Topik diikuti
Pergi ke BHkuNoraniza Idris akui belum temu calon pelapis penerus legasi
Noraniza Idris akui belum temu calon pelapis penerus legasi
Noraniza Idris akui belum temu calon pelapis penerus legasi
KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad memperjuangkan seni etnik kreatif dan warisan Melayu, Ratu Etnik Kreatif Malaysia, Noraniza Idris, mengakui masih belum menemui calon pelapis yang benar-benar mampu meneruskan legasi perjuangannya.
Bagi Noraniza, atau nama sebenarnya, Nor Aniza Haji Idris, 58 tahun, cabaran terbesar dalam mencari pengganti adalah untuk menemui individu yang mempunyai jiwa besar serta sanggup berkorban demi memartabatkan seni budaya, bukan sekadar mengejar nama dan populariti.
“Sebenarnya, semakin lama kita mendalami dunia kebudayaan ini, semakin susah untuk cari penerus atau pelapis yang ada jiwa seperti kita.
“Kebanyakannya mahu buat sesuatu untuk nama. Tetapi, saya selalu letakkan nama di belakang berbanding dengan hasil yang kita bina.
“Tidak dinafikan generasi pelapis seronok dengan apa yang kita buat, tapi nak cari yang boleh berkorban itu susah,” kata Noraniza dalam laman web, Harian Metro.
Menurut Noraniza, satu lagi kekangan dalam melahirkan pelapis adalah sikap segelintir pihak yang gemar menyimpan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pengalaman sendiri daripada dikongsi dengan generasi muda.
“Apabila sudah buat R&D, mereka simpan untuk diri sendiri dan tak nak berkongsi. Jadi, bagaimana anak-anak pelapis nak dapatkan pandangan tepat?
“Sekarang, kita banyak bergantung kepada TikTok, yang lebih kepada kandungan.
“Dari segi ilmu sebenar, ia tidak tepat,” katanya lagi, yang memperjuangkan seni dan budaya Melayu sejak 1996.
Disebabkan itu, penyanyi lagu, Dikir Puteri, itu terus mengukuhkan komitmennya menerusi bengkel tarian zapin, Zapin Living Lab – Akar Kita Zapin (AKZ) 6.0, yang kembali buat edisi keenam.
Ia telah diadakan pada 28 Jun, di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, sekitar Kuala Lumpur, Malaysia.
Acara kebudayaan, AKZ 6.0, pula merupakan satu wadah pendidikan budaya menghubungkan pemindahan ilmu warisan, pembangunan masyarakat, industri kreatif dan pelancongan budaya.
Noraniza, yang bertindak sebagai pengasas program, AKZ, menjelaskan matlamat utamanya kini memastikan warisan seni Melayu terpelihara menerusi pendidikan dan pemindahan ilmu yang tepat.
Bagaimanapun, beliau mengakui fasa awal pembabitan itu agak sukar kerana ramai peserta lebih mengejar kemenangan berbanding ilmu.
“Ramai yang mahu kejar hadiah, tetapi tidak mahu sertai bengkel. Dari situ, saya sedar sesuatu harus dilakukan.
“Sebab itu, saya akhirnya fokus kepada bengkel dan pendidikan menerusi Zapin Living Lab, yang dibina sejak 2012,” tambahnya.
Beliau turut berpendapat seni zapin bukan sekadar tarian, malah sarat dengan nilai adab, disiplin dan falsafah kehidupan masyarakat Melayu.
“Saya mahu jadikan zapin sebagai rujukan kerana nilai tradisionalnya sangat kuat.
“Dalam zapin ada didikan jati diri, cara menyantuni orang, menghormati wanita dan berdiplomasi.
“Ilmu ini yang kita mahu hidupkan semula supaya generasi muda bukan sekadar pandai menari, malah faham nilai budaya sebenar.
“Daripada disalah bawa, lebih baik kita teruskan walaupun sukar. Ini tanggungjawab yang saya galas,” singkap Noraniza.
