Pelakon berpengalaman, Nabila Huda, menyifatkan usaha menghasilkan semula filem Munafik di Indonesia membuktikan karya Malaysia mampu menembusi sempadan dan mendapat tempat dalam industri perfileman serantau.

Nabila, atau mesra disapa, Abil, 41 tahun, berkata perkembangan itu bukan sahaja membanggakan, malah menjadi penghormatan besar buat penggiat seni apabila karya yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia mendapat perhatian pembikin filem negara jiran.

Katanya, pemilihan Munafik untuk dihasilkan semula membuktikan kekuatan jalan cerita filem berkenaan mampu merentasi perbezaan bahasa dan budaya.

Munafik ada jalan cerita yang sangat kuat.

“Bayangkan Indonesia sudah ada banyak cerita seram, jadi apabila Munafik dipilih untuk dibuat semula, bagi saya ia satu penghormatan besar.

“Kalau dilihat, Munafik bukan semata-mata cerita hantu, ia juga mempunyai unsur agama, kehilangan, trauma, kepercayaan dan konflik manusia.

“Genre seram cuma satu lapisan yang membuatkan ia mudah diterima di negara lain.

“Apabila Munafik masuk ke Indonesia, saya tidak melihatnya sebagai pertandingan, tetapi satu kerjasama.

“Kita serumpun, tetapi masing-masing ada cara tersendiri dalam menyampaikan cerita dengan identiti sendiri.

“Bila karya kita boleh dihasilkan semula oleh pembikin Indonesia, itu sebenarnya membuka ruang lebih besar untuk industri kita di kedua-dua negara,” katanya dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).

Sebelum ini, Nabila, yang menghidupkan watak Maria menerusi Munafik arahan Syamsul Yusof, berjaya memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-28, pada 2016.

Selepas hampir sedekad, filem berkenaan kini diberi nafas baharu menerusi versi Indonesia berjudul Munafik: Melawan Iblis, arahan Guntur Soeharjanto.

Dijemput menghadiri majlis tayangan filem berkenaan di Indonesia baru-baru ini, Nabila berkata, pengalaman itu mengembalikan kenangan terhadap karya yang pernah dilakonkannya 10 tahun lalu.

Lebih menggembirakan, Nabila akur dapat melihat sendiri respons penonton Indonesia ketika menyaksikan babak tertentu yang pernah dilaluinya ketika menjayakan filem asal.

“Seronok sebenarnya berada dalam panggung itu dan melihat reaksi penonton Indonesia yang terkejut pada detik tertentu.

“Ada perasaan yang sukar dijelaskan. Saya pula macam, ‘Oh Tuhan, teringat adegan ini’.

“Apapun, sangat terharu sebab selepas 10 tahun, cerita yang sama masih boleh mendapat reaksi daripada penonton baharu dalam versi dan bahasa yang berbeza.

“Maknanya cerita Munafik itu sendiri masih hidup,” katanya lagi.

Dalam Munafik: Melawan Iblis, watak Maria yang pernah dilakonkan Nabila, diberi sentuhan segar menerusi watak Fitri yang dibawakan pelakon Indonesia, Acha Septriasa.

Menurut Nabila, beliau tidak melihat keperluan untuk membandingkan lakonannya dengan Acha kerana setiap pelakon mempunyai pemahaman dan pendekatan tersendiri dalam menghidupkan watak.

“Semestinya ‘DNA’ Maria ada di situ, tetapi saya tidak mahu bandingkan persembahan saya dengan Acha.

“Saya bawakan Maria dengan pemahaman sendiri dan Acha juga membawakan Fitri dengan gaya serta jiwa sendiri.

“Saya bangga melihat watak yang pernah saya hidupkan dulu sekarang diberi kehidupan baharu oleh seorang lagi pelakon hebat.

“Bagi saya, itulah keindahan dunia lakonan apabila dua watak boleh hidup dalam tubuh pelakon berbeza,” ujar Nabila.

Selain Acha Septriasa yang membawa watak Fitri, filem berkenaan turut dibintangi Arya Saloka, Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara dan Nova Eliza.