Selain spageti dan makaroni yang sering menjadi pilihan, pasta atau mi asal Italy turut menampilkan pelbagai pasta berinti.
Bungkusan kecil itu memerlukan masa, ketelitian dan kefahaman mendalam mengenai doh, inti dan teknik lipatan.
Ravioli merupakan antara pasta berinti yang paling dikenali. Biasanya berbentuk segi empat atau bulat, ravioli terdiri daripada dua lapisan pasta nipis.
Inti itu termasuk keju ricotta dan bayam, cendawan atau daging yang dimasak perlahan.
Ravioli yang baik harus cukup nipis dan lembut, tetapi kuat untuk mengelak pasta itu pecah.
Agnolotti berasal dari wilayah Piedmont di utara Italy dan dikenali dengan bentuk kecil menyerupai bantal.
Secara tradisional ia diisi dengan daging panggang atau sayur-sayuran dan sering dihidangkan ringkas dengan mentega dan daun sage.
Tortellini, berasal dari daerah Emilia-Romagna di utara Italy yang dikenali dengan budaya makanannya.
Jenis pasta itu mudah dikenali melalui bentuk gelangnya yang unik.
Setiap kepingan dilipat dengan teliti menggunakan teknik tangan yang diwarisi turun-temurun.
Tortellini diisi dengan campuran daging dan keju, dan sering dihidangkan dalam sup ringan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg