Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nak bantu peniaga kecilan, SyukEats ‘tersasar’ jadi pencipta kandungan

Cari tempat makan tersembunyi, ketengah kisah inspirasi makanan, rai keunikan cita rasa S’pura
Nov 23, 2024 | 5:30 AM
Encik Muhammad Syukri Azman atau lebih dikenali sebagai SyukEats di Instagram adalah antara pencipta kandungan makanan popular di Singapura.
Encik Muhammad Syukri Azman atau lebih dikenali sebagai SyukEats di Instagram adalah antara pencipta kandungan makanan popular di Singapura. - Foto ihsan MUHAMMAD SYUKRI AZMAN

Bermula sebagai penggemar makan, Encik Muhammad Syukri Azman, kemudian menjadi pempengaruh makanan diikuti ramai di Singapura.

Bagi Encik Syukri atau lebih dikenali sebagai SyukEats, beliau mengubat minatnya kepada makanan menjadi kemahiran menyampaikan cerita luar biasa yang menambat selera dan hati pengikutnya.

“Saya tak pernah rancang nak jadi pencipta kandungan,” kata Encik Syukri, 30 tahun.

“Semasa pandemik Covid-19, saya lihat banyak perniagaan dari rumah (HBB) menghadapi kesukaran untuk memasarkan perniagaan mereka.

“SyukEats bermula sebagai usaha kecil saya ingin bantu mereka, dan dari situ, ia berkembang,” kata Encik Syukri yang telah memulakan wadah itu di media sosial Instagram.

Apa yang dulu hanya akaun kecil di Instagram kini menjadi antara sumber utama bagi pengguna Instagram mencari tempat makan tersembunyi, kisah inspirasi makanan dan meraikan keunikan cita rasa Singapura.

Keunikan Encik Syukri dalam SyukEats terletak pada keasliannya.

Video yang dihasilnya ringkas, tanpa suntingan keterlaluan, tetapi penuh dengan penceritaan yang ikhlas.

“Tujuan saya bukan untuk ‘memukau’ penonton dengan suntingan. Malah, saya ingin kongsi ‘jiwa’ di sebalik makanan itu,” jelasnya.

Pendekatan ini telah memikat ramai pengikut setia, dengan beberapa video mencapai lebih 80,000 tontonan.

Namun, bukan makanan sahaja yang membuat kandungan Encik Syukri menarik, bahkan semangat masyarakat yang dibina.

Sama ada mengajak pengikut meneka harga makanan atau berkongsi tempat apam balik terbaik, interaksinya menjadikan pengalaman lebih bermakna.

“Kadang-kadang ada mak cik-mak cik yang malu DM (mesej langsung) saya untuk kongsi lokasi tempat yang mereka suka. Interaksi peribadi seperti inilah yang menghidupkan masyarakat peminat makanan,” ujarnya.

Berbanding ramai pengulas makanan lain yang mengejar trend tular, Encik Syukri lebih berminat mendalami cerita di sebalik makanan klasik.

Misalnya daripada legenda penjaja hingga ke gerai kejiranan dan kedai keluarga yang melambangkan nadi makanan tempatan.

Salah satu penemuan yang menjadi kegemaran Syukri ialah Desa Rancapanggung di Bedok, terkenal dengan hidangan seperti nasi rawon dan mi soto yang mencuri perhatian pengikutnya.

Apabila ditanya apakah rancangan Encik Syukri untuk 2025, beliau menjawab bahawa terdapat beberapa rancangan besar.

“Saya ada beberapa projek menarik yang sedang dirancang. Pertama sekali, projek 30 Days Ramadan 2025 yang saya sedang usahakan.

“Kalau semuanya berjalan lancar, ia akan menjadi siri kandungan harian sepanjang Ramadan.

“Saya masih dalam proses muktamadkan kerjasama dengan rakan kongsi, tapi ini pasti sesuatu yang patut anda nantikan,” kata beliau.

Di sebalik semua rancangannya, misi Encik Syukri tetap sama:

“Saya mahu orang ramai menghargai semula apa yang membuat makanan Singapura istimewa dan sokong peniaga tempatan yang mencurahkan jiwa mereka ke dalam setiap hidangan.”

Jadi, jika anda sedang mencari inspirasi makanan untuk dicuba, ikuti SyukEats di Instagram.

Siapa tahu, mungkin anda akan temui port makan baru kegemaran anda.

3 tempat kegemaran SyukEats
1. Nasi ayam Hainan kukus, Evertop Hainanese Boneless Chicken Rice Pte Ltd (Blok 354, Clementi Avenue 2)
2. Nasi rawon, Desa Rancapanggung (Blok 740, Bedok Reservoir Road)
3. Epok-epok sardin dan kuih puteri salat, The Kuihmaker (Blok 447, Bukit Batok West Avenue 9)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg