Lebih lima dekad mengabdikan hidup dalam dunia kreatif, bintang veteran, Fauziah Ahmad Daud, 63 tahun, mengakui tidak kemaruk mengejar gelaran atau penganugerahan pingat atas sumbangan beliau sebagai anak seni.
Fauziah, atau mesra disapa Ogy, percaya Allah lebih tahu masa yang tepat untuk kerjaya seninya diiktiraf.
Setakat ini, Fauziah yang pernah membintangi filem pecah panggung, Azura dan Ali Setan, pada era 1980-an, mengaku belum ditawarkan pingat atau darjah kebesaran membawa gelaran ‘Datuk’ dari mana-mana istana.
Namun, apa yang penting, kerja seninya padat setiap masa.
“Saya percaya Allah lebih tahu masa yang tepat. Kalau ada, adalah dan jika tiada sekalipun, tidak mengapa.
“Saya lebih suka hasil kerja yang berbicara. Saya tidak pernah berharap.
“Terus-terang, untuk seorang yang pada mulanya tidak gemar seni lakon, tetapi diberi peluang mencuba dalam industri kreatif pada usia 11 tahun hingga meraih pelbagai anugerah, sudah cukup buat saya.
“Bagi saya, apabila orang tengok saya dan membuatkan mereka teringat pada program Melodi dan watak lakonan saya seperti Azura dan Asmidar, itu sudah cukup.
“Apa lagi yang saya mahukan?” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) pada sidang media program pencarian bakat, Asian Pop Stars (APS), yang menyaksikan beliau diamanahkan sebagai pengetua.
Sidang media itu diadakan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Fauziah mengakui beliau selalu berpegang pada prinsip.
“Saya ada prinsip, bukan populariti yang saya kejar. Sebaliknya, biar kerja yang berbicara,” katanya.
Berkongsi mengenai peranan sebagai pengetua program realiti terbaru, APS yang bakal menemui penonton RTM mulai 29 November 2025, Fauziah berkata, beliau tidak mahu mencari penyanyi templat atau pendua.
Sebagai program yang mencari bakat rantau Asean, Fauziah mahu menggilap bakat anak muda yang boleh pergi jauh, biarpun menyedari tugas dipikul bukan mudah.
“Saya rangka modul program ini dengan teliti, iaitu daripada asas, sederhana dan lanjutan. Saya tidak mahu program itu menjadi templat seperti rancangan pencarian bakat lain,” katanya.
Selain Fauziah, APS turut dibarisi Isabella Soliano, sebagai guru vokal manakala Azmie Z Abdden, bertanggungjawab sebagai guru tari.
Fauziah berkata beliau tidak berfikir panjang apabila dilamar Pertubuhan Generasi Digital Malaysia (PGDM) untuk mengemudi APS.
Baginya, sudah tiba masa untuk dirinya memberi tunjuk ajar kepada penghibur pelapis mengenai erti seni persembahan.
“Saya bukan asal boleh dalam memilih tenaga pengajar. Sukatan pendidikan kami berbeza daripada program realiti sedia ada.
“Saya sangat gembira akhirnya dapat bekerjasama dengan Isabella yang dianggap penyanyi hebat. Saya yakin beliau dapat mencorak vokal peserta dengan baik,” katanya.
Fauziah berharap peserta yang gagal melangkah ke peringkat akhir dapat membawa pulang ilmu yang bakal dikongsi.
“Saya mahu peserta yang dipilih bersikap optimis. Pantang saya apabila individu itu bersikap pesimis.
“Jangan kata tidak boleh sebelum mencuba. Sikap itu hanya akan menutup peluang mereka dalam program ini,” ujarnya.
APS telah menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM200,000 ($60,532).
Seramai 20 peserta akan dipilih dan diberi latihan intensif yang menyeluruh dalam seni persembahan.
Bagaimanapun, hanya lapan peserta akan dipilih untuk mara ke pentas akhir yang bakal dipersembahkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 Januari 2026.
Setiap finalis akan menerima biasiswa khas dalam bidang seni persembahan. Selama sebulan, mereka akan menjalani pengajian seni di Aswara, disusuli dengan dua bulan latihan di Korea Selatan.
Ini sekali gus akan membuka ruang besar ke arah pembentukan artis serba boleh dan bertaraf antarabangsa.
Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM, Nasaruddin Abdul Mutallib, berkata pemilihan RTM TV2 sebagai penyiar APS merupakan satu peluang besar untuk menyiarkan program bertaraf antarabangsa, yang mampu menarik minat penonton tempatan dan luar negara.
Menurutnya, dengan pelantikan itu juga, RTM terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa kandungan hiburan bermutu.
“APS merupakan satu rancangan bertaraf antarabangsa dan dapat menarik peluang kita untuk menarik peminat-peminat untuk menonton rancangan ini melalui RTM Klik, terutamanya kepada peminat dan penyokong peserta-peserta itu sendiri dari luar negara,” jelasnya.
“
Saya percaya Allah lebih tahu masa yang tepat. Kalau ada, adalah dan jika tiada sekalipun, tidak mengapa. Saya lebih suka hasil kerja yang berbicara. Saya tidak pernah berharap.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg