Polis Malaysia sudah di peringkat akhir siasatan terhadap kes melibatkan penyanyi terkenal negara itu, Shila Amzah, yang mendakwa diserang secara lisan oleh seorang penyanyi legenda pada 10 Julai.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan, berkata kertas siasatan kes tersebut yang sudah merakamkan keterangan empat saksi, termasuk Shila sebagai pengadu, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) selewat-lewatnya pada 15 Julai untuk tindakan lanjut.
“Kertas siasatan sedang disiapkan. Ia dijangka diserahkan kepada TPR untuk semakan dan arahan lanjut pada hari ini (15 Julai),” katanya dalam satu kenyataan pada 15 Julai.
Menjawab sama ada suspek akan didakwa dalam masa terdekat, beliau berkata keputusan bergantung sepenuhnya kepada pihak pendakwaan.
Sebelum ini, Shila pada 10 Julai membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang oleh artis legenda tersebut ketika satu sesi latihan konsert sempena ulang tahun ke-20 kedai serbaneka, Mr D.I.Y, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Datuk Mohamed Usuf berkata hasil siasatan polis mendapati rasa tidak puas hati kerana dikatakan mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila diserang penyanyi legenda lelaki terbabit.
Shila atau nama sebenarnya, Nurshahila Amir Hamzah, 35 tahun, mendedahkan penyanyi terbabit melemparkan jeritan keras berbunyi “aku dah lama cari kau” dan “kau tunggulah nasib kau” terhadapnya secara terbuka di hadapan puluhan pemuzik, kru produksi dan klien beliau yang ketika itu turut berada di tempat kejadian.
Kejadian tersebut yang menyebabkan beliau trauma, awalnya dimuat naik Shila di media sosial dan menarik perhatian ramai serta mencetus pelbagai reaksi.
Nama beberapa penyanyi legenda Malaysia, iaitu Datuk Awie dan Ella, turut dipetik netizen.
Bagaimanapun, pada 14 Julai, Shila tampil mendedahkan dan mengesahkan identiti penyanyi legenda yang dikaitkan dalam kejadian tersebut ialah bapa kepada pelakon, Nabila Huda, Datuk Amy Search.
Shila menafikan dakwaan beliau cuba mencampuri atau memberi komen negatif terhadap rumah tangga penyanyi terbabit yang menyebabkan punca kejadian.
Sebaliknya, kata Shila, beliau hanya bertindak menyokong kenyataan yang dikeluarkan anak penyanyi terbabit menerusi hantaran di media sosial atas alasan berkongsi rasa dan memahami liku-liku kehidupan dalam keluarga yang hampir serupa.
“Liku-liku kehidupan yang kami berdua lalui dalam keluarga lebih kurang sama.
“Apabila saya setuju dengan kenyataannya itu lebih kepada emak tiri saya. Jadi, apabila nak kata saya cuba mengacau keluarga orang lain, perkara itu sama sekali tidak benar dan tidak berasas,” kata Shila.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg