KUALA LUMPUR: Pencapaian karya ‘berhantu’, Bukan Lagi Kita, tidak boleh dipandang ringan apabila lagu yang melonjakkan nama penyanyi, Nadeera Zaini, itu merekodkan lebih 100 juta penstriman di semua wadah digital.

Malah, menerusi lagu sama, anak kelahiran Mersing, Johor Bahru, Malaysia, itu turut mencipta kejayaan terbesar dalam kerjayanya, apabila muncul Naib Juara Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL39), pada 2025.

Namun, seiring peredaran masa, rentak kejayaan yang diraih Nadeera mula perlahan.

Ramai beranggapan penyanyi berusia 32 tahun itu, yang terkenal menerusi program realiti anjuran Astro, Big Stage (Musim Kelima), mengambil tempoh agak lama untuk tampil dengan karya baharu yang mampu menandingi kejayaan, Bukan Lagi Kita, yang dilancarkan pada 16 Ogos 2024.

Sering dipuji kerana memiliki vokal mantap, Nadeera, atau nama sebenarnya, Farah Nadeera Zaini, bagaimanapun mula dilabel sebagai penyanyi one-hit wonder atau terkenal sekejap dengan mempertaruhkan sebuah lagu.

Mengakui sedikit sebanyak terkesan dengan tanggapan itu, Nadeera berkongsi bukan mudah untuk membina nama dalam industri muzik Malaysia.

“Sejujurnya, saya agak terkilan dengan label one-hit wonder itu. Namun, saya tidak mampu menutup mulut orang daripada berkata-kata.

“Saya percaya syarikat rakaman dan pihak pengurusan mempunyai perancangan terbaik untuk kerjaya saya,” kata Juara Big Stage (Musim Kelima) itu, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Walaupun tidak mudah untuk kekal kuat berdepan pelbagai tanggapan ramai, Nadeera bersyukur kerana sentiasa dikelilingi sistem sokongan yang menjadi kekuatannya.

“Saya pilih untuk tidak ambil serius komen berbaur negatif demi menjaga kesihatan mental.

“Saya anggap semua ini sebahagian daripada asam garam dunia seni.

“Saya juga bersyukur kerana dikelilingi sistem sokongan yang sangat kuat.

“Ibu bapa, keluarga dan rakan rapat sentiasa memberi kata-kata semangat. Itulah kekuatan saya,” ujarnya.

Mengulas tempoh panjang yang diambil sebelum tampil dengan lagu baharu, Nadeera berkata Cuba Jadi Aku, melalui proses penghasilan yang cukup teliti bagi memastikan mutunya benar-benar memenuhi jangkaan.

“Sebagai artis, sudah tentu saya mahu sentiasa tampil dengan lagu baharu.

“Namun, saya juga mahu memastikan setiap karya yang dihasilkan benar-benar bermutu, baik daripada segi melodi mahupun kesesuaiannya dengan vokal saya.

“Saya tidak mahu sekadar tangkap muat.

“Sebab itu, proses menghasilkan Cuba Jadi Aku mengambil masa agak lama kerana kami susun semula lagu ini.

“Saya juga perlu merakam semula vokal demi mendapatkan hasil terbaik,” tambah Nadeera.

Menurutnya, lagu terbaharunya, Cuba Jadi Aku, adalah antara karya paling dekat di hatinya kerana pesanan yang disampaikan cukup jujur, serta dekat dengan pengalaman ramai.

Cuba Jadi Aku mengangkat emosi dan jalan cerita yang kuat, selain mempunyai melodi yang mudah melekat di hati pendengar.

“Sepanjang proses rakaman, saya banyak belajar, bermain dengan emosi serta mendalami jalan cerita dan penghayatan lagu.

“Sebab itu saya memilih lagu ini sebagai lagu kedua selepas Bukan Lagi Kita.

“Bagi saya, lirik lagu ini sangat dekat dengan kehidupan sesiapa sahaja.

“Setiap kali rakam lagu, saya akan membayangkan diri berada dalam keadaan itu supaya penghayatan dan penyampaiannya lebih mendalam,” ungkapnya.

Lagu, Cuba Jadi Aku, mengangkat kisah kekecewaan, pengkhianatan dan kesakitan yang sukar difahami oleh individu yang menjadi punca segala penderitaan itu, selain menggambarkan kekuatan seseorang untuk bangkit daripada episod hitam dalam kehidupan.

Secara ringkas, ia mengisahkan seseorang yang memberikan sepenuh hati dan kepercayaan kepada insan disayangi, namun akhirnya terpaksa menanggung luka.

Apa yang diharapkan hanyalah agar individu terbabit memahami dan rasai sendiri kesakitan yang ditinggalkan.

Di samping itu, lagu Cuba Jadi Aku, menyaksikan sekali lagi kerjasama antara penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini, dengan penggubah lagu, Iqie Hugh.

Lebih istimewa lagi, lagu itu turut menyaksikan pembabitan Nadeera sebagai salah seorang komposer, sekali gus memberi sisi lebih peribadi terhadap karya berkenaan.

Nadeera mengakui meletakkan harapan tinggi terhadap Cuba Jadi Aku, termasuk menyasarkan untuk kembali bersaing di pentas berprestij, AJL.

“Sudah tentu saya letak sasaran yang tinggi kerana Bukan Lagi Kita sudah mempunyai penanda aras tersendiri.

“Saya berharap lagu kedua ini mampu mencapai kejayaan yang lebih baik atau sekurang-kurangnya setanding dengan Bukan Lagi Kita,” tambah Nadeera.

Dalam perkembangan lain, Nadeera turut memaklumkan sedang membuat persiapan untuk menghadiahkan album sulung kepada peminat setia.

“Insya-Allah, jika diizinkan Allah, saya akan tampil dengan album sulung, pada 2026 ini.

“Ketika ini, saya berada pada fasa akhir pemilihan lagu yang bakal dimuatkan dalam album.

“Saya juga merancang untuk mengadakan persembahan berskala kecil, atau showcase, sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan,” kata Nadeera.

Lagu, Cuba Jadi Aku, kini boleh didengar di seluruh penstriman digital.