Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Teater ST Life! tetap cemerlang dalam ‘Salina’
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Teater ST Life! tetap cemerlang dalam ‘Salina’
Rusydina Afiqah cipta pencapaian peribadi dengan 2 pencalonan teater termasuk ‘Salina’, dan dinobat pemenang melalui lakonan mantap ‘Statement Piece’
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Teater ST Life! tetap cemerlang dalam ‘Salina’
Tidak lama selepas pulang dari New Zealand pada pertengahan 2024, pelakon tempatan, Rusydina Afiqah, membuat keputusan untuk kembali mengejar cintanya dalam dunia teater.
Keputusan itu ternyata berbaloi.
Sepanjang 2025, pelakon berusia 33 tahun itu, memberi sepenuh komitmen pada setiap pementasan yang dijayakan, sehingga membuka jalan kepada antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya setakat ini.
“Tahun lalu (2025), saya berpeluang terlibat dalam beberapa penerbitan dan naskhah teater, sebaik (sahaja) pulang dari New Zealand pada pertengahan 2024, selepas visa percutian bekerja di negara itu.
“Saya hanya teruja untuk kembali melakukan perkara (berlakon teater) yang saya minati. Pada masa sama, saya juga agak risau.
“Dengan semakin ramai pelakon lepasan sekolah drama tempatan kini, ia membuktikan permintaan terhadap bakat seni terus meningkat dan industri seni semakin berkembang.
“Jadi, sepanjang tahun lalu (2025), saya hanya mahu memberi tumpuan sepenuhnya pada teater dan melihat apakah lagi peluang yang masih ada untuk saya.
“Alhamdulillah, perjalanan itu ternyata sangat bermakna dan memberikan pengalaman yang cukup berharga,” kata Rusydina kepada Berita Harian (BH), dalam satu sesi wawancara menerusi Zoom, baru-baru ini.
Wawancara itu diadakan sempena pengiktirafan yang diterima Rusydina menerusi dua pencalonan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Teater ST Life! 2026, yang diumumkan pada Mei.
Dua pencalonan itu diraih menerusi lakonannya dalam naskhah Statement Piece, yang dibawakan Checkpoint Theatre, dan Salina (Teater Kami), sempena Pesta Raya pada 2025.
Rusydina kemudian dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi wataknya sebagai Marjia, dalam Statement Piece.
Marjia ialah seorang seniman visual muda yang berbakat dan berwawasan, dengan minat yang mendalam dalam bidang fotografi.
Hasil lakonan mantap Rusydina itu membawa kemenangan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, dengan ramai memuji keupayaannya menghidupkan watak itu menerusi gaya penyampaian dialog yang berkesan dan bertenaga serta sentuhan komedi yang tajam.
Pada masa sama, beliau mengakui kededua naskhah itu cukup mencabar untuk dijayakan.
Bagaimanapun, Rusydina berpendapat watak yang dibawanya dekat dengan realiti kehidupan semasa, lantas menjadi antara faktor yang membuatkan penonton mudah mengaitkan diri mereka dan berasa dekat dengan kisah yang dipaparkan.
“Saya betul-betul tidak sangka menerima dua pencalonan sekali gus.
“Bahkan, dalam naskhah Salina pun, saya bukanlah antara watak utamanya. Saya membawakan watak Zarina, seorang janda yang terkesan oleh kemiskinan dalam era pasca perang, pada 1960-an.
“Salina merupakan pementasan yang banyak bergantung pada kekuatan keseluruhan barisan pelakon, dengan setiap watak memainkan peranan tersendiri dalam menyampaikan cerita.
“Jadi, saya agak terkejut apabila watak yang saya bawakan mendapat perhatian dan meninggalkan kesan kepada penonton.
“Saya rasa salah satu sebabnya adalah kerana watak itu menarik bagi penonton, dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Malah, pencalonan menerusi Salina adalah berita pertama yang saya terima apabila diumumkan sebagai calon dalam kategori ini,” cerita Rusydina.
Bagi menjayakan watak Marjia pula, Rusydina mengakui beliau perlu menyelami lapisan emosi dan makna tersirat yang terkandung dalam naskhah itu, selain meneroka sisi dirinya yang lebih berani dan yakin.
“Statement Piece merupakan naskhah pertama yang saya jayakan pada 2025.
“Pada awalnya, skrip tulisan Myle Yan Tay agak mencabar untuk ditelaah kerana beliau sangat bijak bermain dengan kata dan kebanyakan dialog mempunyai makna tersirat yang perlu difahami dengan mendalam.
“Ada bahagian yang menyentuh isu sosial dan politik, jadi saya banyak berbincang dengan penulis untuk memahami kehendak watak dan jalan cerita.
“Pada masa sama, Marjia ialah watak yang sangat berani dan lantang.
“Selepas pulang dari New Zealand, saya dapat rasakan pengalaman di sana membuka perspektif baru dan menyerlahkan sisi diri saya yang lebih berani, yang banyak membantu menghidupkan watak tersebut,” singkapnya.
Lebih penting lagi, siswazah Sarjana Muda Seni Teater daripada Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) itu, menyifatkan anugerah seperti itu sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan komitmen penggiat seni yang terus berkarya meskipun sering berada di luar tumpuan umum.
“Berbeza dengan drama televisyen yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa, teater mempunyai kelompok penontonnya yang tersendiri.
“Dengan harga tiket yang semakin berdaya saing hari ini, saya melihat pengiktirafan seperti ini sebagai satu pencapaian yang cukup bermakna buat penggiat seni.
“Sejujurnya, saya tidak terlalu memikirkan soal kemenangan. Namun, apabila saya menoleh semula perjalanan yang dilalui, saya sedar betapa banyak usaha dicurahkan di sebalik sesebuah pementasan.
“Kami mengulang babak yang sama berkali-kali, bereksperimen dengan pelbagai pendekatan untuk mendapatkan penyampaian yang terbaik, pulang dalam keadaan keletihan, namun tetap perlu memberikan persembahan yang profesional setiap kali melangkah ke pentas.
“Jadi, apabila menerima pengiktirafan seperti ini, ia terasa seolah-olah segala penat lelah dan pengorbanan yang dilakukan selama ini dihargai,” kata Rusydina.