Nanay’s Kitchen di Blok 301, Ubi Avenue 1 bukan sekadar tempat untuk menikmati makanan yang lazat, malah di sebalik pembukaan restoran itu, tersingkap kisah cinta yang menyatukan dua budaya, Filipina dan Melayu.
Diasaskan oleh Encik Saifuddin Mohamed Said, 55 tahun, dan isterinya, Cik Nur Hidayah Baja, 36 tahun, pasangan itu menyajikan hidangan yang jarang ditemui di Singapura, iaitu masakan halal Filipina.
“Saya pernah bekerja di Filipina. Saya pergi ke sana selama 10 tahun.
“Tetapi saya tidak tinggal di sana. Setiap bulan, selama satu minggu, saya berada di Filipina.
“Dan di situlah saya bertemu dengan Hidayah, ‘hidayah’ saya,” kata Encik Saifuddin sambil tergelak kecil.
Ketika itu, Encik Saifuddin bertugas memasarkan komponen elektrik di sana.
Bagi Cik Hidayah, yang berasal dari Filipina pula, kisah mereka bukanlah cinta pandang pertama.
“Sebenarnya, saya tidak menyukainya pada mulanya,” beliau akui sambil ketawa.
“Tetapi semakin saya melihatnya, semakin saya suka dia.
“Macam makanan kita. Semakin banyak anda memakannya, semakin anda menyukainya,” katanya.
Kisah cinta pasangan itu berputik pada 2007.
Cik Hidayah berpindah ke Singapura, dan pasangan itu bernikah dua tahun kemudian.
“Saya seorang perunding kecantikan. Saya mahu membuka spa, tetapi apabila pandemik melanda, impian itu terpaksa ditangguhkan,” kongsi Cik Hidayah.
“Ketika itu kami terfikir, kenapa bukan makanan?”
Idea untuk memulakan Nanay’s Kitchen bukan sahaja lahir daripada rasa cita terhadap makanan, malah juga keperluan.
Encik Saifuddin mengimbas kembali detik ketika isterinya hamil anak pertama, yang mencetuskan inspirasi itu.
“Semasa isteri saya mengandung anak pertama kami, tiada makanan Filipina halal di Singapura.
“Saya terpaksa menghantarnya pulang ke Filipina selama dua minggu hanya supaya dia dapat menikmati semua makanan yang diidamkannya.”
Pengalaman itu menanam hasrat untuk mewujudkan apa yang akhirnya menjadi Nanay’s Kitchen.
“Ia membuatkan kami berfikir mengapa tidak membawa makanan halal Filipina ke Singapura?
“Mengapa tidak berkongsi rasa ini dengan semua orang, terutamanya masyarakat Melayu?” tambah Encik Saifuddin.
Justeru, lahirlah Nanay’s Kitchen pada 2021.
“Nanay bermaksud ibu dalam bahasa Tagalog, jadi ia adalah seperti dapur ibu anda,” jelas Cik Hidayah.
Kedai makan itu mula menawarkan masakan tradisional Melayu, dengan Cik Hidayah mempelajari banyak resipi daripada ibu mentuanya.
Tetapi tidak lama kemudian, mereka mula memperkenalkan hidangan Filipina.
Pada awalnya, ia hanya dijual pada hujung minggu dan kemudian, disebabkan permintaan ramai, ia dijadikan hidangan tetap di dalam menu mereka.
Salah satu hidangan popular di restoran itu ialah, Sizzling Chicken Sisig ($11), iaitu hidangan klasik Filipina berkrim dan berperisa, yang dihidangkan di atas ‘sizzling plate’.
Ayam digoreng, ditambah dengan mayones, cili dan bawang.
“Ramai rakyat Singapura belum didedahkan kepada makanan Filipina.
“Mereka boleh memberitahu anda di mana untuk mencari makanan Thailand yang enak, tetapi makanan Filipina? Tidak begitu banyak.
“Sekarang, mereka tidak perlu membeli tiket kapal terbang ke Filipina. Hanya perlu datang ke sini sahaja,” ujar Encik Saifuddin.
Nanay’s Kitchen menyesuaikan resipinya mengikut selera tempatan dengan menambah lebih banyak sambal dan rempah-ratus, menjadikan hidangannya lebih sesuai dengan cita rasa tempatan.
Satu lagi kegemaran ramai ialah, Tortang Talong ($7.50), iaitu telur dadar terung bakar yang dihidangkan dengan nasi.
“Ia merupakan hidangan gaya kampung.
“Kami memanggang terung dahulu dan kemudian goreng dengan telur dan bawang.
“Rasa manis itu sememangnya datang secara semula jadi daripada terung apabila dimasak dengan cara begini,” kata Cik Hidayah.
Bagi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang lebih menarik, Bangsilog ($12), wajib dicuba.
Hidangan itu menampilkan ikan bandeng (milkfish) yang telah diperap dengan bawang putih dan digoreng hingga garing, dihidangkan dengan nasi goreng bawang putih dan telur mata lembu.
“Orang Filipina suka makan nasi untuk sarapan pagi.
“Apabila anda mendengar ‘silog,’ ia bermakna nasi goreng dengan telur.
“‘Bang’ adalah singkatan daripada bangus, iaitu ikan bandeng,” tambahnya.
Nanay’s Kitchen juga menawarkan Kinamatisan Tulya ($12), sup kerang yang dimasak dengan halia, tomato, bawang putih dan serai.
“Ini adalah resipi daripada nenek saya. Sup ini ibarat ‘comfort food’.
“Malah, di Manila sekalipun, hidangan ini sukar ditemui kerana ia lebih lazim dihidang di bahagian utara Filipina.”
Dari masa ke masa, Nanay’s Kitchen telah berkembang daripada hanya menawarkan menu Filipina pada hujung minggu kepada menyajikan hidangan Filipina setiap hari.
“Orang ramai mula meminta makanan Filipina pada hari bekerja.
“Mereka akan bertanya, ‘Kenapa hanya Ahad? Bagaimanakah pula dengan Sabtu?’” kata Cik Hidayah.
Pasangan itu menyedari mereka telah memasuki pasaran yang mempunyai permintaan tetapi kurang penyedia khidmat.
“Ramai warga Filipina di sini mempunyai kawan Melayu (beragama Islam), dan mereka tidak boleh membawa mereka ke restoran lain di Lucky Plaza yang mungkin tidak halal.
“Jadi, mereka datang ke sini,” tambah Encik Saifuddin.
Restoran itu juga telah menyaksikan pengikut setia dalam kalangan rakyat Singapura.
“Perlahan-lahan, kami memperkenalkan makanan Filipina kepada masyarakat Melayu,” luah Encik Saifuddin.
Antaranya ialah hidangan seperti, Halo-Halo ($4.50), pencuci mulut yang menyegarkan, serupa dengan ais kacang.
Disebabkan permintaan yang sangat tinggi, pasangan itu kini dalam persiapan membuka cawangan kedua.
“Sudah hampir tiga tahun sejak kami bermula, dan kini kami berkembang,” kongsi Encik Saifuddin.
“Kami membuka cawangan kedua di Hospital Masyarakat Outram... kami telah mendapat banyak tempahan daripada jururawat.
“Mereka sangat teruja untuk mencuba makanan Filipina yang halal.”
Cawangan baru itu akan membolehkan Nanay’s Kitchen menjangkau lebih ramai pelanggan, termasuk masyarakat Filipina yang besar di tengah Singapura.
“Di kawasan tengah, terdapat ramai orang Filipina.
“Jadi di situlah kami akan menempatkan diri kami seterusnya,” kata Cik Hidayah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg