Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasangan suami isteri tonjol makanan penjaja dengan cerita penuh jiwa

Nov 23, 2024 | 5:30 AM
Cik Nor Fazeera Abdullah dan Encik Dani Dawood merupakan pasangan suami isteri di sebalik saluran YouTube, Small City Island. Mereka kini kembali dengan siri ulasan makanan di pusat penjaja pada Oktober 2024.
Cik Nor Fazeera Abdullah dan Encik Dani Dawood merupakan pasangan suami isteri di sebalik saluran YouTube, Small City Island. Mereka kini kembali dengan siri ulasan makanan di pusat penjaja pada Oktober 2024. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Pasangan suami isteri di sebalik saluran YouTube, Small City Island, kembali dengan siri video kedua, menampilkan makanan di pusat penjaja pada Oktober 2024.

Encik Dani Dawood dan Cik Nor Fazeera Abdullah telah mencipta ruang unik dengan menonjolkan budaya penjaja melalui penceritaan penuh jiwa dan ulasan yang jujur.

Bermula dengan vlog (blog video) keluarga pada 2016, saluran YouTube mereka kemudian berubah secara tidak dijangka apabila video tentang Bazar Raya mereka menjadi tular pada 2017.

“Makanan adalah sesuatu yang kami amat minati, dan ia menjadi petanda bagi kami untuk menjadikannya sebagai fokus saluran kami,” ujar Encik Dani, 51 tahun. 

Bagi guru tuisyen sambilan itu, pusat penjaja memiliki makna yang sangat peribadi.

Beliau dibesarkan bersama gerai penjaja milik arwah ibu bapanya, dan beliau membawa kenangan dan warisan itu ke dalam setiap video.

“Suasana di pusat penjaja yang lama sentiasa menyingkap kenangan bersama ibu bapa.

“Sejak berusia empat tahun, saya selalu mengikuti mereka ke gerai.

“Saya kemudian membantu mereka di gerai hingga usia 17 tahun, apabila mereka bersara,” katanya.

Siri pusat penjaja itu menghidupkan nostalgia tersebut,

Ia memperkenalkan penonton kepada gerai-gerai unik dengan hidangan seperti nasi kerabu dan rojak Bandung.  

Pendekatan vlog mereka adalah hasil kerjasama antara suami isteri itu.

Cik Fazeera bertugas sebagai juruvideo dan pengurus audio, manakala Encik Dani pula memainkan peranan sebagai hos dan penyunting.

Pasangan suami isteri daripada saluran YouTube, Small City Island, Cik Nor Fazeera Abdullah dan Encik Dani Dawood, memainkan peranan masing-masing di sebalik tabir dengan Cik Fazeera sebagai juruvideo dan pengurus audio, manakala Encik Dani bertindak sebagai hos dan penyunting.
Pasangan suami isteri daripada saluran YouTube, Small City Island, Cik Nor Fazeera Abdullah dan Encik Dani Dawood, memainkan peranan masing-masing di sebalik tabir dengan Cik Fazeera sebagai juruvideo dan pengurus audio, manakala Encik Dani bertindak sebagai hos dan penyunting. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Minat mereka terhadap makanan memastikan segalanya berjalan lancar, walaupun berdepan dengan cabaran seperti mengimbangi jadual penggambaran dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada empat anak berusia antara lima tahun dengan 10 tahun.

Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada peniaga yang malu dengan kamera.  

Selain berkongsi makanan enak, Small City Island turut bertujuan meraikan evolusi budaya penjaja.

Dengan kehadiran penjaja generasi muda yang memperkenalkan hidangan lebih inovatif, Encik Dani melihat transformasi itu sebagai “satu revolusi yang menyegarkan”.

Video mereka bukan sahaja meraikan kepelbagaian itu, malah turut menonjolkan gerai-gerai kurang dikenali sambil mempromosikan nilai makanan yang bermutu dengan harga berpatutan.

Pasangan itu juga menghargai komen penonton, menyesuaikan kandungan berdasarkan maklum balas dan melibatkan penonton untuk cadangan tempat makan seterusnya.

“Pengikut kami bukan sekadar penonton, mereka adalah sebahagian daripada perjalanan ini,” ujar Encik Dani.

Hubungan itu merangkumi penjaja, ramai di antaranya telah menjadi sahabat rapat mereka, tambah beliau.

Melangkah ke hadapan, Encik Dani dan Cik Fazeera teruja untuk melancarkan siri baru yang meneroka budaya penjaja dalam konteks lebih luas, dari gerai penjaja serta reruai sementara atau ‘pop-up booths’.

Mereka juga mula memperluaskan kandungan ke wadah seperti TikTok, menyesuaikan video untuk memenuhi trend semasa sambil mengekalkan keaslian penceritaan mereka.  

“Budaya penjaja di Singapura ialah satu khazanah,” kata Encik Dani.

“Melalui video kami, kami berharap orang ramai melihatnya bukan sekadar makanan, tetapi ia adalah warisan yang patut dipelihara.”  

3 TEMPAT KEGEMARAN SMALL CITY ISLAND

Encik Dani Dawood:

1. Mi rebus – Rahim Muslim Food (Pusat Makanan Chong Boon, Ang Mo Kio Avenue 10)

2. Nasi kerabu – Masakan Anak Bujang (Bedok Corner)

3. Rojak Bandung – Power Rojak Bandung (Pusat Makanan Ayer Rajah)

Cik Nor Fazeera Abdullah:

1. Nasi beriani – Geylang Briyani Stall (Pasar Geylang Serai)

2. Oiishii Don – Oiishii Corner (Pusat Makanan Kim Keat Palm, Lorong 7 Toa Payoh)

3. Capati – Bhai’s Chapati and Biryani (Pusat Penjaja Marsiling Mall)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg