Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelakon ‘Marah-Marah Sayang’, Isma Aliff, meninggal dunia tanpa temui 2 anak yang dirindui

Jan 7, 2026 | 3:19 PM
Isma Aliff, meninggal, Ampang, pelawak, pelakon, Marah-Marah Sayang
Pemergian Allahyarham Isma, atau nama sebenar, Muhammad Latiff Ismail, disahkan adiknya, Shamsidah Ismail, yang menjelaskan kesihatan abangnya semakin merosok sejak akhir-akhir ini. - Foto BHM

AMPANG: Pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff, 61 tahun, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Melayu Ampang, pada 8.30 pagi, 7 Januari, selepas berdepan dengan komplikasi strok sejak dua tahun lalu (2023).

Pemergian Allahyarham Isma, atau nama sebenar, Muhammad Latiff Ismail, disahkan adiknya, Shamsidah Ismail, yang menjelaskan kesihatan abangnya semakin merosok sejak akhir-akhir ini.

“Sebab kematian mungkin daripada strok yang dialami selama dua tahun, cuma dalam seminggu terakhir, arwah hanya terlantar.

“Daripada itu, kami lihat arwah sudah tidak berada dalam keadaan baik dan hari ini, abang meninggal dunia,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Allahyarham Isma berkahwin dengan Norha Rafie pada 1986 dan dikurniakan dua anak, iaitu Norismalina dan Muhammad Aliff.

Shamshidah berkata ambulans sudah tiba di kediaman dan keluarga sedang menunggu urusan dokumentasi daripada polis sebelum proses pengurusan jenazah diteruskan.

“Tadi ambulans sudah datang, sekarang kami sedang tunggu surat daripada polis. Kemudian barulah jenazah akan dibawa ke Masjid Kampung Melayu Ampang untuk dimandikan.

“Selepas itu, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana,” katanya.

Allahyarham Isma dilaporkan berdepan dengan masalah sukar bergerak akibat serangan angin ahmar pada 2023.

Allahyarham Isma pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember 2023 kerana berada dalam keadaan kritikal. Ketika itu, arwah dilapor ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Pada Oktober 2024, Isma yang dalam proses pemulihan selepas diserang angin ahmar, menerima sumbangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Allahyarham Isma yang memiliki pelbagai bakat, mencipta populariti pada era 1980-an.

Gandingan arwah bersama Allahyarham Mohd Yusof Abdul Hamid atau Mr Os terutama dalam filem Kembar Siam yang ditayangkan pada 1989, cukup diminati, hingga mereka sering tampil bersama termasuk dalam program terbitan RTM.

Allahyarham Isma juga membentuk kumpulan bersama Allahyarham Mr Os untuk program realiti, Maharaja Lawak Mega pada 2013.

Sebelum itu, Allahyarham Isma dilaporkan menjadi juri tetap program Raja Lawak.

Allahyarham Isma juga membintangi filem seperti Marah-Marah Sayang, Jaket Biru dan Sayang Ibu. Isma juga beraksi dalam drama Romeo pada 2000.

Selain berlakon dan berlawak, Allahyarham Isma merakam empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka dan Macam-Macam Ada pada era kegemilangannya.

Dalam pada itu, Shamsidah berkata, urusan pengebumian jenazah abangnya akan diteruskan tanpa perlu menanti kehadiran isteri dan dua anaknya.

Shamsidah, 60 tahun, berkata, keputusan ini dibuat memandangkan usahanya untuk menghubungi mereka bagi memaklumkan keadaan kesihatan Isma sebelum ini tidak berjaya.

“Saya bukan nak mengaibkan sesiapa, cuma saya ada beritahu ayah mereka bukan dalam keadaan baik. Jumpalah selagi dia masih boleh bercakap.

“Walaupun percakapannya sudah tidak jelas, tentulah sebagai seorang bapa dia ingin berjumpa anak-anaknya. Dia (anak sulung) ada balas ‘Allahuakbar, terima kasih maklumkan’.

“Lepas itu kami tunggu pagi dan petang, tapi tak juga datang. Saya anggap belum ada rezeki untuk mereka berjumpa,” katanya ketika ditemui di Masjid Jamiul Huda, Kampung Melayu Ampang.

Shamsidah berkata beliau sekali lagi menghubungi mereka pada pagi 7 Disember untuk memaklumkan kematian ayah mereka, namun agak terkilan apabila tiada sebarang respons.

“Hari ini, saya maklumkan ayah mereka sudah meninggal dunia, tapi tiada respons. Anak saya juga cuba hubungi, namun panggilan ditolak,” katanya.

Terdahulu Allahyarham Isma ketika ditemui dalam Majlis Raikan Ramadan bersama Artis di Restoran Haslam, Kuala Lumpur pada awal April 2024, meluahkan keinginannya untuk bertemu dua anaknya.

Luahan hatinya ini mendapat perhatian anak sulungnya, Nor Ismalina, yang datang menziarah bersama suaminya pada Hari Raya pertama.

Bagaimanapun, kedua-dua anaknya tidak pernah mengunjungi Allahyarham lagi selepas itu.

Isteri Isma, Norha, membuat keputusan untuk pulang ke kampungnya di Perak bersama anak kedua semasa pandemik Covid-19 dan terus menetap di sana hingga hari ini.

Manakala anak sulungnya pula difahamkan menetap di Shah Alam bersama keluarganya.

Jenazah Isma dimandikan dan diuruskan di Masjid Jamiul Huda, manakala pengebumian akan dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, selepas Asar pada 7 Disember.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg