Setiap kali berpeluang membuat persembahan di Singapura, kehadiran penyanyi bersuara lunak, Anuar Zain, sentiasa mencuri perhatian.
Sama ada di pentas utama mahupun di balik tabir, senyuman ramah dan aura tenang beliau mampu meredakan ketegangan suasana, sekali gus meninggalkan kesan mendalam pada sesiapa sahaja yang bertemu dengannya.
Itulah yang saya rasakan sejurus selesai mewawancara Anuar, atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 55 tahun, yang santun melayan peminat dan pihak media sambil menampilkan keperibadian yang penuh hemah dan budi bahasa.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Anuar berada di Singapura sempena Pesta Perdana 2025 yang berlangsung di Teater Mediacorp pada 24 Mei lalu.
Beliau turut membuat persembahan istimewa menerusi dua lagu popularnya, Sedetik Lebih dan Bila Resah.
Ditanya BM mengenai hasrat untuk menghasilkan karya terbaru, Anuar tidak menyembunyikan rasa rindu yang semakin membara untuk kembali ke studio rakaman, setelah sekian lama tidak tampil dengan lagu baru.
“Memang saya rindu untuk hasilkan lagu baru, tapi setakat ini saya masih belum jumpa karya yang benar-benar dekat dengan jiwa saya.
“Bagi saya, apa saja yang kita lakukan mesti datang daripada rasa minat dan keseronokan.
“Ia umpama santapan untuk jiwa. Kita perlu benar-benar rasa terhubung dengan karya itu untuk menyampaikannya dengan jujur,” kata Anuar.
Walaupun ada beberapa cadangan lagu, faktor masa dan kesibukan pihak penerbitan turut memainkan peranan dalam penangguhan karyanya.
“Kalau ada pun lagu, pihak penerbit pula sedang sibuk dengan urusan kerja berhubung muzik dan jelajah. Jadi, saya sedang menunggu masa yang tepat sahaja.
“Jika boleh, saya ingin melakukannya secepatnya juga kerana album terakhir diterbitkan pada 2016.
“Tentunya, saya ingin menyajikan sesuatu yang baru dan segar untuk peminat setia,” ujar Anuar, yang turut terbuka untuk menerima karya daripada mana-mana komposer di rantau ini, termasuk dari Singapura dan Indonesia.
Menjelang Konsert Empat Live In Kuala Lumpur di Mega Star Arena pada 18 Oktober, semangat Anuar jelas membara kerana buat julung-julung kalinya menggabungkan empat bintang sekeluarga termasuk kakaknya, Ziana Zain; anak saudaranya, Ernie Zakri dan Syamel, dalam satu persembahan eksklusif.
Di samping itu, beliau turut mengakui kehadiran Ernie dan Syamel banyak membantunya menimba pengetahuan baru, khususnya dalam pendekatan pemasaran digital yang lebih cekap dan kreatif, apatah lagi dalam era media sosial kini.
“Meskipun kami satu keluarga, tetapi menyentuh tentang pekerjaan sebagai penyanyi, kami sangat serius.
“Saya selaku penganjur konsert ini juga sangat mengalu-alukan pendapat mereka. Lebih banyak ‘kepala’ (idea), lebih baik.
“Zaman pun kian berubah dengan adanya media sosial. Anak muda sekarang lebih suka beri ‘teaser’ atau kejutan.
“Bagi saya pula, sebagai generasi yang lebih dulu, sesuatu perkara itu tidak akan diuar-uarkan selagi ia belum sepenuhnya ‘jadi’.
“Kini, menyebar maklumat secara lisan pun sudah tidak berapa berkesan,” katanya.
Konsert Empat, anjuran Anuar Zain Network, turut digerakkan oleh pengarah muzik berpengalaman, Lee Sze Wan, yang menurut Anuar, memiliki sentuhan istimewa dalam memahami karakter vokal setiap penyanyi.
“Salah satu kelebihan Sze Wan ialah keupayaannya memahami kita sebagai penyanyi.
“Beliau akan olah muzik mengikut cara kita membawakan diri dan menyampaikan lagu, dan itu memang luar biasa.
“Bukan semua pengarah muzik mampu atau memilih untuk lakukan begitu,” kongsi Anuar, sambil memberi bayangan bahawa konsert kali ini bakal sarat dengan kejutan.
Melanjutkan perbualan mengenai anak saudaranya yang kini antara penyanyi terkenal dengan karya bernada tinggi, Ernie, Anuar berkongsi sisi peribadi tentang jatuh bangun seorang insan seni.
Di sebalik pencapaiannya hari ini, penyanyi lagu, Lelaki Ini, itu tidak menafikan bahawa Ernie pernah melalui fasa sukar dalam kerjaya, sesuatu yang mungkin tidak diketahui umum, namun, dirasai orang terdekat khususnya keluarga.
“Bagi saya, Ernie sudah lalui banyak dugaan dalam perjalanan seninya. Namun, beliau tidak sekali pun mengeluh.
“Adakalanya, kita berada dalam syarikat rakaman yang lebih mengutamakan orang lain dan tidak percaya pada bakat yang dimiliki.
“Saya rasa mungkin, Ernie tidak diberi peluang yang sewajarnya ketika itu,” kongsi Anuar.
Namun, kata Anuar, segala kepayahan itu adalah sebahagian daripada proses yang menguatkan seseorang seniman.
“Kalau hidup ini sentiasa bahagia, sukar untuk orang rasa dekat dengan kita.
“Kepedihan itu penting kerana ia buat kita lebih faham karya yang dibawakan, dan membolehkan orang lain turut merasainya.
“Pernah sekali Ernie beritahu yang beliau mahu berhenti. Saya nasihatkan, ‘Jangan sesekali berhenti.’
“Masa itu, beliau masih muda lagi dan mungkin belum ada tunjuk ajar yang betul.
“Tapi sekarang, Ernie berdiri atas kaki sendiri dengan penuh keyakinan dan hasil usaha dirinya sendiri. Saya mahupun Kak Gee (panggilan Ziana Zain) hanya memberi sokongan dari belakang,” ceritanya lagi.
Anuar berharap Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sahaja menjadi sebuah persembahan yang menghiburkan, malah satu pengalaman yang kekal terpahat dalam hati penonton selamanya.
Beliau berkata: “Moga-moga konsert ini menjadi buah mulut ramai.
“Siapa tahu, suatu hari nanti kita dapat bawa konsep kolaborasi begini ke wadah yang lebih besar dan menginspirasikan lebih ramai orang?”
Tiket bagi Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 berharga RM892.40 ($88.19) bagi kategori Diamond dan RM1092.40 bagi kategori VIP, boleh didapatkan melalui laman web Ticket2u: https://www.ticket2u.com.my/event/42583/empat-live-in-kuala-lumpur-2025
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg