Topik diikuti
Pergi ke BHkuPantang dengar isu buli, emosi Zila Bakarin mudah terusik
Pelakon Malaysia, Zila Bakarin, mendedahkan beliau cepat menjadi sangat emosi dengan isu buli berikutan anak sulungnya, Kaseh Azri, yang merupakan mangsa buli di sekolah.
Zila atau nama sebenar, Rosmawati Bakarin, 51 tahun, berkata pengalaman ‘hitam’ dibuli yang pernah dialami anaknya, Kaseh, 17 tahun, sangat meninggalkan kesan buat dirinya sebagai ibu.
“Saya memang pantang bila dengar cerita buli-membuli ini.
“Mudah sangat jadi emosi sebab sedih kenangkan anak saya sendiri pernah jadi mangsa buli di sekolah.
“Nak cakap lebih pun, anak saya masih sekolah dan ia akan memberi kesan kepadanya.
“Bahkan, sampai sekarang pun anak saya masih berdepan isu buli.
“Sebab itu, banyak benda saya ‘zip’ (tutup) mulut selagi dia (anak) tidak habis sekolah.
“Banyak perkara sebenarnya yang saya nak huraikan, tulis, cakap dan luah. Tetapi, semuanya terbatas,” katanya dalam laman Harian Metro.
Tambah Zila lagi, bagaimanapun ramai juga anak artis yang berhadapan masalah buli di sekolah hingga ada antaranya terpaksa tukar sekolah atau belajar secara sendiri.
“Sebenarnya, saya selalu ingatkan anak-anak supaya berani melindungi diri dan melawan semula pembuli.
“Malah, saya cakap dengan anak untuk belajar seni mempertahankan diri, Muay Thai. Kalau kena pegang, boleh balas balik.
“Saya pernah cakap, ‘lihat macam mana pembuli itu buat’. Kalau dia lempang, balas dengan lempang balik.
“Jika dia terajang, balas terajang, dan kalau kena maki, balas dengan maki balik. Jangan bagi orang pijak kita,” katanya lagi.
Namun begitu, Zila mengakui anaknya bukan ‘kaki’ gemar membalas semula perbuatan orang terhadap mereka.
“Mereka paling-paling pun hanya akan berkata ‘okey’, dan meminta individu berkenaan supaya lebih bertenang.
“Sebagai selebriti, saya sendiri perlu bijak mengawal emosi dan tidak bertindak mengikut perasaan.
“Namun, saya percaya bukan anak saya sahaja yang pernah berdepan pengalaman dibuli.
“Mungkin ramai juga anak selebriti lain melalui perkara sama,” ujar Zila, yang bakal menyertai program terbaru Astro, Kilauan Emas Selebriti, mulai 22 Ogos di saluran Astro Prima.
