Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Naib juara ‘M’sian Idol’, Nita Amzah cari rezeki di TikTok

Jun 30, 2025 | 2:59 PM
Nita Amzah, malaysian idol
Naib juara peraduan realiti nyanyian, Malaysian Idol 2025, Nita Amzah, menjadikan cabang penyediaan kandungan dalam media sosial, khususnya, TikTok, dengan menyanyi sebagai pekerjaan semasa. - Foto INSTAGRAM NITA AMZAH

Pelbagai kisah sudah tertulis dalam buku catatan Nita Hamzah sepanjang bergelar penyanyi, khususnya selepas diangkat sebagai naib juara musim kedua program realiti, Malaysian Idol, pada 2005.

Ada masanya, langkah diambil untuk meneruskan perjalanan dalam seni tidak sesuai dengan perancangan, lantas membawanya kembali ke titik terendah.

Namun, apa yang menarik dan wajar dipuji mengenai penyanyi berusia 45 tahun itu adalah sikap tidak mengenal erti lelah dan putus asa.

Andai satu jalan tertutup, penyanyi yang pernah bernaung di bawah label Suria Records (SRC) itu pasti mencari celah-celah lain untuk kembali lolos dan mencuba perkara baru.

Nita, atau nama sebenarnya, Norhanita Hamzah, pernah mendiamkan diri di tengah perjuangannya, namun pada 2018, beliau tampil dengan single baru berjudul, Hadirlah Cinta, lantas membuka lembaran baru.

Selepas itu, episod sama berulang apabila single ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Iman Imran itu menjadi karya terakhir dendangannya.

Bagaimanapun pada 2022, Nita mula berjinak-jinak dalam kegiatan pengendalian sesi siaran langsung di TikTok di bawah agensi Kami Sempoi sebagai punca rezeki.

Sebaik inisiatif diambil mula membuahkan hasil, Nita akhirnya menjadikan cabang penyediaan kandungan dalam media sosial dengan menyanyi sebagai pekerjaan semasa.

“Setakat ini, sesi ‘live’ adalah salah satu punca rezeki saya. Disebabkan itu, saya buat. Saya tak malu untuk akui dengan buat ‘live’ ini menjadi mata pencarian saya.

“Orang kadang-kadang tak perasan sebab saya sudah lama sangat tak muncul, jadi bila mereka lihat di TikTok, ramai mula mengenali. Kandungan saya buat di TikTok adalah menyanyi.

“Saya cakap kepada peminat, lagu yang mampu saya akan menyanyi. Kalau tidak, saya hanya pasang muzik dan menyanyi secara ‘on top’ sahaja,” katanya dalam laman web Berita Harian Malaysia (BHM).

Nita mengakui belum meletakkan noktah terhadap kerjaya nyanyian, namun andai begitu caranya untuk terus menyanyi, iaitu melalui TikTok, beliau reda.

Beliau turut bersyukur dengan rezeki yang diperoleh, malah, apa yang dilakukannya mendapat restu suami, Encik Mohd Fareez Shamsul Bahar.

“Ini salah satu punca rezeki saya. Walaupun tidak banyak, tetapi alhamdulillah, saya bersyukur. Daripada tak buat apa-apa dan suami pun izinkan, jadi saya tiada masalah.

“Saya pilih untuk teruskan langkah sebegini. Sebenarnya, saya masih menyanyi dan tidak pernah berhenti. Cuma, konsep saya sekarang percaya kepada rezeki.

“Kalau orang panggil, saya akan pergi, kalau tiada, tak mengapalah. Tapi, masih ada kawan-kawan yang beri sokongan.

“Kalau mereka ada anjurkan acara, mereka masih panggil saya untuk menyanyi. Cuma, sejak berhijrah (berhijab) orang ingat saya tak menyanyi lagi,” ujarnya.

Biarpun undangan dalam mana-mana persembahan di rancangan televisyen atau arus perdana sudah tidak diterima, Nita bersyukur masih ramai rakan yang mempercayai bakat nyanyiannya.

“Undangan secara ‘mainstream’ (arus perdana) itu tiada, tapi kalau untuk majlis kawan-kawan masih ada. Walaupun kawan, mereka tahu dan faham saya bekerja dengan menyanyi, mereka bayar saya sebagai seorang penyanyi,” kata Nita.

Ditanya mengenai single baru, penyanyi lagu, Kusut, itu berkata beliau masih berfikir-fikir sama ada masih diterima ramai.

Pada masa sama, beliau juga belum terfikir untuk bersara daripada bidang nyanyian.

“Untuk single baru, saya sendiri tak tahu nak cakap. Kalau keluarkan single, apakah masih ada peminat mahu dengar?

“Tetapi, kadang-kadang apabila buat ‘live’ ada sahaja orang bertanya. Jadi, saya bertanya kepada diri sendiri, apakah ada orang yang mahu dengar saya menyanyi.

“Saya tidak pernah terfikir hendak letakkan noktah pada kerjaya nyanyian,” ceritanya.

Mengenai peralihan kerjaya yang ketika ini lebih tertumpu dalam media sosial, Nita berkata beliau perlu mempersiapkan diri daripada segi mental dalam menghadapi kritikan netizen.

“Kalau tak kuat memang ‘koyak’. Apa yang saya kena, buat saya menangis. Salah satunya, saya sudah berhijab sejak 2018.

“Ada yang komen dan cakap macam mana hendak dapat zuriat kalau asyik menyanyi.

“Ada juga yang sentuh ibu bapa dengan dengan komen seperti macam manalah ibu bapa dia di kubur apabila si anak macam ini.

“Apabila sentuh soal ini, mestilah saya terasa. Saya tidak tahulah sama ada orang terdekat atau tidak sebab tidak ramai orang tahu saya belum ada anak dan ibu bapa sudah tiada,” kata Nita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg