Ramai peserta memiliki suara yang baik, namun itu sahaja tidak lagi mencukupi untuk menyerlah dalam pertandingan realiti di seberang Tambak iaitu, Big Stage X Rocketfuel, terbitan Astro.

Dalam era media sosial yang mudah melonjakkan nama penyanyi muda hanya kerana tular, apa yang benar-benar membezakan peserta ialah keupayaan mereka membina identiti tersendiri serta meninggalkan kesan kepada penonton.

Pusingan pertama yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia, di saluran Astro Ria pada 28 Jun lalu, memperkenalkan 10 peserta dengan kekuatan masing-masing.

Mereka terdiri daripada Sufia Arissya Suhaimi (Sufie Rose), 25 tahun; Aqil Azfar (Qilo), 21 tahun; Muhamad Alif Abdullah (Rieffa), 18 tahun; Muhammad Alif Danial Ismail (Danny), 24 tahun; Muhammad Aliff Hakimiey Yuswadey (Aliff Kimiey), 23 tahun; Yazid Muaz (Yad-z), 28 tahun; Farranisha Shazwany Mohd Faizul (Ranisha), 26 tahun; Muhammad Ariff Danial Kifli (Danial Kifli), 23 tahun; dan Wan ‘Alisya Sabrina Wan Mohamad Shamsudin (Sabrina), 24 tahun.

Melengkapi senarai itu ialah kumpulan duo melibatkan pasangan adik-beradik, Nazmie Malek (Nazmie), 25 tahun, dan Adam Malek (Adam), 30 tahun.

Namun, daripada keseluruhan persembahan, hanya beberapa nama yang berhasil mencuri perhatian saya.

Selebihnya, masih lagi mencari rentak bagi menonjolkan diri dengan lebih berkesan.

Menurut pengamatan peribadi saya, antara yang paling menyerlah ialah Naib Juara Talk To My Manager 2 (TTMM2), Hussain, 23 tahun, yang juga anak kepada penyanyi terkenal 1980-an, Jamilul Hayat.

Beliau, yang juga merupakan anak saudara Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, merupakan peserta kejutan yang diberi peluang eksklusif menyertai Big Stage X Rocketfuel selepas penyertaan dalam TTMM2, sekali gus melengkapkan senarai 11 peserta bertanding.

Ini juga berdasarkan undian dalam talian ramai peminat yang dibuat pada 22 Jun dan berakhir pada 23 Jun, sekitar 10 malam.

Belum sempat berehat selepas tamat pertandingan terdahulu yang melabuhkan tirainya pada 21 Jun, Hussain terus menggalas cabaran baharu dengan membuat persiapan beraksi di pentas yang lebih besar dan berdaya saing.

Memang pentas sebesar ini menjadi ruang terbaik buatnya membuktikan kemampuan sebagai penyanyi muda yang memiliki potensi besar.

Menerusi lagu Lelaki Itu, nyanyian asal Anuar Zain, Hussain membuktikan persembahan berkesan tidak semestinya bergantung kepada teknik vokal berlebihan.

Nyanyiannya cukup sederhana, tetapi penuh kejujuran dan emosi sehingga berjaya menyampaikan makna lagu dengan baik.

Malah, juri tetap, Akim Ahmad sendiri menyifatkan kekuatan Hussain terletak pada keikhlasannya ketika menyanyi.

Bagaimanapun, Hussain mungkin boleh belajar mempelbagaikan lagi cara nyanyian.

Tidak semua bahagian lagu perlu dinyanyikan dengan sepenuh tenaga, seperti yang dikatakan Akim.

Sesekali, Hussain wajar memperlahankan lontaran vokal dan memberi ruang kepada tona suara yang lebih halus agar persembahannya tampil lebih dinamik.

Seorang lagi peserta yang berjaya mencuri perhatian saya ialah Qilo, siswazah ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Komunikasi Visual di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dan berasal dari Kuala Lumpur.

Ketika ramai peserta memilih lagu dan gaya persembahan yang lebih mudah diterima ramai, Qilo pula mempertaruhkan unsur jaz dan ‘soul’ yang jarang diketengahkan dalam pertandingan nyanyian, sekali gus mencipta identiti tersendiri.

Persembahan If I Ain’t Got You (Alicia Keys), disampaikan dengan cukup kemas, tenang dan meyakinkan sehingga mendapat tepuk sorak sanjungan daripada juri tetap, Aisha Retno.

Tidak hairanlah apabila beliau turut muncul sebagai peserta terbaik pada malam itu.

Yad-Z juga berada dalam senarai peserta terbaik apabila membawakan lagu balada, Bukan Dia Tapi Aku (Judika).

Selain vokalnya yang mantap, beliau tampil cukup yakin dan selesa menguasai pentas.

Dalam masa sama, ada juga peserta yang cuba tampil berbeza, namun niat tersebut tidak menjadi seperti diharapkan.

Sebagai penuntut ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Sabrina hadir dengan jangkaan tinggi.

Malangnya, pemilihan lagu Canggung (Wany Hasrita) dilihat kurang sesuai dengan kekuatan vokalnya.

Beberapa nada tinggi kedengaran sedikit dipaksa, manakala cengkok Melayu yang dibawakan juga kurang tepat, sebagaimana yang diulas juri, Hael Husaini, yang juga komposer lagu tersebut.

Keadaan itu menyebabkan kelemahannya lebih terserlah berbanding potensi sebenar yang dimiliki.

Selain itu, saya tabik dengan keberanian Sufie Rose bereksperimen dengan menggabungkan elemen ‘rap’ dalam bahasa Melayu dan Inggeris menerusi lagu Pulang (Insomniacks).

Namun begitu, penggunaan nota panjang yang agak berlebihan di beberapa bahagian menyebabkan persembahannya kedengaran sedikit mendatar.

Apa yang dapat diperhatikan, sebahagian besar peserta masih membawa gaya persembahan yang lazim dilihat di media sosial.

Mereka kelihatan selesa menyampaikan lagu saduran atau ‘cover’, namun masih perlu memperkemaskan aspek lontaran suara, penguasaan pentas serta interaksi dengan penonton secara langsung.

Dalam pada itu, ketiadaan wakil dari Singapura turut meninggalkan persoalan besar.

Sebagai pertandingan yang sebelum ini mengetengahkan penyertaan di peringkat serantau, kehadiran bakat dari negara jiran pastinya mampu menyuntik kepelbagaian pada persaingan.

Apa yang lebih membingitkan adalah keputusan untuk tidak ada sebarang penyingkiran walaupun Sufie Rose, Aliff Kimiey dan Sabrina, berada di kedudukan tercorot.

Ini menyebabkan minggu pertama kehilangan unsur debaran dan persaingan sengit antara kesemua 11 peserta.

Hakikatnya, bagi saya, unsur penyingkiran merupakan antara faktor yang menjadikan program realiti hiburan kekal menarik untuk diikuti.

Dengan potensi yang dimiliki barisan peserta kali ini, saya berharap minggu-minggu berikutnya bukan sahaja menyaksikan peningkatan dari segi persembahan, malah mampu menghidupkan semula bahang persaingan yang masih belum dirasai.