KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menawan hati peminat tempatan, band popular Indonesia, Ungu masih tidak percaya tiket Konsert 29th Anniversary-Symphony of Ungu yang dipentaskan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, 12 Julai lalu, ‘licin’ disambar penggemar kumpulan itu.
Biarpun boleh dikatakan hampir saban tahun bertandang ke Kuala Lumpur bagi menjayakan konsert, Ungu yang mula bertapak di Malaysia pada 2003, tidak menduga 2,500 tiket habis dijual.
Vokalis Ungu, Pasha berkata, dia dan teman-teman cukup menghargai sokongan peminat tempatan terhadap band itu.
“Terima kasih kepada penganjur kerana undang lagi ke Kuala Lumpur buat sekian kalinya. Teman-teman di sini masih setia menonton konsert kami,” katanya pada malam itu.
Apa yang istimewa, buat kali pertama, Ungu membuat persembahan dengan iringan muzik orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik yang diterbangkan khas dari Indonesia, JP Denny.
Selepas segmen buka tirai, Ungu mula menghangatkan pentas kira-kira jam 9.35 malam dengan lagu Melayang dan Berikan Aku Cinta, lapor BH Online.
Bagi peminat tegar Ungu, malam itu cukup istimewa kerana dapat menyaksikan Pasha menyanyikan rangkaian lagu hit Ungu dari awal 2000. Peminat juga menyanyi dengan bebas tanpa mempedulikan vokal ‘dihakimi’ penonton lain.
Ungu terus bermain dengan nostalgia dengan lagu Cinta Dalam Hati yang sebelum ini kembali popular selepas peserta Indonesia Idol, Jemima Cita mendendangkan single itu dalam satu episod program realiti itu pada 2021.
Ungu kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Aku Tahu, Saat Bahagia, Aku Bukan Pilihanmu, Ku Ingin Selamanya dan Sayang.
Selepas itu, Pasha mengundang penyanyi tempatan, Ayda Jebat untuk berduet menerusi lagu Tercipta Untukku dan Bismilah Cinta. Namun, sayangnya, paduan vokal mereka kurang menjadi, walaupun masing-masing cuba menampilkan suara berharmoni.
Pasha meneruskan lagi persembahan dengan lagu Bila Tiba dan Andai Ku Tahu. Lagu itu adalah penghormatan buat pemain keyboard, Gatot Kies atau Mas Gatz yang meninggal dunia, kira-kira 40 hari lalu.
Tidak hanya duduk di pentas, Pasha yang kini berusia 46 tahun sesekali turun menyanyi bersama penonton dan melayani peminat yang mahu bergambar.
Biarpun vokal Pasha malam itu agak kurang mantap, mungkin dipengaruhi faktor usia, namun, apa yang penting bagi peminat, mereka dapat mengembalikan nostalgia zaman muda.
Pujian harus diberi kepada Pasha yang layak digelar penghibur kerana kelebihan berkomunikasi dengan peminat. Mungkin kerana lantikan sebagai wakil rakyat banyak membantu Pasha dalam berkomunikasi.
Malam itu, Ungu yang turut dianggotai Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bes) dan Rowman (dram), menutup persembahan sempena ulang tahun ke-29 penubuhan band itu dengan lagu rancak berjudul Seperti Mati Lampu yang meninggalkan momen manis buat peminat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg