Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M. Nasir tutup tirai konsert trilogi dengan muzik rok

Jul 8, 2025 | 11:49 AM
M.Nasir,, konsert, rok
Legenda muzik rok asal Singapura, Datuk M.Nasir, bakal gegar pentas Axiata Arena, Kuala Lumpur, Malaysia, dengan sajian muzik rok pada 27 September akan datang. Konsert itu menjadi pelengkap pada siri trilogi konsert yang bermula sejak 2024. - Foto INSTAGRAM M. NASIR

Legenda muzik rok, Datuk M. Nasir, 68 tahun, kembali dengan konsert terbaru yang dijangka mencipta satu lagi detik bersejarah dalam dunia seni hiburan.

Diberi judul Dato’ M N46ir Cipta 3, konsert yang bakal berlangsung pada 27 September di Axiata Arena, Kuala Lumpur, Malaysia, menjadi pelengkap kepada siri trilogi konsert yang dimulakan sejak 2024.

Dibawakan oleh Icon Entertainment bersama Etiqa sebagai rakan strategik utama, konsert kali ini tampil dengan konsep unik, Malam Ini Gua Rock, yang memberi ruang kepada penghibur tersohor itu meraikan sisi rok beliau, baik sebagai penyanyi mahupun pencipta lagu rok yang pernah melonjakkan nama kumpulan-kumpulan ikonik di Malaysia.

Selepas kejayaan Cipta 1 pada Ogos 2024 dan Cipta 2 pada Oktober tahun yang sama, penonton masih belum melupakan bagaimana konsert kedua ditutup dengan taburan wang kertas RM1 berjumlah RM10,000 ($3,016.07) ketika lagu Raya didendangkan.

Detik epik itu kemudian melahirkan Cipta Raya, sebuah konsert eksklusif berkonsepkan lagu-lagu Raya yang berlangsung penuh warna pada April 2025.

Kini, penyanyi rok asal Singapura itu tampil sekali lagi bukan hanya untuk mengulangi kejayaan terdahulu, malah untuk menyempurnakan sebuah trilogi seni yang telah membentuk jadual seninya sejak 2024.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, konsert kali ini hadir dengan kejutan berbeza. 

Walaupun ada yang mungkin beranggapan penganjuran trilogi itu mengurangkan eksklusiviti M. Nasir, namun Tang yakin bahawa kehadiran konsert tersebut bakal membuktikan sebaliknya.

Menurut Tang, konsep Malam Ini Gua Rock sangat dekat dengan jiwa M. Nasir, memandangkan penyanyi rok mapan itu pernah mencipta begitu banyak lagu rok yang menjadi santapan halwa telinga sepanjang zaman.

Lagu seperti Sejati, Pawana dan Intanku Kesepian bukan sahaja menjadi warisan kumpulan seperti Wings dan Search, malah telah menjadi nadi dalam perjalanan muzik rok Malaysia.

“Ya, Icon Entertainment kembali dengan Dato’ M N46ir Cipta 3

“Mungkin ada yang mengeluh ‘konsert M Nasir lagi’, atau ‘nyanyi lagu apa pula kali ini’ atau ‘M Nasir sudah tidak eksklusif’ kerana penganjuran trilogi konsert, tetapi percayalah Dato’ M. N46ir Cipta 3 akan memberi kejutan baru buat peminat.

“Sama seperti penganjuran Cipta 1 dan Cipta 2 yang berbeza, tentu sahaja peminat tidak akan rasa membazir untuk melaburkan duit lagi untuk Dato’ M N46ir Cipta 3.

“Kerana apa? Pertama, tentu kerana karisma sang legenda, Datuk M. Nasir sendiri. Kedua, kerana konsep Malam Ini Gua Rock yang cukup dekat dengan M Nasir. 

Sifu ialah ‘arkitek’ yang mencipta banyak lagu rok popular tanah air (di Malaysia) sehingga harum se-Nusantara,” kata Tang dalam laman web Sinar Harian, ketika ditemui semasa sidang media pada 30 Jun sekitar Kuala Lumpur.

Menambahkan lagi warna pada malam konsert itu, peminat turut digalakkan hadir dengan pakaian bertemakan Rock Cara Lu... Janji Rock, sebagai simbol kebebasan berfesyen dan berekspresi dalam gaya masing-masing.

Tiket berharga mengikut kategori iaitu Teguh, RM258 ($77.81); Opera Hidup, RM358; Isi dan Kulit, RM458; Sejati, RM488; Gadisku, RM558; dan Pawana, RM628, boleh didapatkan di laman www.ticket2u.com.my/mnasircipta3.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg