Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnggrek lakar kejayaan, bukti bakat atasi usia
Anggrek lakar kejayaan, bukti bakat atasi usia
Naib Juara ‘Talk To My Manager 2’, Hussain rebut peluang dalam program realiti Astro, ‘Big Stage 2026’
Anggrek lakar kejayaan, bukti bakat atasi usia
Bak pepatah Melayu, ‘kecil-kecil cili padi’.
Begitulah ketika ketangkasan gerak tari serta penguasaan bahasa tubuh yang memukau berhasil membawa bakat cilik, Anggrek, anak sulung penyanyi terkenal Malaysia, Adira, muncul sebagai juara program realiti terbitan Astro, Talk To My Manager 2 (TTM2).
Program tersebut yang disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Malaysia di saluran Astro Ria, telah melabuhkan tirainya pada 21 Jun.
Pada masa sama, kemenangan yang diraih itu ialah hasil daripada persembahan konsisten Anggrek, atau nama sebenarnya, Anggrek Adnan Abu, sembilan tahun, yang dipersembahkan sepanjang 10 minggu.
Pada pentas akhir itu, Anggrek mempersembahkan dua lagu iaitu Aku Stacy, dendangan asal Stacy, dan Sutera, secara duet bersama Aisha Retno.
Sebagai juara, Anggrek dan Adira, 34 tahun, yang bertindak sebagai pengurusnya, membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 ($9,374), barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran bernilai RM50,000, lagu baharu berserta piala.
Mereka turut menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie, disertakan hadiah wang tunai RM10,000.
Menyentuh tentang kejayaan Anggrek di TTMM2, Adira akur kagum dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan anaknya pada usia yang begitu muda.
“Saya memang tidak pernah menjangkakan dia (Anggrek) sehebat ini. Semua ini adalah pinjaman dan anugerah daripada Allah.
“Pada usia sekarang, dia sudah mampu menyanyi pelbagai genre, membuat persembahan di pentas, menghafal koreografi dan lirik, selain menampilkan ekspresi yang sesuai dengan persembahan.
“Kalau saya sendiri, selepas 16 tahun berada dalam industri pun belum tentu mampu melakukan seperti dia.
“Sebab itu saya rasa, Anggrek memiliki anugerah yang sangat luar biasa,” katanya dalam laman Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau ditemui semasa sidang media akhir TTMM2, yang berlangsung di MBSA pada 21 Jun.
Dalam pada itu, Adira belum mempunyai perancangan khusus mengenai penggunaan wang kemenangan berkenaan memandangkan kejayaan diraih di luar jangkaan.
Bagaimanapun, penyanyi asal Sabah, Malaysia itu, menegaskan hadiah wang tunai hasil kemenangan dalam TTMM2 adalah milik Anggrek sepenuhnya.
Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Hussain, 23 tahun, bersama bapa dan pengurusnya yang juga penyanyi terkenal era 1980-an, Jamilul Hayat, 65 tahun.
Hussain tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Sumpah dan Cinta Matiku, serta Kisah Ku Inginkan secara duet bersama Datin Alyah.
Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, barangan emas, pakej penginapan, peruntukan pengurusan dan pemasaran, rakaman single serta piala.
Pasangan bapa dan anak itu turut meraih perhatian apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengurus Paling Perform.
Usahawan yang juga personaliti terkenal, Datuk Seri Vida, 54 tahun, dan anak keduanya, Cik B, 21 tahun, melengkapkan senarai pemenang apabila meraih tempat ketiga.
Pasangan ibu dan anak itu menerima hadiah wang tunai RM10,000, barangan kemas, pakej penginapan, tajaan pengurusan dan pemasaran, lagu baharu serta piala.
Tempat keempat pula diduduki penerbit, Datuk A. Aida, 56 tahun, dan anak keduanya, Azeva, 25 tahun.
Manakala, pelakon, Safura, 53 tahun, dan anaknya, Kim Khairii, 23 tahun, berada di kedudukan kelima.
Kededua pasangan anak-beranak itu menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej penginapan serta piala.
Lima peserta TTMM2 iaitu Hussain, Azeva, Cik B, Viviana dan Kim Khairii kini berpeluang merebut satu tempat eksklusif untuk menyertai program realiti Astro, Big Stage 2026.
Big Stage 2026 akan disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran 608, Singtel TV) setiap Ahad bermula 9 malam, mulai 28 Jun.
Proses undian telah dibuka pada 22 Jun, dan berakhir pada 23 Jun, jam 10 malam.
Peserta TTMM2 lain seperti Anggrek, Ratu, Althea dan Fariedz dikecualikan kerana berusia di bawah 18 tahun.
Keputusan peserta yang layak menyertai Big Stage 2026 bakal diumumkan di laman media sosial Astro Gempak.
Mengulas mengenai peluang untuk melangkah lebih jauh dalam dunia nyanyian, Hussain akui beliau masih memberi tumpuan kepada proses pemulihan kesihatannya.
Bagaimanapun, Naib Juara TTMM2 itu terbuka untuk mempertimbangkan penyertaan dalam Big Stage 2026 sekiranya rezeki menyebelahinya.
“Sebenarnya, saya belum sepenuhnya pulih. Semasa ingin menyanyikan nota tinggi (pada peringkat akhir TTMM2) pun agak mencabar bagi saya.
“Tetapi, saya berkenan juga sekiranya diberi peluang (untuk menyertai Big Stage 2026).
“Ayah pula tidak ‘push’ saya untuk menyertai mana-mana pertandingan. Sejauh ini, beliau hanya memberikan sokongan dan banyak menyumbangkan pandangan.
“Ini kerana ayah juga lebih lama dalam industri. Cuma, zaman sudah berbeza. Selama ini, saya hanya memberi pendapat dan memperbaharui idea yang diberikannya,” kongsi Hussain.
