Biarpun rutin hariannya padat antara menjalankan tanggungjawab dalam rumah tangga dan perniagaan, Mira Filzah, 32 tahun, meluahkan rasa syukur bahawa dirinya masih diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama dan berat dalam drama rantaian.
Atas kepercayaan diberi, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman, mengambil inisiatif mengikuti kelas lakonan kendalian beberapa artis berpengalaman, bagi meningkatkan kemahiran dan menggilap lagi bakat yang ada.
“Bagi menghidupkan watak Elina dalam drama, Curang Tanpa Niat, saya belajar dengan pelakon berpengalaman, Ellie Suriaty.
“Untuk watak Billa dalam drama terbaru, Mandul Bukan Pilihan pula, saya ikuti kelas lakonan oleh Fatimah Abu Bakar.
“Saya ambil kelas lakonan ini kerana takut tidak boleh sampaikan watak dengan baik. Ini kerana saya sentiasa mahu beri yang terbaik.
“Dengan tanggungjawab yang ada sekarang (antara rumah tangga dan perniagaan), saya perlu lebih memilih,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM) sewaktu ditemui pada sidang media drama, Mandul Bukan Pilihan, di Malaysia pada 10 Julai.
Mengulas lanjut mengenai watak Billa, Mira Filzah berkata watak itu menuntut emosi yang sangat mendalam.
“Watak ini mengambil masa untuk dihayati. Sampai hendak hampir tarikh ‘shooting’, saya masih buntu.
“Sebab itulah saya minta tolong Cikgu Fatimah.
“Saya terima watak ini sebab rasa seronok, biarpun jika diikutkan, saya hanya mahu aktif semula pada tahun depan (2026),” kata Mira Filzah, yang membawa watak wanita yang cuba hamil.
Di samping itu, beliau turut mengakui menangis ketika membaca skrip
“Di kehidupan nyata, saya ada anak, keluarga dan boleh mengandung.
“Jadi, untuk bayangkan diri jadi wanita tidak boleh mengandung, agak sukar,” katanya lagi.
Drama Mandul Bukan Pilihan adalah drama kekeluargaan yang sarat dengan pesanan sosial, sekali gus mengangkat isu mandul dalam kalangan pasangan muda.
Dalam pada itu, ia turut membuka ruang perbincangan mengenai tekanan emosi dan stigma yang sering dipendam wanita berkaitan isu mengandung dan melahirkan zuriat.
Selain Mira, Mandul Bukan Pilihan turut dibintangi Hun Haqeem, Ayda Jebat dan Ashraf Muslim.
Drama ini mengisahkan nasib rumah tangga sepasang suami isteri (lakonan Hun Haqeem dan Mira Filzah) yang diuji dengan masalah ketidaksuburan, lantas terpaksa membuat keputusan yang mencabar norma, kepercayaan dan prinsip hidup.
Drama Mandul Bukan Pilihan terbitan iFame, boleh ditonton di saluran Astro Ria atau melalui penstriman digital di Astro Go serta Sooka, setiap Isnin hingga Khamis bermula 10 malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg