KUALA LUMPUR: Penyanyi Ramlah Ram, 60 tahun, tidak menyangka bayangan diberi ibunda tercinta, Allahyarhamha Ne Madon, 84 tahun, yang dirinya bakal ‘pergi’ menjadi kenyataan apabila ratu hatinya itu menghembuskan nafas terakhir, dalam tidur, pada 9.38 pagi, 21 Disember lalu.
Ramlah menjelaskan ibunya baru keluar hospital selepas lebih seminggu menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Merlimau, Melaka.
Tambahnya, ibunya berada dalam keadaan baik dan stabil selepas pulang, lantas, pemergiannya sangat mengejutkan mereka sekeluarga.
“Biasanya arwah pagi-pagi sudah bangun. Ketika abang cuba mengejutkan emak untuk sarapan pagi, abang dapati emak sudah tiada. Arwah menghidap penyakit yang biasanya dialami warga emas. Namun, penyakit emak dalam keadaan terkawal.
“Ketika emak pergi, saya berada di Kuala Lumpur. Mujur saya tiada sebarang undangan persembahan di mana-mana. Jadi, sebaik dapat berita pemergian emak, saya terus bergegas ke rumah abang di Melaka.
“Sebenarnya, ketika emak dirawat di hospital, emak ada bagi ‘hint’. Emak kata dia hendak pergi, mungkin emak dapat merasakan yang dia akan pergi.
“Tetapi, saya pegang dahi emak. Saya kata, emak jangan cakap macam itu. Tidak sangka rupa-rupanya memang emak sudah nak pergi. Saya sedih sangat tetapi reda dengan pemergiannya,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).
Ramlah menambah biarpun sedih dengan pemergian bonda tercinta, namun, beliau bersyukur pengakhiran ibunya dipermudahkan.
Tambahnya, insan tersayang itu pergi dalam keadaan tenang, wajahnya bersih dan seakan-akan tersenyum.
“Saya bersyukur pengakhiran emak dipermudahkan. Emak pergi dalam keadaan yang tenang dan pada bulan mulia. Semua adik beradik saya dapat solatkan emak. Jenazah emak juga diimamkan adik saya sendiri,” katanya.
Jenazah Allahyarhamha Ne selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Ayer Tawar, Merlimau, Melaka, selepas solat Zohor, pada 21 Disember lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg