Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Big Stage X Rocketfuel’ sedia lahirkan pelapis bintang, perkasa jalan seni
‘Big Stage X Rocketfuel’ sedia lahirkan pelapis bintang, perkasa jalan seni
Juri dan alumni ‘Big Stage’ (Musim 4), Aisha Retno ingin peserta lebih berani teroka genre baharu
‘Big Stage X Rocketfuel’ sedia lahirkan pelapis bintang, perkasa jalan seni
Pelbagai pertandingan realiti nyanyian di seberang Tambak telah menjadi medan melahirkan ramai bakat yang kini mewarnai industri muzik serantau.
Selama enam musim, pentas yang pernah melahirkan ramai penyanyi muda berbakat, Big Stage, anjuran Astro, kembali membuka tirainya.
Kali ini, ia hadir dengan identiti baharu menerusi Big Stage X Rocketfuel.
Kehadiran syarikat pengurusan artis dan hiburan Malaysia, Rocketfuel Entertainment, mencerminkan usaha Big Stage, memperkukuh pembangunan bakat, sekali gus membantu peserta merancang hala tuju kerjaya muzik mereka menerusi bimbingan dan sokongan berterusan selepas pertandingan.
Pertandingan Big Stage X Rocketfuel akan menampilkan 10 peserta dari Malaysia.
Mereka terdiri daripada Sufia Arissya Suhaimi (Sufie Rose), 25 tahun; Aqil Azfar (Qilo), 21 tahun; Muhamad Alif Abdullah (Rieffa), 18 tahun; Muhammad Alif Danial Ismail (Danny), 24 tahun; Muhammad Aliff Hakimiey Yuswadey (Aliff Kimiey), 23 tahun; Yazid Muaz (Yad-z), 28 tahun; Farranisha Shazwany Mohd Faizul (Ranisha), 26 tahun; Muhammad Ariff Danial Kifli (Danial Kifli), 23 tahun; dan Wan ‘Alisya Sabrina Wan Mohamad Shamsudin (Sabrina), 24 tahun.
Melengkap senarai itu ialah kumpulan duo melibatkan Nazmie Malek (Nazmie), 25 tahun, dan Adam Malek (Adam), 30 tahun.
Juara Big Stage X Rocketfuel akan berpeluang memenangi kontrak pembangunan artis di bawah naungan, Rocketfuel Entertainment, bernilai RM200,000 ($63107).
Di samping itu, penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, 38 tahun, turut kembali menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap bagi musim ini.
Beliau akan bergandingan dengan Juara Akademi Fantasia 7 (AF7) Akim Ahmad, 35 tahun.
Turut menyertai barisan juri ialah Aisha Retno, 25 tahun, yang juga alumni Big Stage (Musim 4) dan semakin menyerlah sebagai penyanyi dan komposer menerusi pelbagai karya hit.
Selaku juri, Aisha tidak menafikan perasaan gementar saat menerima tawaran berkenaan, apatah lagi perlu dibandingkan dengan barisan juri berpengalaman sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau berharap peserta mampu membawa kelainan dalam persembahan dengan meneroka kepelbagaian genre muzik, sekali gus tidak terikat kepada lagu ‘tangkap leleh’ yang sering menjadi pilihan ramai.
“Sebagai juri, saya tidak mahu menjadi tumpuan, sebaliknya ingin membantu peserta berkembang dan menjadi pemangkin kepada perjalanan mereka bersama barisan juri lain yang lebih berpengalaman seperti Hael dan Akim.
“Saya berada di sini sebagai alumni untuk berkongsi pengalaman sebagai peserta terdahulu dan apa yang saya tahu (tentang muzik).
“Daripada apa yang saya lihat, peserta kali ini mempunyai kemampuan untuk membawakan pelbagai genre dan bukan sekadar lagu balada.
“Apa yang saya perhatikan dalam industri muzik Malaysia, ramai cenderung menghasilkan lagu balada atau ‘tangkap leleh’.
“Saya bukan mengatakan ianya salah, tetapi mengapa tidak kita tampil dengan pembaharuan dan mengangkat genre lain?
“Secara tidak langsung, Big Stage juga menjadi ruang bagi peserta meneroka genre di luar zon selesa mereka, sekali gus menyerlahkan kemampuan masing-masing,” kata Aisha.
Big Stage X Rocketfuel akan mula disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad bermula 9 malam, mulai 28 Jun.
