Anak perempuan Cik Suhaila (bukan nama sebenar) mengalami autisme, dan salah satu cara kanak-kanak berumur enam tahun itu mengawal dan menenangkan diri adalah dengan berjalan sambil menghentak kaki.

Namun sejak kebelakangan ini, sebaik sahaja mendengar anaknya mula menghentak kaki, Cik Suhaila akan segera menyuruh kanak-kanak itu berhenti.

Ini kerana suri rumah itu tidak mahu hentakan kaki tersebut mengganggu jiran di bawah, yang telah beberapa kali membuat aduan tentang bunyi yang datang dari flatnya.

“Saya berasa sangat bersalah setiap kali saya menahan anak saya daripada menghentak kaki.

“Tetapi saya pula menyekat dia daripada melakukan sesuatu yang secara semula jadi diperlukan untuk membantunya menghadapi dan menguruskan keadaan dirinya,” kata ibu seorang anak itu.

Cik Suhaila, 33 tahun, berkongsi bahawa anaknya disahkah mengalami autisme ketika berumur empat tahun.

Beliau dan suami memasukkan kanak-kanak itu ke dalam Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (Eipic), yang menurutnya banyak membantu dalam perkembangan awal si kecil.

Program itu juga telah membantu anaknya menetapkan dan menguruskan rutin hariannya sendiri.

Melihat anaknya suka melukis, Cik Suhaila pun memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual kemeja-T dan rantai kunci (keychain) memaparkan karya yang dihasilkan.

Cik Suhaila bersama anak dan suaminya tinggal di flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di timur Singapura sejak pertengahan 2023.

Namun sekitar hujung Mac, semasa musim Hari Raya, keluarga itu mula menerima aduan tentang bunyi melalui pesanan WhatsApp daripada jiran mereka yang tinggal di bawah.

“Pada mulanya, mereka agak memahami dan mesej yang dihantar juga disampaikan secara baik dan berhemah. Kami benar-benar memahami keadaan mereka.

“Kami tinggal di perumahan awam dan sedar bahawa bunyi bising mudah kedengaran dari satu unit ke unit yang lain. Hentakan kaki anak kami sememangnya akan memberi kesan kepada jiran di bawah,” kata Cik Suhaila.

“Jadi, reaksi awal kami adalah untuk bersikap terbuka. Kami mahu berkomunikasi dengan rapat dan memenuhi permintaan mereka sedaya upaya.

“Malah, kami sudah bersedia dari segi mental untuk menerima maklum balas dan menanganinya secara bertanggungjawab,” tambahnya.

Bagi menunjukkan yang mereka benar-benar mahu menjadi jiran yang bertimbang rasa, Cik Suhaila dan suaminya membelanjakan lebih $200 untuk membeli tikar getah setebal dua sentimeter yang biasa digunakan di gimnasium bagi menutupi sebahagian besar lantai flat empat bilik mereka.

Cik Suhaila dan suaminya membelanjakan lebih $200 untuk membeli tikar getah setebal dua sentimeter yang biasa digunakan di gimnasium bagi menutupi sebahagian besar lantai flat empat bilik mereka.
Cik Suhaila dan suaminya membelanjakan lebih $200 untuk membeli tikar getah setebal dua sentimeter yang biasa digunakan di gimnasium bagi menutupi sebahagian besar lantai flat empat bilik mereka. - Foto SUHAILA

“Proses penghantaran mengambil sedikit masa, namun kami sentiasa memaklumkan perkembangan kepada jiran tersebut dan malah menghantar gambar kepada mereka sebaik sahaja tikar itu dipasang. Namun, kami tidak menerima sebarang balasan selepas itu,” kata Cik Suhaila.

Masalah itu bagaimanapun belum selesai, malah diperburuk apabila jiran berkenaan menyebut tentang isu hentakan kaki tersebut dalam kumpulan sembang WhatsApp penduduk blok itu.

“Perkara itu benar-benar mengejutkan kami dan agak mematahkan semangat.

“Kami tertanya-tanya mengapa mereka tidak menghubungi kami secara peribadi seperti yang pernah mereka lakukan sebelum ini,” keluh Cik Suhaila, yang kini dilanda resah dan berasa tertekan setiap kali nama jiran itu muncul di telefonnya.

Beliau dan suami telah berkongsi cabaran yang dihadapi itu kepada Anggota Parlimen (AP) mereka dan memfailkan rayuan bagi Tempoh Penginapan Minimum (MOP) yang disingkatkan.

Cik Suhaila berkata AP itu amat memahami, malah membantu membuat rayuan kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi pihak mereka.

“Pegawai HDB kemudian mengunjungi rumah kami untuk berbincang mengenai perkara itu dan turut menasihati jiran berkenaan supaya tidak lagi membangkitkan isu tersebut dalam kumpulan sembang blok,” katanya.

Selain memasang tikar bagi mengurangkan bunyi, Cik Suhaila dan suami turut memastikan anak mereka masuk tidur selewat-lewatnya 9.30 malam.

Keluarga itu juga memastikan rumah mereka berada dalam keadaan senyap sepanjang waktu tenang, atau quiet hours, yang ditetapkan HDB, iaitu dari 10.30 malam hingga 7 pagi.

“Namun, pada waktu siang, keadaan hilang kawalan akibat terlalu banyak rangsangan deria yang berlaku secara tiba-tiba sememangnya di luar kawalan kami.

“Apabila ia berlaku, kami berusaha sedaya upaya untuk menenangkan anak kami secepat mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai jalan keluar daripada kemelut yang dihadapi itu, Cik Suhaila berkata beliau berharap rayuan agar MOP bagi flatnya disingkatkan akan diluluskan agar keluarganya boleh segera berpindah ke unit lebih rendah atau di tingkat satu.

“Dengan cara ini, kami boleh hidup dengan aman tanpa rasa takut mengganggu jiran di bawah, dan anak kami boleh mempunyai ruang yang diperlukan untuk mengawal dirinya dengan selamat,” kata Cik Suhaila.

Pada 2024, undang-undang baru diluluskan untuk menggalakkan dan memperkukuh pengantaraan dan dialog antara jiran sekiranya terdapat pertikaian, dan bukannya sekadar meminta pihak berkuasa campur tangan pada peringkat pertama.

Semasa berucap di Parlimen berkenaan isu tersebut, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-Undang pada waktu itu, Encik Edwin Tong, berkata agensi awam menerima sekitar 2,500 aduan setiap bulan secara purata – atau lebih daripada 80 aduan setiap hari – tentang gangguan bunyi daripada jiran mereka.

Meskipun pemerintah memperkukuh Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat (CDMF), Encik Tong berkata “matlamat kita tetap untuk membina sebuah masyarakat yang teguh, berdaya tahan, dan bersatu padu yang mana jiran-jiran bersikap mesra antara satu sama lain, dan mereka lebih cenderung untuk bertolak ansur dan saling memahami.

“Dengan itu, mereka pula akan menjadi lebih terbuka untuk membincangkan gangguan kecil yang mungkin timbul, dan seterusnya menyasarkan untuk menanganinya secara membina tanpa membiarkannya memuncak.”