Topik diikuti
Pergi ke BHkuRaja Azura kembali mengacara, sedia ‘turun ilmu’ kepada generasi baharu
Raja Azura kembali mengacara, sedia ‘turun ilmu’ kepada generasi baharu
Raja Azura kembali mengacara, sedia ‘turun ilmu’ kepada generasi baharu
KUALA LUMPUR: Tidak lokek berkongsi pengalaman, pelakon, pengacara dan penyanyi terkenal Malaysia, Raja Azura, membuka pintu kepada mana-mana individu yang ingin mempelajari selok-belok dunia pengacaraan, terutama dalam kalangan generasi baharu.
Sebagaimana yang dikatakannya dalam laman web, Harian Metro, baru-baru ini:
“Kalau ada yang inginkan ilmu ini, datang dan bertanyalah.
“Insya-Allah tiada masalah, saya boleh bagi saja.”
Bagaimanapun, Raja Azura, atau nama sebenarnya, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53 tahun, berkata sehingga kini, masih belum ada mana-mana pelapis baharu yang datang bertemu dengannya untuk menimba ilmu atau bertanyakan petua mengendalikan sesebuah acara.
“Mereka mungkin tidak berani untuk datang berjumpa saya, walaupun ketika bertemu di sebarang acara.
“Namun begitu, kalau nak jumpa dan bertegur sapa di mana-mana acara, saya okey dan tiada masalah untuk mereka dapatkan ilmu.
“Saya bukan jenis kedekut ilmu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Raja Azura mengakui tidak mempunyai masalah sama sekali untuk untuk menurunkan segala pengalaman yang dimilikinya demi melihat industri hiburan melahirkan lebih ramai pelapis yang bermutu.
Malah, beliau juga tidak pernah meletakkan sebarang syarat atau bayaran jika ada mana-mana pihak yang mahu menuntut ilmu pengacaraan daripadanya.
“Hakikatnya, saya pun akan tinggalkan dunia ini dan menurunkan ilmu yang ada.
“Kalau ada yang ingin, ambillah. Tiada niat pun nak meletakkan sebarang harga atau kenakan pembayaran,” ujar pelakon filem, Jimi Asmara, itu.
Dalam pada itu, Raja Azura bakal membuat kemunculan semula sebagai pengacara bagi program realiti terkenal, Kilauan Emas Selebriti, yang dijadual disiarkan Ogos ini, menerusi saluran Astro Prima, Astro One, sekali gus penstriman digital, Sooka.
Pelakon drama bersiri, Ikatan Terlarang, itu melahirkan rasa syukur apabila bakatnya masih dihargai dan terus menjadi pilihan untuk mengemudi program besar, selepas lebih sedekad meninggalkan dunia pengacaraan.
Sebelum ini, beliau sempat tampil di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-37 (ABPBH37) sebagai pengacara yang bergandingan dengan penyanyi dan pelakon, Shiha Zikir, 38 tahun, pada 2025.
“Saya bersyukur, ini semua rezeki... rezeki anak-anak.
“Saya rasa masih lagi relevan kerana selalu ikhlas, merendah diri dan menjaga mutu dalam setiap perkara yang dilakukan.
“Meskipun jumlah pengikut saya dalam media sosial tidaklah ramai tetapi mungkin mutu itu yang dipandang.
“Insya-Allah, saya akan menjaganya,” ujar ibu tiga anak itu.
