Proses sulh atau pengantaraan untuk tuntutan harta sepencarian membabitkan penyanyi, Nubhan dan bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek di Unit Sulh Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, Malaysia pada 8 Januari tidak mencapai kata putus.
Peguam, Cik Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili Dr Afifah, 36 tahun, atau lebih dikenali sebagai Dr Fie memaklumkan, defendan, Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40 tahun, tidak hadir pada prosiding berkenaan.
“Proses sulh berjalan hari ini yang mana pegawai mendengar keterangan pihak plaintif berkenaan isu ini sewaktu prosiding. Sepatutnya ia dihadiri kededua pihak.
“Sebab itu yang diunjurkan Islam, yang terbaik untuk berbincang.
“Kegagalan defendan untuk hadir hari ini menyebabkan matlamat sulh tak dapat dicapai,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kehakiman Syariah Negeri Sembilan.
Terdahulu Dr Fie ditemani ibu bapanya tiba kira-kira 11 pagi sebelum masuk ke bilik Unit Sulh ditemani peguamnya dan dilihat keluar hampir sejam kemudian.
Cik Puteri Ummi Kartini berkata, selepas mediasi pihaknya akan buat membuat serahan saman tuntutan harta sepencarian kepada peguam defendan dan pihak defendan perlu memasukkan pembelaan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
“Peguam atau defendan sendiri kena hadir untuk memasukkan pembelaan di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban.
“Mahkamah sudah menetapkan tarikh untuk sebutan pada 3 Februari, 10 pagi.
“Kalau hari ini tak boleh datang, harap peguam yang mewakilinya boleh datang sebab kita tak terima apa-apa notis ketidakhadiran defendan walaupun serahan notis sudah dibuat kepada pihak defendan,” jelasnya.
Sementara itu, Dr Fie ketika ditemui pihak media Malaysia turut menyatakan rasa terkejut kerana bekas suaminya itu tidak hadir memandangkan proses berkenaan demi kebaikan anak- anak mereka.
“Cuma saya harapkan dia hadir kalau boleh untuk prosiding akan datang.
“Bagi kerjasama sebab saya nak cepatkan urusan anak-anak nak sekolah, kami tiada tempat tinggal, buku anak sekolah lagi.
“Saya dah hantar (maklumkan) semua buku sekolah, sebab dalam WhatsApp sekolah, nama saya. Jadi apa-apa maklumat mengenai sekolah, saya yang dapat.
“Jadi dia tiada maklumat itu, saya dah hantar pada dia semua, tetapi senyap, tiada ada respons.
“Jadi buku anak dah beli ke? Baju sekolah anak dah beli ke? Anak nak sekolah lagi beberapa hari,” katanya.
Nubhan merupakan antara peserta bagi pertandingan realiti nyanyian yang menghimpunkan penyanyi daripada beberapa negara, Gegar Vaganza 12 (GV12).
Pertandingan itu sedang berlangsung dengan minggu separuh akhir dijadualkan pada 11 Januari manakala kemuncaknya pada 18 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg