Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siti Saleha arah telefilem pertama

Jul 7, 2025 | 5:30 AM
Siti Saleha, telefilem, Rentak Dua Hati, TV3
Pelakon, Siti Saleha, menceritakan perjuangan wanita yang memiliki identiti berganda melalui telefilem arahan sulungnya, ‘Rentak Dua Hati’, yang disiarkan di saluran TV3 pada 5 Julai. - Foto INSTAGRAM SITI SALEHA

Jika dulu beliau berdiri di hadapan kamera, kini pelakon rupawan, Siti Saleha, menduduki kerusi pengarah.

Sempena ulang tahun saluran TV3 yang ke-41, buat julung-julung kalinya, Siti Saleha, atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 35 tahun, bakal mempersembahkan telefilem pertamanya berjudul, Rentak Dua Hati.

Ia mengetengahkan tema cinta rentas bangsa dan identiti berganda di sekitar kehidupan wanita berhijab.

Telefilem itu menjadi pembuka tirai projek istimewa, Dari Layar ke Lensa, anjuran TV3, yang menghimpunkan barisan pelakon terkenal lain seperti Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim, sebagai pengarah.

Projek itu memberi peluang kepada pelakon terkenal untuk berjinak-jinak dalam dunia pengarahan dan memperkaya kandungan hiburan Malaysia.

Rentak Dua Hati memulakan tayangan pada 5 Julai lalu, pada 10 malam di saluran TV3.

Pendek kata, telefilem itu mengisahkan watak Adila (lakonan Auni Yusri), seorang peguam sivil muda yang menjalani kehidupan sebagai deejay secara rahsia. 

Perkenalan dengan seorang jejaka berbangsa Cina iaitu, Fabian (lakonan Zhen Ning), membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila rahsia Adila terbongkar dan keluarga Fabian tidak merestui hubungan mereka.

Dihimpit kecaman netizen dan tekanan keluarga, Adila berdepan dilema antara prinsip, cinta dengan minat, di samping membuat keputusan untuk masa depan.

“Saya seronok mengarahkan cerita ini, daripada tulis skrip sampai ke set penggambaran. Cerita ini datang daripada hati. 

“Jadi, apabila masuk penggambaran, saya memang sudah bersedia.

“Cakap pasal kerja mengarah, saya boleh kata, mengarah dan berlakon, letihnya tidak sama.

“Apabila mengarah, semua perkara harus difikirkan, daripada lokasi, masa, pakaian, konti dan semuanyalah. 

“Walaupun bukan semua tugas saya, tetap harus ambil tahu,” katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).

Dalam pada itu, beliau berkata watak Adila boleh dirasai mana-mana wanita yang pernah tertekan atau bergelut dengan pilihan hidup.

“Adila nampak kuat, tetapi, sebenarnya banyak yang dia pendam. 

“Saya harap telefilem ini dapat membuat penonton rasa sesuatu dan memberi inspirasi untuk berani menjadi diri sendiri,” tambah pelakon itu.

Auni Yusri, yang menjadi pelakon utama dalam telefilem pertama arahan Siti Saleha itu, menyifatkan watak yang dibawanya sebagai peluang yang tidak disangka dan bermakna.

“Saya sangat bertuah apabila Siti Saleha pilih saya untuk bawa watak Adila. 

“Sebagai pelakon baru, saya tidak jangka akan diberi tanggungjawab sebesar ini. 

“Tetapi sepanjang berada di set penggambaran, Siti Saleha banyak bimbing dan beri ruang untuk saya selesa dengan watak ini,” tambah Auni.

Selain Auni dan Zhen Ning, pelakon mapan, Khatijah Tan, turut membintangi telefilem itu, sekali gus mengetengahkan barisan pelakon rentas generasi yang cukup dinamik.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg