba diusahakannya termasuk lagu Hari Raya.
Sekali lagi, ia membawa pada topik yang sentiasa dekat di hati saya, iaitu proses mengarkib karya bakat Singapura dari dahulu sampai sekarang sebagai satu legasi dan khazanah warisan.
Kita perlukan lebih ramai artis Singapura yang berbakat, kreatif dan inovatif dengan kesediaan media mengetengahkan kebolehan dan keunikan mereka.
Nak berjaya, harus fikir di luar kekotak kebiasaan. Rajin, berdisiplin dan berhemah dalam memasyarakatkan seni agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg