LOS ANGELES/SAN JOSE: Pelakon drama sitkom 1980-an, The Cosby Show, Malcolm-Jamal Warner, 54 tahun, meninggal dunia secara tragik setelah ditemui lemas di lautan Costa Rica, ketika bercuti bersama keluarganya, pada 20 Julai.
Jabatan siasatan kehakiman Amerika Tengah mengesahkan kejadian itu.
Agensi berita Reuters, melaporkan pasukan pengawal pantai Palang Merah, cuba menyelamatkan seorang warga Amerika, tetapi beliau menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian setelah dibawa keluar dari lautan dalam.
Bapa seorang anak itu dikatakan sedang berenang di lautan Playa Cocles sekitar wilayah Limon, yang dikenali sebagai destinasi impian pencinta sukan laut.
Bagaimanapun, arus kuat telah menyebabkannya tenggelam dan beliau tidak mampu menyelamatkan diri.
Kematiannya disahkan berpunca daripada asfiksia – kekurangan oksigen akibat pernafasan terhalang, yang dipercayai berlaku ketika beliau tiba-tiba dibawa arus ke dasar lautan.
Pihak pengurusan Warner tidak mengulas kepada media mengenai kejadian tersebut.
Yang banyak dirakam di media sosial adalah ucapan takziah daripada peminat, yang mengenalinya sebagai satu-satunya anak lelaki watak pelakon veteran, Bill Cosby, dalam drama The Cosby Show, Theo Huxtable.
“Bakat anda dan semangat anda menyentuh jiwa ramai orang.
“Legasi anda akan terus mencetus inspirasi,” begitu antara kata-kata penghormatan di Instagram Persatuan Nasional bagi Warga Kulit Hitam dan Lain-Lain.
Warner pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Siri Komedi bagi drama, Reed Between The Lines, pada 2012, yang disampaikan persatuan berkenaan.
Fox Entertainment turut mengeluarkan kenyataan mengenai kematiannya.
“Semua orang di Fox dalam keadaan sedih menyusuli pemergian tragik teman dan rakan sekerja kami, Malcolm-Jamal Warner, yang luar biasa.
“Semua peranan yang pernah dibawa, daripada komedi hingga drama, tidak boleh dilupakan dan kekal malar segar di ingatan peminat,” jelas jurucakap Fox Entertainment.
Warner pernah memainkan watak Dr A.J. Austin dalam drama perubatan terbitan Fox, The Resident, antara 2018 dengan 2023.
Namun, peranannya sebagai Theo dalam The Cosby Show, antara 1984 dengan 1992, meninggalkan kesan yang mendalam, di kala banyak keluarga kulit hitam di Amerika, berusaha bangkit daripada stereotaip bahawa mereka tidak mampu berjaya.
Dalam drama itu, Cosby membawa watak seorang doktor.
Warner, yang dilahirkan pada 18 Ogos 1970, membesar di Jersey City, New Jersey, dengan asuhan ibunya, Pamela, yang kemudian menjadi pengurusnya.
Nama Malcolm diberi ibunya sempena nama pejuang hak awam, Malcolm X, manakala nama Jamal sempena pemuzik jaz, Ahmad Jamal.
Warner turut memiliki bakat menyanyi. Beliau memenangi Anugerah Persembahan R&B Tradisional Terbaik, pada majlis penyampaian Anugerah Grammy 2015.
Beliau dikatakan sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan, namun tidak pernah mendedahkan identiti mereka, demi privasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg