KUALA LUMPUR: Lebih sedekad tidak bersua, pertemuan hero dan heroin filem ‘pecah panggung’ terbitan 1980, Adik Manja, iaitu Dharma Harun Al Rashid, 68 tahun, dan Noor Kumalasari, 69 tahun, yang diatur penyanyi dan juga penyampai radio Kool 101, Haiza Hanafi, di kediaman Dharma di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini, menyentuh emosi.
Menitiskan air mata, Noor Kumalasari mengakui tangisan mereka pada pertemuan itu adalah tanda gembira dan syukur, selepas lama tidak berjumpa.
“Saya baca berita mengenai Dharma dan beritahu suami, marilah pergi ziarah. Kami sudah lama tidak jumpa. Kali terakhir, saya terserempak dengan Dharma ketika kereta beliau rosak di satu lokasi.
“Kejadian itu lebih 10 tahun lalu. Saya masih ingat, ketika itu, Dharma sedang mencari pelakon untuk projek filem Adik Manja Returns. Malah, dia sempat tawarkan saya kembali berlakon.
“Itulah kali terakhir kami bertemu hingga berjumpa lagi, baru-baru ini” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Noor Kumalasari, yang juga penerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-31 berkata beliau dan Dharma berbual mengenai banyak perkara, termasuk kenangan menyiapkan filem Adik Manja.
“Saya banyak nasihatkan Dharma agar kawal masalah kemurungan yang dihadapi. Saya minta Dharma banyak berdoa kerana Allah adalah sebaik-baik tempat mengadu.
“Saya juga beritahu Dharma supaya keluar rumah sesekali. Paling tidak, turun ke bawah rumah untuk dapatkan udara. Saya ingatkan Dharma agar tidak mengalah dan fikirkan anak-anak.
“Dharma sangat beruntung ada dua anak yang sangat ambil berat dan sanggup menjaganya. Tidak ramai anak muda sanggup berkorban untuk ibu bapa mereka,” katanya.
Noor Kumalasari mengaku seronok melihat senyuman Dharma, terutama ketika mereka mengimbau kenangan berlakon bersama.
“Apabila ada rakan datang melawat, dapatlah kurangkan kemurungan Dharma,” katanya.
Kisah kehidupan Dharma kembali diperkatakan baru-baru ini, apabila anak lelaki pelakon veteran itu, iaitu Muhammad Al Syafiq, berkongsi foto terkini Dharma melalui InstaStory (IGs), yang menampakkan tubuhnya semakin kurus.
Dharma dilaporkan mendakwa tidak lagi mendapat tawaran berlakon sejak tiga tahun lalu (2022), lantas terjejas mata pencariannya.
Dharma tidak menyangka Noor Kumalasari datang menjenguk kerana dimaklumkan Haiza, beliau datang bersendirian. Hasilnya, kejutan yang diatur penyanyi Dag Dig Dug itu menjadi hingga tular apabila dikongsi di platform media sosial, Kool 101.
Dharma berkata, Noor Kumalasari adalah heroin pertama yang berganding dengannya dalam filem. Ketika itu, Dharma berasakan dirinya kerdil, apatah lagi, Noor Kumalasari adalah anak legenda filem Melayu, iaitu Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum.
“Saya masih ingat, Noor datang ke set penggambaran memandu kereta Mini Sport. Saya pula, orang kampung yang datang dari Ipoh, Perak.
“Saya pandang tinggi Noor kerana ketika itu, beliau sudah terkenal. Bayangkan, baru hendak berjinak-jinak dalam dunia lakonan tetapi sudah diganding dengan bintang hebat.
“Namun, Noor tidak sombong, beliau sangat merendah hati. Itulah kali pertama dan terakhir kami berlakon bersama,” katanya.
Dharma mengaku seronok bercerita mengenai kisah silam dengan Noor Kumalasari.
“Saya berterima kasih kepada Haiza kerana mengatur pertemuan kami. Terlepas rindu kepada kawan-kawan lama. Saya seronok dapat bercerita macam dulu-dulu. Banyak yang kami bualkan terutama hal industri perfileman.
“Saya terharu dan amat hargai kesudian Noor dan suami meluangkan waktu menziarah saya,” katanya.
Sementara itu, Haiza mengaku sejak tahun lalu (2024), beliau menyimpan niat menemukan Dharma dan Noor Kumalasari yang cukup dikagumi dan dihormatinya.
“Sebenarnya, saya tidak beritahu akan bawa Noor bersama. Jadi, ketika tiba di rumah Dharma, hanya saya dan suami Noor masuk.
“Ketika itu, Noor tunggu di luar rumah. Saya sengaja buat kejutan kerana mahu lihat reaksi Dharma.
“Sebaik Noor masuk, Dharma sangat terkejut hingga menangis. Sepanjang pertemuan itu, saya dapat lihat kegembiraan Dharma melepas rindu dengan kawan lamanya,” katanya.
Haiza berhasrat membawa lebih ramai artis senior yang pernah berlakon bersama Dharma, menziarahinya. Antara mereka adalah Norlia Ghani, Datin Nora Shamsuddin, Liza Abdullah dan beberapa pelakon filem Adik Manja lain.
Namun, disebabkan kekangan masa, hasrat itu tidak dapat dilaksanakan.
“Saya pun tak sangka Noor setuju. Saya hubungi beliau Isnin lalu dan beritahu kunjungan tersebut dan Noor terus bersetuju.
“Bagi saya, ini adalah suatu keterujaan dan kepuasan kerana dapat membuatkan orang lain gembira,” katanya yang berterima kasih atas sokongan Kool 101 merealisasikan pertemuan dua bintang itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg