Masakan Filipina dan Melayu, walaupun berbeza, berkongsi rasa, tradisi dan pengalaman makan bersama.
Hubungan budaya antara kedua-dua masakan Asia Tenggara ini jelas kelihatan dalam hidangan yang disajikan, adab serta cara mereka berkumpul untuk makan bersama.
Masyarakat Melayu mempunyai nasi ambeng, hidangan yang disajikan atas dulang, mengandungi nasi putih dan pelbagai jenis lauk yang biasanya dikongsi sehingga empat orang.
Bagi budaya Filipina pula, cara makan berdamai sebegini dipanggil ‘boodle fight’.
Berbeza sedikit dengan nasi ambeng, gaya makan hidangan ‘boodle fight’ bermula dengan daun pisang yang dibentangkan di atas meja sebagai alas.
Tiada pinggan atau mangkuk yang digunakan.
Nasi diletakkan di tengah meja dan beraneka lauk-pauk seperti daging panggang, ikan bakar, makanan laut, sayur-sayuran dan lain-lain diletakkan di atas atau mengelilingi nasi tersebut.
Jumlah orang yang boleh menikmati ‘boodle fight’ ini tiada hadnya.
Jika meja itu panjang, hidangan akan disesuaikan mengikut saiz meja, membolehkan lebih ramai orang turut serta untuk makan bersama.
Pengalaman makan ‘boodle fight’ ini boleh dinikmati di restoran Nanay’s Kitchen di Blok 301, Ubi Avenue 1.
Pemilik restoran itu, Cik Nur Hidayah Baja, berkata:
“‘Boodle fight’ adalah makanan tradisional Filipina yang melambangkan penyatuan dan lebih seronok dinikmati bersama.
“Ia juga menggalakkan hubungan agar menjadi lebih rapat.”
Restoran itu menawarkan set ‘boodle fight’ untuk dua hingga 10 orang, dengan harga bermula daripada $45 hingga $150.
Budaya Filipina dan Melayu memberi penekanan yang besar kepada makan bersama, meraikan kegembiraan berkongsi makanan.
Cara makan secara berkumpulan ini mempunyai banyak manfaat.
Antaranya, ia menggalakkan perbualan antara keluarga, saudara dengan rakan-rakan.
Selain itu, makan beramai-ramai juga dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.
‘Boodle fight’ juga dikenali sebagai ‘kamayan’, perkataan dalam bahasa Tagalog yang bermaksud makan dengan tangan.
Budaya Filipina juga sering mengamalkan cara makan sebegini, sama seperti budaya Melayu.
Pengalaman makan menggunakan tangan dapat meningkatkan pengalaman deria, apabila tekstur, aroma dan suhu makanan memainkan peranan penting.
Makan menggunakan tangan turut mengukuhkan identiti dan warisan budaya.
Persamaan masakan antara budaya Filipina dengan Melayu menonjolkan kaitan mendalam yang berakar umbi dalam sajian yang dikongsi bersama serta tradisi makan.
Kedua-dua budaya itu mengajak orang ramai berkumpul di sekeliling meja dan menikmati kepelbagaian rasa yang menyatukan mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg