Topik diikuti
Pergi ke BHkuJanna Nick tangguh timang cahaya mata, ingin tumpu turun berat badan
Janna Nick kongsi sebab hentikan pengambilan ubat hormon
Janna Nick tangguh timang cahaya mata, ingin tumpu turun berat badan
PUTRAJAYA: Pelakon dan pengacara Malaysia, Janna Nick, sanggup menghentikan perancangan untuk menimang cahaya mata buat sementara waktu kerana mahu beri tumpuan untuk menurunkan berat badannya.
Janna atau nama sebenarnya, Nurul Janna Muner, 31 tahun, berkata keputusan itu dilakukan kerana enggan pengambilan ubat hormon mengganggu prosesnya untuk menurunkan berat badan selama 90 hari selepas terlibat dalam program, ‘3 Days X Turun KG’, yang dilancarkan oleh Marsha Sdn Bhd.
“Perjalanan menimang cahaya mata saya akan dihentikan buat sementara waktu.
“Saya juga sudah berhenti mengambil ubat hormon kerana tidak mahu berlaku sebarang percanggahan dengan pengambilan produk ini.
“Ini merupakan komitmen saya terhadap Marsha Group.
“Sepanjang tempoh 90 hari ini, saya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk melihat sama ada produk 3 Days berkesan atau sebaliknya,” kata Janna, lapor Utusan Malaysia.
“Saya tidak mahu ubat hormon pula dipersalahkan sekiranya produk ini tidak berkesan.
“Saya rasa tidak adil jika saya mencuba produk mereka tetapi pada masa yang sama mengambil produk atau ubat lain.
“Jadi, saya menghentikan pengambilan ubat hormon untuk memberikan tumpuan sepenuhnya pada 3 Days.
“Saya mahu memberi ulasan yang benar-benar jujur kepada semua pengguna,” katanya di majlis pengumuman dirinya sebagai duta rasmi, ‘3 Days x Turun KG Musim 2’, pada 24 November lalu.
Tidak pernah berputus asa memperjuangkan impian untuk menimang cahaya mata, Janna menyifatkan usahanya menurunkan berat badan kali ini juga adalah sebahagian daripada ikhtiar agar proses mendapatkan zuriat membuahkan hasil.
“Ramai kata kalau saya turunkan berat badan dan bersenam, saya boleh hamil secara semula jadi.
“Saya berada di London selama setahun untuk menjauhkan diri seketika daripada industri hiburan, memberikan tumpuan kepada pengajian dan menjalani kehidupan sihat, tetapi masih belum dikurniakan zuriat.
“Jadi, saya mula memikirkan kemungkinan berat badan juga menjadi salah satu faktor.
“Kita cuba ikhtiar dengan cara lain.
“Ini merupakan salah satu ikhtiar yang saya cuba lakukan.
“Sekiranya selepas menurunkan berat badan masih belum dikurniakan zuriat, kita akan mencari alternatif lain,” ujar beliau lagi.