Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

KAKI JALAN

Kembara anak Melayu gelar jaguh go-kart antarabangsa

Anak dan bapa luang hujung minggu bermutu di litar lumba Malaysia dan Thailand
Jul 23, 2023 | 05:30 AM



Hujung minggu ketua jabatan logistik, Encik Mohamed Izahar Abdul Kader, sentiasa sibuk dengan dirinya meluangkan masa bermutu dengan anak bongsunya, Iman Zikri, di litar lumba negara jiran, baik di Malaysia ataupun Thailand.

Sebagai seseorang yang gemarkan aktiviti lasak, tangkas lagi membawa pada pecutan adrenalin, Encik Mohamed Izahar, 39 tahun, teruja melihat Iman yang baru berusia 10 tahun kini mampu bergiat aktif dalam sukan go-kart, bahkan telah bergelar juara dalam perlumbaan go-kart antarabangsa yang berlangsung di Shah Alam dan Sepang, baru-baru ini.

Kededua perlumbaan itu turut melibatkan kanak-kanak serantau dari India, Jepun, Thailand dan Malaysia. Sebilangan juga merupakan anak-anak ekspatriat warga Barat yang bermastautin di Asia.

Iman yang bertubuh kecil dan tidak diduga ramai memiliki ketangkasan dan keberanian untuk memecut laju di litar lumba ini juga jatuh nombor tujuh dalam kalangan 15 peserta bagi perlumbaan di litar lumba Bira sekitar Chon Buri, Thailand.

Dia kini berlatih di bawah jurulatih yang dikenali dalam dunia lumba Kejuaraan Formula Empat Asia Tenggara, Encik Luke Thompson, dari Ireland. Encik Thompson yang berpangkalan di Malaysia mempunyai sejarah keluarga yang memiliki nyala rasa pada sukan lumba dan kereta formula.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Encik Mohamed Izahar, berkata:


“Saya rasa teruja untuk meluangkan masa hujung minggu saya bersama Iman dan melihatnya berkembang maju dalam sukan yang jarang-jarang disertai anak Melayu kerana kosnya yang tinggi dan juga banyak kelengkapan yang diperlukan untuk berlumba.

“Sebagai seseorang yang sukakan kegiatan riadah yang memerlukan ketangkasan minda dan deria fizikal, baik lumba Formula Satu (F1) atau motosikal, saya juga bermain go-kart sebagai aktiviti masa lapang. Saya hanya melakukannya untuk meredakan tekanan dan sebagai riadah tetapi saya gembira anak saya, Iman, dapat menjadikan hobinya satu sukan persaingan sihat yang bermakna dan boleh dikembangkan sebagai kerjaya profesional suatu hari nanti.

“Setiap kali ke seberang Tambak atau ke Thailand, itulah masa kami menghabiskan masa bermutu berinteraksi dan berkongsi cerita tentang go-kart dan manfaat sukan sebegini bagi ketajaman daya tumpuan minda dan perancangan strategik ketika di litar lumba. Saya anggap segalanya sebagai kegiatan bapa dan anak lelaki yang sangat berbaloi.

“Isteri dan anak perempuan saya boleh jalin hubungan mesra ibu dan anak perempuan melalui aktiviti kegemaran membeli-belah apabila mengembara ke negara orang. Saya dan Iman pun boleh ‘klik’ dengan sukan go-kart. Nampak dia di litar lumba dan sarung seragam lumba sahaja membanggakan saya sebagai seorang ayah.

“Setiap kali saya lihat video dia pecut laju dan menewaskan lawan dengan begitu bersemangat dan profesional, saya dapat lihat kematangan budak kecil ini dan potensi besarnya dalam sukan lumba go-kart.”

Iman pula gembira dapat memberi tumpuan pada sukan lumba go-kart sambil menghabiskan masa hujung minggu menimba ilmu dan bersiar-siar di rantauan.

“Mula-mula, saya memang sedih sebab apabila ayah saya bawa saya ke litar lumba di Kranji iaitu di negara sendiri, saya ditolak tiga kali untuk berlatih go-kart di situ kerana faktor usia. Saya terlalu muda. Mujurlah, saya kemudian dapat bersaing di Singapura dan menunjukkan kebolehan saya walaupun saya rasa litar lumba di Singapura kecil dan sukar untuk mengemudi go-kart saya.

“Apabila saya dapat bersaing di Shah Alam, Sepang dan Chon Buri, saya diberi motivasi dan galakan oleh pakar lumba di sana dan jurulatih saya untuk beri yang terbaik.

“Saya suka tonton semula video rakaman saya sedang berlumba untuk perbaiki kekurangan saya di litar lumba. Tentunya seronok apabila dapat gelaran juara,” kongsi Iman.

Encik Mohamed Izahar berkata beberapa karyawan sukan lumba go-kart akur akan potensi besar anaknya di litar lumba. Malahan, seorang pengurus di litar lumba Kranji berkata Iman seakan tidak perlu diberitahu apa yang wajar dilakukan ketika memandu go-kart sebab dia semula jadi faham bagaimana melakukannya dengan selamat dan tidak sedikit pun gentar dengan bunyi bising enjin go-kart di sekelilingnya.

Beberapa penaja pula tampil ingin menaja kos perlumbaan dan latihan Iman setelah melihatnya dengan penuh yakin berlumba, memintas lawan dan berjaya bergelar juara.

Perkara itu sahaja cukup bagi Encik Mohamed Izahar dan isterinya, Cik Mardiana Maiden, 39 tahun, seorang pembantu peribadi di firma perakaunan berbilang negara Pricewaterhouse Coopers.

“Saya membelanjakan antara $1,500 dengan $2,000 setiap kali temankan Iman di luar negara dan bagi membiaya kos latihannya. Memang sukan go-kart mahal dan menelan belanja ribuan dolar. Ia satu pelaburan dan pengorbanan buat saya dan isteri kerana kami mahukan yang terbaik buatnya.

“Selepas kemenangan Iman tersebar di media sosial, saya dapat panggilan beberapa keluarga Melayu yang ingin anak mereka ikut serta berlatih dalam sukan sihat ini. Saya gembira untuk berkongsi dan berharap lebih ramai anak Melayu akan ikut serta sebab sukan ini baik untuk kesihatan minda, tumpuan minda, kawalan dan penyelarasan emosi khususnya dalam mengurus tekanan apabila bersaing.

“Semangat kerjasama juga dapat saya lihat dalam diri Iman sebab ini bukan sukan yang memerlukan ketangkasannya sahaja tetapi dia perlu berurusan dengan pengurus, mekanik, jurulatih dan bermacam pihak sebelum berlumba.

“Kegembiraan saya adalah Iman dapat pecah rekod lumba dan bergelar juara. Dia boleh berdiri sama tinggi atau lebih baik lagi dengan pelumba cilik dari negara Asia lain yang memang dari kecil sudah dibiasakan ibu bapa mereka berada di litar lumba profesional,” tambahnya.

Menurut Encik Mohamed Izahar, Encik Thompson bahkan berkata Iman berfikir persis orang dewasa dan mempunyai keberanian luar biasa serta mengambil serius setiap panduan yang diberi untuk memperbaiki prestasinya di litar lumba.

“Encik Thompson memberitahu saya, beliau ingin menyarankan agar Iman dilatih di Akademi Pemandu Ferrari pada usia 14 tahun kelak untuk membangun kemahirannya sebagai pelumba kereta yang lebih mahir dan berdaya saing tinggi,” ujar Encik Mohamed Izahar.

Iman pula berkata setiap litar lumba itu berbeza mengikut saiz dan keterbatasan ruang lumbanya.

“Saya bercita-cita ingin jadi pemandu Formula 1 apabila saya dewasa kelak. Buat masa ini, saya nak mahirkan diri berlumba dengan selamat walaupun saya tahu pesaing lain suka main langgar-langgar dan biasanya tak akan beri ‘chance’ kepada saya untuk memintas mereka. Saya selalu pastikan saya tak lupa berdoa sebelum memulakan perlumbaan, minta Tuhan lindungi saya dan beri saya kelancaran di litar lumba,” jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >