Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ernie Zakri belum sedia buka kelas vokal sendiri, mahu tumpu pada projek lain

Jan 7, 2026 | 5:18 PM
Ernie Zakri, Syamel, belum sedia buka kelas
Pasangan penyanyi suami isteri, Ernie Zakri dan Syamel ingin menumpu perhatian pada projek-projek yang telah dirancang bagi tahun 2026. - Foto KOSMO!

Sebut sahaja sambutan tahun baru, kebanyakan orang membayangkan lautan manusia, peluh yang mengalir dan aliran trafik yang perlahan.

Namun, pengalaman itu berbeza buat mereka yang menghadiri konsert Nostalgia New Year’s Eve yang berlangsung pada 31 Disember di Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.

Menghimpunkan persembahan istimewa pasangan selebriti Syamel dan Ernie Zakri serta sentuhan muzik DJ Fuzz, konsert tersebut menjadi pelengkap malam ambang Tahun Baru yang diraikan dalam suasana penuh keintiman.

Dengan sokongan daripada Universal Music Malaysia dan Hotel Le Méridien Petaling Jaya, konsert diadakan secara tertutup sekali gus menawarkan pengalaman yang lebih tenang, selesa dan jauh daripada hiruk-pikuk kebiasaan.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly mengakui teruja dapat merasai sendiri pengalaman menyambut tahun baru secara ‘indoor’ buat pertama kali, apatah lagi berkongsi pentas bersama insan tersayang, lapor Kosmo!.

“Saya tengok masing-masing berseronok dengan persembahan dan paling penting sekali pertama kali kami merasa menyanyi dalam suasana yang sangat tenang, nyaman dan selesa.

“Bila cerita fasal sambutan tahun baru, selalunya akan sesak tapi sebenarnya itu pun sebahagian daripada sambutan juga,” katanya selepas menghiburkan peminat.

Tambah penyanyi berusia 33 tahun itu, sambutan sama ada di ruang terbuka mahupun tertutup masing-masing memiliki keistimewaan tersendiri.

Sementara itu, isterinya, Ernie Zakri yang ditemui di acara itu sempat berkongsi azam untuk 2026.

“Saya seorang yang ikut keadaan tetapi perancangan bersama pihak Universal Music banyak.

“Azam saya rasa hanya ingin membuat yang terbaik sebab banyak sangat projek yang saya dah lakukan.

“Saya hanya berdoa agar segala projek yang saya rancang bersama dengan label dapat dilancarkan pada 2026.

“Banyak lagu-lagu, projek-projek baru yang seronok untuk semua peminat,” ujar pemenang trofi Bintang Paling Popular ke-37 semasa acara Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 pada Disember.

Ditanya mengenai kesediaan membuka kelas vokal sendiri, penyanyi lagu Masing-Masing itu mengakui belum bersedia dan masih mahu menimba ilmu.

“Kalau ada adik-adik nak datang borak kita okey, tapi untuk buka kelas mungkin belum lagi.

“Kita pun banyak lagi benda kena belajar,” katanya yang sebelum ini pernah bergelar guru vokal sebelum mengecap populariti.

Dalam pada itu, Syamel turut menjelaskan mengenai penganjuran konsert berbayar yang menerima pelbagai reaksi sebelum acara berlangsung.

“Sebenarnya bila cerita fasal sambutan tahun baru, kita sering disajikan dengan sambutan yang tidak memerlukan wang ringgit tapi bila ada sambutan sebegini, yang sediakan tempat selesa, makanan seronok, suasana nyaman, ia memerlukan jualan meja.

“Ramai juga yang buat aduan kenapa berbayar, tapi mereka yang dah datang saya hargai kehadiran mereka.

“Mereka sanggup bangun dan nyanyi bersama-sama, pergi ke depan demi menjayakan program ini,” jelas pelantun lagu Hamba Cinta itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg