Topik diikuti
Pergi ke BHkuAmyza Aznan buntu, ujian anak tidak kesan barah tulang
Pelakon Malaysia, Amyza Aznan, akur keliru apabila ujian yang dilakukan terhadap bengkak kaki anaknya, Adrian Adam, tidak menunjukkan sebarang tanda barah sarkoma atau tulang.
Amyza, 50 tahun, yang menerima keputusan ujian berkenaan baru-baru ini, berteka teki tentang jenis barah yang dihidapi anaknya sehingga membuatkan bengkak di kaki Adrian, 18 tahun, tidak surut meskipun selepas rawatan.
“Keputusan ujian tidak menunjukkan barah tulang, kami buntu... berteka teki mengenai barah yang menyerang anak saya.
“Setiap kali rawatan, ada ketika dia menjadi lebih bengkak dan membesar.
“Kami benar-benar tidak pasti barah apa yang menyerang,” katanya dalam laman Utusan Malaysia.
Beliau ditemui pihak media ketika sesi memperkenalkan 10 peserta program terbaru Astro, Kilauan Emas Selebriti, di pejabat Astro, Bukit Jalil, baru-baru ini.
Amyza memaklumkan kini beliau hanya berdoa, berusaha dan berserah kepada Allah dan mengharapkan keajaiban.
“Jadi apabila ditanya tentang perkembangannya, saya tak tahu nak menjawab macam mana.
“Kita hanya mengharapkan keajaiban,” katanya lagi.
Mengulas tentang pembabitannya menerusi program Kilauan Emas Selebriti, Amyza memaklumkan keputusan untuk menyertai program itu dibuat selepas mendapat kebenaran daripada Adrian.
“Kalau ikutkan memang saya tak nak, saya cuma mahu fokus kepada Adrian kerana dia lebih memerlukan saya dan sayalah yang memantau rawatannya.
“Jadi dia benarkan saya keluar, menjana semula tenaga positif untuk dikongsikan bersama dia,” jelas Amyza.
Menurutnya, selepas ini beliau perlu mengatur masa untuk mengimbangi pembabitan dalam program itu dengan rawatan Adrian.
“Jadual rawatan Adrian terlalu padat, kadang ada masanya bercanggah dengan program ini.
“Mahu atau tidak saya kena atur masa saya sebaiknya,” tambahnya.
Mengulas tentang imej berniqab, Amyza memaklumkan ianya dipakai atas kemahuan dan keputusan sendiri.
“Imej berniqab ini bukanlah perkara wajib bagi wanita, jadi saya boleh buka dan pakai bila-bila masa, mengikut keselesaan saya,” kata Amyza.
