Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anuar Zain: Emak dalam fasa duka, kesihatan merosot selepas pemergian abah

Dec 25, 2025 | 3:02 PM
Anuar Zain menganggap ibunya, Allahyarhamha Robiah Abdul, sebagai ibu yang menyembunyikan rasa sedihnya di depan anak-anak.
Anuar Zain menganggap ibunya, Allahyarhamha Robiah Abdul, sebagai ibu yang menyembunyikan rasa sedihnya di depan anak-anak. - Foto INSTAGRAM ANUAR ZAIN

SHAH ALAM: Anuar Zain memberitahu kesihatan ibunya, Allahyarhamha Robiah Abdul, 74 tahun, mula merosot selepas pemergian arwah bapa, Allahyarham Zain@Zin Abdullah, kira-kira empat bulan lalu.

Anuar, atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 55 tahun, berkata arwah ibunya disahkan menghidap barah hati, kira-kira setahun lalu.

Namun, keadaannya baik selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital di Selayang, Januari lalu (2025).

“Kami tanya keadaan emak, dia kata okay. Tetapi, selepas itu, dia mula sakit, batuk-batuk dan kelihatan semakin lemah.

“Tanda sakit itu berlarutan. Jadi, kami bawa emak ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati ada pelbagai masalah lain timbul,” katanya ketika ditemui Berita Harian Malaysia (BHM) selepas selesai pengebumian jenazah Allahyarhamha Robiah di Tanah Perkuburan Elmina di sini, pada 25 Disember.

Anuar berkata sejak mula sakit, arwah ibu tidak benarkan dirinya dan anggota keluarga lain bercerita mengenai bapa mereka.

Bagaimanapun, tambah Anuar, sejak pemergian bapa akibat barah prostat, ibunya sering batuk-batuk dan keadaannya mula lemah.

Namun, insan tersayang itu cuba menyembunyikan kesedihan dengan memberitahu dirinya baik.

“Emak sudah setahun menghidap sakit. Selepas itu, kami buat rawatan dan semuanya baik. Kemudian, abah meninggal dunia. Selepas pemergian abah, kami nampak emak mula ‘down’ dan kesihatan mula merosot.

“Setiap kali kami buka cerita pasal abah, emak akan cakap, jangan nak, jangan cerita pasal abah. Dari situ, baru kami tahu yang sebenarnya emak masih lagi dalam fasa berduka.

“Mungkin itu asbab kesihatan emak mula merosot. Mungkin emak tertekan tapi kita semua tak sedar. Apa pun perjalanan hidup emak memang sudah ditentukan begitu.

“Itu adalah sesuatu yang perlu dilaluinya dengan izin Allah. Setiap yang berlaku ada sebabnya. Hakikatnya, perjalanan itu sangat indah,” katanya.

Anuar, bagaimanapun, bersyukur ibunya pergi dalam keadaan tenang dan pengurusan jenazah sangat lancar.

“Alhamdulillah, semua laju tanpa sebarang masalah. Kami sekeluarga sangat bersyukur Allah sayangkan emak. Kami adik-beradik semua sudah reda. Kami juga ingin ucap jutaan terima kasih kepada pengurusan hospital, masjid, saudara-mara dan jiran.

“Semua cantik, indah dan mudah. Semua orang terkejut melihat jenazah emak yang sangat cantik. Mukanya tersenyum manis macam tidur.

“Sama juga ketika pemergian abah. Apabila tengok wajah kedua-duanya yang tenang, saya jadi lega dan sangat bersyukur,” katanya.

Allahyarhamha Robiah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina kira-kira 11 pagi, disaksikan lebih 150 ahli keluarga terdekat dan kenalan rapat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg